Media:
Nur Adra.Datin Mariam sudahpun dibenarkan pulang oleh pihak hospital cuma Datin Mariam sekarang berharap pada kerusi roda memandangkan dia baru sahaja pulih.
Hajah Ameena dan Adra turut sama berada di rumah agam milik Datin Mariam. Setelah mendapat persetujuan daripada Adila, Hajah Ameena boleh membantu Datin Mariam di rumah. Agak lama juga nak memujuk Adila untuk benarkan Hajah Ameena, nasib baiklah Adra ada.
Adra baru sahaja selesai keluar dari bilik air. Baru sahaja dia ingin menapak ke bilik Datin Mariam semula, langkahnya dihalang oleh Rafique. Dia ke kiri, Rafique ke kiri. Dia ke kanan, Rafique juga ke kanan. Akhirnya, Adra berdiri tegak sambil memandang Rafique yang sedang berpeluk tubuh merenungnya.
"Boleh tak bagi saya lalu?" Soal Adra lembut. Dengan lelaki ini, dia perlu berlembut-lembut. Disebabkan kejadian tempoh hari, terus Adra berhati-hati dengan lelaki ini. Api lawannya mestilah air. Jadi, Adra perlu jadi air.
"Kalau aku tak nak bagi kau lalu?" Rafique menyoal semula. Mukanya ditegangkan. Dia terpaksa menunduk sedikit memandangkan Adra separas bawah bahunya sahaja. Pendek.
"Kenapa pula? Saya nak lalulah. Nanti umi tunggu." Balas Adra geram.
Rafique tersenyum sinis. "Kau sukalah mama aku puji kau semalam? Bukan main tersenyum-senyum lagi aku tengok kau." Perli Rafique.
Adra mengeluh perlahan. "Takkanlah saya nak melompat dekat situ pula." Jawab Adra selamba.
Rafique semakin tajam memandang Adra. Geram betul dia bila gadis ini menjawab main-main.
Akhirnya, Rafique ke tepi memberi laluan buat Adra. Sepantas kilat Adra berlalu dari situ. Sempat dia menjeling Rafique. Sebenarnya, Adra tak sanggup tengok wajah Rafique lama-lama sebab hatinya berdegup bukan main.
Hish, kau kena ingat Adra apa yang mamat tu cakap dekat kau hari tu!
✨✨✨
Kerusi roda Datin Mariam ditolak dan dibawa ke ruang tamu. Malam itu, hanya Rafique dan Datin Mariam sahaja yang ada. Hajah Ameena dan Adra baru sahaja pulang ke rumah mereka.
"Okay, sekarang mama kena teman Raf tengok tv." Ucap Rafique lalu duduk di sofa panjang. Datin Mariam berada di sebelahnya masih lagi duduk di atas kerusi roda.
"Patutnya Raf yang kena teman mama. Bukan mama yang teman Raf." Balas Datin Mariam lalu ketawa kecil.
"Alah, Raf nak manja-manja dengan mama je," lembut dan manja Raf menuturkan ayatnya. Diusap lengan Datin Mariam perlahan.
"Raf, mama suka tengok Adra. Masa mama sakit terbaring dulu, dia dengan umi jaga mama betul-betul. Kalau umi ada kerja nak buat, mesti Adra tu yang jaga mama. Mama tengok, Adra tu budak baik. Lembut je kalau bercakap. Sopan, bertudung." Puji Datin Mariam sambil mulutnya tidak lekang dari senyuman.
Dahi Rafique berkerut.
"Adra? Siapa tu?" Soal Rafique.
"Lah, anak angkat umi. Takkan Raf tak perasan?"
"Oh, budak tu nama dia Adra. Tapikan umi, betul ke dia tu anak angkat umi? Raf macam susahlah nak percaya."
Datin Mariam tersenyum. "Mama pun tak tahu. Tapi dah umi kata Adra tu anak angkat, mungkin ya kot."
Rafique sekadar mengangkat bahu. Malas nak membalas. Mamanya terlalu memuji Adra. Entah, Rafique rasa macam menyampah pula bila mamanya memuji gadis itu melambung-lambung.
"Apa tanggapan Raf pada Adra?" Soal Datin Mariam tiba-tiba. Dia merenung wajah anak lelakinya dalam.
"Maksud mama?" Rafique menyoal kembali.
"Maksud mama, apa yang Raf fikir tentang Adra buat masa ni?" Datin Mariam cuba menjelaskan soalannya tadi.
