Rafique menghentak tangannya ke stereng. Dia rasa bengang. Bengang bila selama ini dia ditipu Nadine. Sedangkan, selama ini, seluruh jiwa raga dia berikan buat Nadine.
Tapi, dia rasa puas hati bila perlakuan Nadine tertangkap oleh dirinya sendiri. Terasa menyesal apabila selama ini dia tidak mendengar setiap nasihat yang diberikan mamanya. Walaupun hatinya sakit dengan pengakuan Carl, namun dia seakan mahu berterima kasih dengan Carl.
Mungkin ini balasannya apabila dia masih tak sedar diri lagi apabila sudah mempunyai isteri sebaik Adra tapi masih lagi berhubungan dengan Nadine. Sekarang, barulah Rafique rasa apa itu penyesalan.
Lama dia termenung di dalam kereta sampaikan tak sedar yang Adra sudah pun tercongok di tepi pintu kereta.
Melihat Rafique yang seakan tak sedar dengan kehadirannya, terus Adra mengetuk cermin tingkap kereta Rafique. Terkejut lelaki itu dibuatnya.
Lama Rafique memandang Adra di luar. Daripada rasa bercelaru dan runsing terus dia rasa tenang melihat wajah Adra di depan mata.
Terus dia keluar daripada perut kereta setelah mematikan enjin. Adra masih lagi berdiri di hadapannya.
"Abang buat apa dalam ke--"
Terkedu Adra apabila tubuhnya sudah selamat didakap Rafique. Erat. Tubuh Adra seakan tak boleh bergerak. Mukanya sudah membahang akibat rasa malu yang teramat sangat.
Lama tubuhnya di dalam dakapan Rafique. Sekarang ni, Adra rasa yang dia sudah pun menjadi patung.
Rafique meleraikan pelukannya. Tapi, kali ini kedua-dua tangannya pula mendarat di kedua-dua belah pipi Adra. Apalagi, semakin bekulah Adra dibuatnya. Pelik dengan sikap Rafique yang tiba-tiba itu.
"Ab--abang..."
"Shhh...." terus sahaja jari telunjuk Rafique melekap pada bibirnya. Betul. Adra memang rasa nak pengsan sekarang ini. Dia memang tak pernah menjangkakan perbuatan Rafique yang sedrastik dan sepelik ini.
Lama Rafique merenung wajah Adra. Dari kening gadis itu yang terbentuk cantik walaupun tidak dicukur. Kemudian mata bundar yang paling dia sukai. Hidung mancung terletak elok. Dia beralih pula merenung bibir mungil gadis itu.
Akibat tak selesa direnung sebegitu, terus Adra mengetap bibirnya. Terlepas tawa Rafique melihat kelakuan Adra. Dia melepaskan tangannya dari pipi Adra.
Terus Adra menjarakkan tubuhnya daripada Rafique. "Abang ni peliklah. Kalau nak sweet-sweet pun, dekat dalamlah. Ni kita kat luar kan? Malu jiran nampak."
"Nak sweet-sweet kat dalam? Betul ni?" Rafique tersengih nakal. Terus terlupa kejadian tadi apabila dia sudah berhadapan dengan Adra.
Cepat sahaja Adra menggeleng. "Tak, tak. Ara gurau je. Dahlah Ara masuk dululah. Dah malam." Terus tubuh kecil itu berlari masuk ke dalam.
Rafique tersenyum sambil menggeleng. Benarlah. Benarlah yang dia sudah jatuh cinta pada Adra. Jatuh cinta pada isterinya. Sejak bila, dia pun tak tahu.
✨✨✨
Akibat peristiwa malam tadi di garaj kereta, lama juga Adra berkurung di dalam bilik. Selalunya, selepas solat Subuh, Adra sudah menyibukkan dirinya di dapur atau mengemas rumah. Tapi, sampai pukul 7.30 pagi, Adra masih berada di dalam biliknya. Malu nak keluar berhadapan dengan Rafique.
Bukan tak pernah terjadi perkara sebegitu, masa Rafique demam pun ada juga. Tapi tidaklah terlalu ekstrem seperti malam tadi.
