DIA | 6

26.7K 1.1K 7
                                        

Adra membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya matahari yang menerobos masuk dari tingkap membuatkan dia sedikit silau. Setelah selesa dengan keadaan matanya, dia memandang siling putih. Kemudian, diliarkan matanya di sekeliling tempat yang dia sedang berbaring ketika ini. Cat dinding berwarna biru laut dan cadar katil bercorak bunga membuatkan dia yakin yang dia tidak berada di hospital.

Adra cuba bangun dari terus berbaring. Kepalanya yang masih tersarung tudung ditekan sekejap. Sesekali dia berdesir kerana tidak tahan dengan pening di kepala.

Tempat yang begitu asing bagi Adra membuatkan dia takut untuk berjalan ke mana-mana. Dia yakin yang dia sekarang berada di sebuah bilik yang pastinya di sebuah rumah.

"Eh, dah sedar. Umi! Umi!"

Pantas Adra alihkan matanya di bahagian pintu bilik. Seorang perempuan yang menjerit memanggil nama 'umi' itu dipandang dengan dahi berkerut.

Adila berjalan mendekati Adra yang sedang duduk di atas katil. Dia tersenyum manis memandang wajah Adra yang pucat itu.

"Awak okay? Nak makan ke minum? Akak bawakan." Soal Adila, prihatin. Dia memegang tangan Adra namun segera Adra menjauhkan dirinya sedikit. Mungkin masih lagi takut dan ragu-ragu.

"Jangan takut. Nama akak, Adila. Panggil Kak Dila je. Awak siapa nama?" Baru sahaja Adra ingin menjawab, seorang wanita dalam lingkungan 50-an masuk sambil menatang dulang yang berisi semangkuk bubur dan segelas air suam.

Adila memandang ke arah Hajah Ameena seakan meminta untuk berbual dengan Adra. Hajah Ameena tersenyum nipis lalu dilabuhkan duduknya di atas katil.

"Nama siapa?" Hajah Ameena menyoal. Adra menunduk sekejap. Terasa janggal tiba-tiba.

"Ad-- Adra." Jawabnya perlahan namun masih lagi boleh didengari Hajah Ameena dan Adila.

"Sedap nama. Ni umi akak. Adra panggil je umi." Balas Adila sambil dipeluk tubuh Hajah Ameena. Adra tersenyum pahit. Entah mengapa, terasa sebak tiba-tiba.

"Adra makanlah. Umi dah masakkan bubur nasi. Umi tengok Adra pucat sangat." Umi menghulurkan semangkuk bubur ke arah Adra.
Adra menyambut huluran tersebut. Terasa segan apabila kedua-duanya sedang memandangnya menyebabkan Adra terus menunduk.

Adila yang perasan akan riak Adra, dicuit Hajah Ameena di pinggang. Hajah Ameena menoleh lalu mengangkat sedikit kepalanya.

"Er, Adra makanlah dulu. Akak dengan umi keluar kejap. Nanti kalau dah siap, panggil je akak tau." Lalu, mereka keluar meninggalkan Adra seorang diri di dalam bilik. Pintu ditutup rapat.

"Kenapa Dila bawa umi keluar? Kenapa tak teman dia makan?" Bertalu pula soalan yang keluar dari mulut Hajah Ameena. Adila menepuk dahi.

"Umi, kita kena bagi dia ruang. Dila tengok dia macam segan je nak makan. Biarlah dia makan dulu." Balas Adila. Hajah Ameena mengangguk lalu berlalu dari situ diikuti Adila.

Adra menguis bubur nasi di dalam mangkuk. Sebenarnya, perutnya terasa sangat lapar. Seingat Adra, dia masih belum menjamah sebutir nasi pun semalam. Bila teringatkan kejadian semalam, hatinya diruntun sedih. Segera dia cuba mengusir perisitwa semalam lalu menyuap sesudu bubur ke dalam mulut. Terasa pahit apabila ditelan.

Adra termenung sekejap. Dia masih lagi tertanya-tanya tentang Adila dan Hajah Ameena. Dia sendiri tak tahu macam mana dia boleh berada di sini. Tiba-tiba dia jadi amnesia pula. Kali terakhir yang dia ingat, dia merehatkan diri di depan sebuah kedai yang sudah tertutup.

Bubur yang tinggal separuh diletakkan ke dalam dulang semula. Air suam diteguk perlahan bagi menghilangkan rasa haus. Kemudian, dia mengangkat dulang tersebut dan bergerak ke pintu yang sudah tertutup.