"Raf tak tahu sebab Raf pun tak kenal dia sangat. Em, ma. Nanti Raf nak bawa someone jumpa dengan mama." Cepat-cepat Rafique menukar tajuk. Malas nak bercakap tentang gadis itu.
"Siapa? Bakal menantu mama ke?" Soal Datin Mariam lalu ketawa. Saja mengusik.
"Ya, In Sha Allah. Raf akan bawa bakal menantu mama nanti." Balas Rafique. Dan Datin Mariam sekadar tersenyum memandang anaknya.
✨✨✨
Adra termenung di halaman rumah. Melihat bintang-bintang di dada langit memang menenangkan tapi bila teringat semula tentang Rafique terus tak tenang dia dibuatnya. Kenapalah lelaki itu tak sukakan dia? Apa salah dia?
Adra mengeluh. Yang peliknya, Adra makin sukakan Rafique tu walhal lelaki itu dah banyak kali sakitkan hati dia. Kenapa ek?
"Adik akak buat apa ni malam-malam dekat sini?" Soal Adila lalu duduk di sebelah Adra di kerusi batu itu. Adila memandang Adra lama.
"Saja ambil angin. Ara rindulah dengan akak. Dah nak sebulan Ara ikut umi, dalam masa tu juga Ara tak dapat nak spend time dengan akak." Ucap Adra manja.
Adila ketawa kecil.
"Alah, bukannya kita tak jumpa pun. Kita tetap jumpa walaupun sekejap."
Adra sekadar tersenyum. Dia melentokkan kepalanya di bahu kiri Adila. Sudah hampir dua bulan dia tinggal dengan keluarga Hajah Ameena, memang hidupnya serta merta berubah. Sekejap sahaja sudah dua bulan. Tak sangka dia akan ditemukan oleh keluarga sebaik Hajah Ameena dan sekeluarga.
"Bulan depan keputusan SPM dah keluar. Ara dah ready?" Soal Adila.
"Entahlah kak. Ara tak fikir pun pasal result SPM tu sebab Ara takut nak balik kampung." Jawab Adra jujur.
Dia duduk tegak semula sambil memandang hadapan. Dia takut kalau dia pulang semula ke kampung, peristiwa hitamnya itu akan kembali menghantui dia. Dia takut kalau dia terserempak dengan ayah tirinya. Tapi, jauh di sudut hati dia terlalu ingin berjumpa dengan ibunya. Dia rindukan ibunya. Macam manalah keadaan ibunya sekarang?
"Lah, kenapa pula? Ara kena lupakan semua tu. Ara kena mulakan hidup baru. Ara dah nak masuk 18 tahun. Semua tu Ara jadikan pengajaran dalam hidup. Anggap itu semua dugaan untuk Ara." Nasihat Adila. Dia tahu apa yang difikirkan Adra.
Adra mengeluh perlahan. Kalau diingat semula setiap peristiwa hitam itu, terus hatinya bagaikan sesak. Bukan dia tak cuba untuk lupakan peristiwa itu, dia cuba.
"Kak, Ara tak sanggup. Ara tak bersedia. Boleh tak kalau Ara tak ambil keputusan tu? Ara bukannya pandai sangat pun. Jangan-jangan A pun tak ada." Kata Adra.
Adila berdecit. Tak setuju dengan apa yang dikatakan Adra tadi.
"Cuba jangan berfikiran negatif. Ara tak nak sambung belajar? Ara tak nak capai impian Ara ke? Ara tak nak hidup senang?" Bertalu soalan yang keluar dari mulut Adila membuatkan Adra terdiam seribu bahasa.
"Okaylah. Kalau macam tu akak akan teman Ara ambil keputusan." Masih lagi Adila cuba memujuk namun gadis itu sekadar diam sahaja.
"Ara kenapa diam je?" Tegur Adila. Barulah Adra menoleh Adila sekilas. Dia tersenyum kelat.
"Bagi Ara masa boleh kak? Ara nak fikir dulu." Balas Adra perlahan. Adila tersenyum lalu dibawa Adra ke dalam pelukan.
"Yelah,"
YOU ARE READING
Cintai Aku. [ complete ]
Romance🌸 Previously known as DIA. 🌸 My First Romance Story. 🌸 100% completed. 🌸 No copy, no plagiarism. I'm watching you --- "Kalau kau nak tahu, hidup kau ni bawa malang. Kenapa kau tak mati je dari kecil?" Apalah nasib dibenci dan dicaci ibu kandung...