Rafique sudah naik risau. Tak pernah-pernah Adra lambat bangun begini. Disebabkan itu, dia sudah tercongok di hadapan pintu bilik Adra. Baru sahaja ingin mengetuk, pintu itu terbuka dari dalam. Tersengih Rafique.
Adra pula senyum macam kambing. Tak tahu nak senyum macam mana. Masih lagi rasa malu tentang semalam. Nak tutup pintu dikatakan biadap pula. Jadi, dia tercongok di depan Rafique.
"Jom sarapan." Ucap Rafique teruja.
"Hah?!"
Terus Rafique menarik lengan Adra dan dibawa ke dapur. Siap didudukkan Adra di atas kerusi lagi. Semakin berlapis-lapis dahi Adra. Tak lama lagi, boleh tua sebelum umur dia jadinya.
"Hari ni abang buatkan awak sarapan. Special untuk awak. Mungkin sarapan yang abang buat ni tak sesedap yang awak buat, tapi abang cuba." Kata Rafique panjang lebar.
Dihulur pinggan yang sudah berisi nasi goreng kepada Adra. Terus disambut perlahan oleh gadis itu.
"Makanlah." Ucap Rafique.
"Kenapa abang tiba-tiba macam ni ek?" Soal Adra, serius. Dia mahu tahu apa kena dengan Rafique hari ini.
Rafique memandang Adra dengan senyuman. "Kenapa? Bukan ke selama ni abang memang macam ni dengan awak? Buat-buat tak tahu pula."
"Tak. Abang tak macam ni pun sebelum ni. Sebelum ni, abang layan Ara macam biasa. Abang tak pernah layan Ara macam ni. Macam semalam. Apa yang buatkan abang berubah secepat ni ek?"
Suasana di meja makan pagi itu terus bertukar hening. Adra memandang Rafique dengan seribu persoalan.
"Awak tak suka abang layan awak macam ni?" Soal Rafique perlahan.
Adra menggeleng. "Ara suka. Tapi, boleh tak abang buat macam biasa? Ara tak nak Ara letakkan harapan yang terlalu tinggi pada abang macam apa yang pernah abang bagitahu Ara sebelum ni. Ara masih sedar diri Ara lagi." Luah Adra.
Rafique terkesima. Mood cerianya terus bertukar suram. Dia sebal seketika.
"Abang buat ni untuk awak. Awak isteri abang."
"Sejak bila abang anggap Ara ni isteri abang? Bukan ke abang cuma anggap Ara ni macam kawan abang? Apa guna kalau abang anggap Ara ni isteri abang, tapi abang masih cintakan Kak Nadine?"
Automatik Rafique bangkit dari duduknya. Hilang terus selera makannya. Dia merenung tajam wajah Adra lama. Dia mendengus sebelum berlalu naik ke biliknya.
Adra sekadar memandang belakang tubuh Rafique dari belakang. Seketika, dia mengeluh berat. Tiba-tiba hari ini mulutnya lancang pula. Tapi, dia cuma bertanya dan meluahkan apa yang dia rasa selama ini.
Dia tak mahu dipermainkan. Dia tak mahu meletakkan harapan setinggi langit kepada Rafique walaupun semakin hari kasihnya terhadap Rafique semakin bertambah. Dia tak mahu dia yang sakit bila satu hari nanti dia bakal dilepaskan dan ditinggalkan lelaki itu.
Bergenang air matanya. Bukan dia sengaja mahu membuat lelaki itu marah, tapi dia tak mahu terus diasak dengan pelbagai persoalan dalam mindanya.
Akhirnya, hanya keluhan yang mampu Adra lepaskan.
Rafique merajuk...
Votes and comments tau ! TQ ❤️

ANDA SEDANG MEMBACA
Cintai Aku. [ complete ]
Roman d'amour🌸 Previously known as DIA. 🌸 My First Romance Story. 🌸 100% completed. 🌸 No copy, no plagiarism. I'm watching you --- "Kalau kau nak tahu, hidup kau ni bawa malang. Kenapa kau tak mati je dari kecil?" Apalah nasib dibenci dan dicaci ibu kandung...