Tombol pintu dipusing lalu dia berjalan perlahan keluar sambil matanya memandang sekeliling luar bilik tadi.

Dia sekadar ikutkan langkah kakinya saja. Sampai di ruang tamu, Adra terdengar suara orang sedang berbual. Lalu dia teruskan langkah ke hadapan dan dia berdiri di muka pintu yang mungkin dapur pada pandangan Adra.

Johan yang sedang membebel itu, terus menoleh ke belakang. Terkejut dia. Ingatkan hantu pucat manalah yang berdiri depan pintu dapur.

"Err, kak." Panggil Johan.

"Apa dia? Nak cari pasal lagi? Topup dah dapat pun nak cari gaduh." Balas Adila yang sedang mencuci pinggan mangkuk di singki.

Johan merengus geram. "Bukanlah. Tu ha, pusinglah belakang!"

Barulah Adila berpusing sambil tangannya bercekak di pinggang. Baru sahaja ingin memarahi Johan, terus terbantut niatnya apabila memandang Adra yang sedang berdiri tegak itu.

"Eh, Adra. Kenapa keluar? Kan akak dah pesan panggil akak je nanti." Ucap Adila lalu mengelap tangannya dengan kain pengelap yang disangkut pada kabinet dapur.

"Adra cuma nak hantar dulang ni je." Balas Adra takut-takut. Adila menghampiri lalu mengambil dulang di tangan Adra dan diletakkan di atas meja makan.

"Adra nak makan apa-apa lagi tak?" Soalnya lembut sambil memegang bahu Adra. Adra tidak mengelak sebaliknya menunduk.

Dia menggeleng perlahan. Adila sempat menjeling ke arah Johan meminta lelaki itu beredar dari situ. Johan akur lalu berlalu dari dapur.

"Adra duduk sini dulu. Nanti kita duduk depan pula." Dibawa Adra untuk duduk di kerusi meja makan. Adila segera menyelesaikan kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Adra pula memerhati sekeliling. Adra sebenarnya tak selesa kerana dia tak mandi lagi. Apatah lagi tadi dia sudah makan padahal cuci muka pun belum.

"Adra kalau nak apa-apa, bagitahu akak tau. Jangan diam je. Lagi satu, Adra tak payahlah malu-malu dekat sini." Ujar Adila lalu dia mengajak Adra untuk ke ruang tamu.

Sampai di ruang tamu, Adra duduk di sofa panjang. Dia memang janggal. Tak selesa. Menyesal pula keluar bilik tadi.

"Akak panggil umi, jap." Pamit Adila.

Tak lama selepas itu, Hajah Ameena datang lalu duduk di sofa bersebelahan Adra. Adila pula duduk di sofa sebelah. Hajah Ameena mengusap tepi kepala Adra perlahan.

"Boleh umi tahu, Adra dari mana?" Soal Hajah Ameena sambil tersenyum. Adra sekadar menunduk. Takut untuk menjawab.

"Adra, janganlah takut. Kami baiklah." Sampuk Adila.

Adra mengangkat wajahnya perlahan memandang Hajah Ameena di sebelah. "Adra dari kampung."

Hajah Ameena dan Adila saling berpandangan. Malas mahu bertanya kampung mana, Hajah Ameena tersenyum.

"Umur Adra berapa?"

"17," jawabnya sepatah.

"Rumah Adra dekat mana? Nanti umi dengan Kak Dila boleh hantar Adra balik." Kata Hajah Ameena namun Adra pantas menggeleng laju. Tubir matanya sudah bergenang air mata.

"Adra ta-- tak nak balik." Rayunya. Hajah Ameena dan Adila sekali lagi berpandangan. Timbul rasa kasihan apabila melihat Adra merayu seperti itu.

Hajah Ameena tersenyum lalu mengangguk. "Yelah, umi tak hantar balik. Adra pergilah rehat. Nanti kita berbual lagi." Dia meminta Adila untuk membawa Adra masuk semula ke bilik sementara dia masih lagi duduk di sofa.

Hajah Ameena pasti ada sesuatu perkara buruk yang berlaku kepada Adra sehinggakan gadis itu kelihatan takut-takut. Hajah Ameena memasang tekad untuk tahu perkara tersebut dari Adra. Dia perlu tahu. Apatah lagi Adra itu tiada kena mengena dengan mereka sekeluarga. Mula timbul rasa ragu-ragu Hajah Ameena terhadap Adra namun terus dia beristighfar apabila dia sudah terlebih bersangka buruk pada gadis itu.

Cintai Aku. [ complete ]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang