"Aku terima nikahnya Nur Adra binti Azmi dengan mas kahwinnya RM1000, tunai."
Dengan sekali lafaz, akhirnya Adra sah menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Rafique Iman. Air matanya tumpah dengan sendirinya. Adra sendiri tak pasti dengan perasaannya.
Sedih. Sebak.
Pernikahannya hanya disaksikan oleh keluarga Hajah Ameena, Datin Mariam serta ahli keluarga Pak Mat. Walaupun Adra sedikit terasa, namun dia tabah. Dia reda.
Hari ini, hari bahagianya. Tapi, bahagiakah dia?
Sedangkan sewaktu Rafique mahu menyarung cincin pada jari manisnya, muka lelaki itu ketat semacam. Adra tahu yang Rafique terpaksa. Rafique juga langsung tak mencium dahinya. Waktu Adra menyalam tangan lelaki itu, lekas-lekas Rafique menarik tangannya. Sungguh Adra terasa.
Jamuan makan pun biasa-biasa saja disebabkan permintaan daripada Rafique sendiri. Nak tak nak, terpaksalah Datin Mariam ikutkan kehendak anak lelakinya.
"Ara jaga diri baik-baik, ya. Lepas ni tanggungjawab Ara ialah tanggungjawab Raf. Jangan bantah cakap suami. Dengar cakap suami." Pesan Hajah Ameena. Raut wajahnya memang nampak yang dia sedang susah hati.
Adra cuba lorekkan senyuman walaupun pahit. "Iya, umi. Terima kasih sebab umi sudi jaga Ara selama ni. Kalau bukan umi yang sudi jaga Ara, Ara sendiri tak tahu apa nasib Ara sekarang ni. Ara rasa bertuah sangat sebab Ara dipertemukan dengan orang sebaik umi." Ucap Adra sebak. Terus didakap tubuh Hajah Ameena. Bergetar tubuhnya menahan esak tangis.
Hajah Ameena tak tahu mahu membalas apa. Setiap kata-kata Adra betul-betul meruntun jiwanya. Digosok belakang badan Adra untuk memberi semangat buat gadis itu.
"Ara sabar ya nak."
Adila datang lalu menggeleng. Dia turut bersedih apabila terpaksa berpisah dengan Adra. Tapi, nak buat macam mana.
"Ara jaga diri baik-baik tau. Jangan lupakan kami semua." Kata Adila. Adra tersenyum tawar. Mana mungkin dia boleh lupakan manusia yang terlalu baik buatnya.
"Okaylah. Kami balik dulu. Dah malam dah ni." Ucap Adila lalu pantas tubuh Adra diraih ke dalam pelukan. Dia cuba untuk tidak menangis. Dia tak mahu Adra nampak yang dia menangis.
Adra memerhati kereta Myvi milik Adila keluar melepasi pagar rumah banglo yang sekarang sudah menjadi tempat dia berteduh pula. Keluarga Pak Mat awal-awal lagi sudah pulang.
"Adra," panggil Datin Mariam yang sedang berdiri sambil bertongkat. Sudah seminggu lebih dia memakai tongkat. Cuma jalannya masih lagi tempang.
Adra pantas mengelap air matanya. Dia memandang Datin Mariam dengan senyuman. Dia merapati Datin Mariam yang turut tersenyum memandangnya.
"Ya, Datin."
"Apa pula Datin... mama. Panggil mama." Datin Mariam ketawa kecil. Adra tersenyum segan. Dia belum biasa lagi.
"Err, mama nak tidur? Biar Ara teman mama." Kata Adra lalu dia membantu Datin Mariam berjalan sambil tangannya memeluk lengan Datin Mariam. Adra masih lagi lengkap dengan sepersalinan baju pernikahannya.
Bunyi kunci berlaga antara satu sama lain membuatkan langkah kedua-duanya terhenti. Terus mereka menoleh ke belakang.
"Raf nak ke mana tu?" Soal Datin Mariam pelik.
"Keluar," jawabnya sepatah.
"Raf kan dah jadi suami orang. Kalau nak keluar tu bawalah Adra sekali. Dia kan isteri Raf sekarang." Lembut Datin Mariam menutur. Adra menunduk.
"Ma, tolong ea. Raf dah buat apa yang mama nak. Kalau budak ni nak pergi mana-mana, pandai-pandailah dia." Terus Rafique keluar.
'Budak.'
Macam nak menangis Adra di situ. Hina sangat ke aku sampai susah nak anggap aku ni isteri dia?
Datin Mariam menggeleng. Keras kepala. Degil. "Ara jangan ambil hati ya dengan sikap Raf. Dia memang macam tu." Adra sekadar mengangguk lemah.
✨✨✨
Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Adra masih lagi tidak boleh melelapkan mata. Tadi, selesai sahaja mandi dan menunaikan solat, terus terasa segar bugar. Mata tak mengantuk langsung.
Adra keluar dari bilik tidur. Atau lebih tepat bilik tidur Rafique. Dia segan apabila Datin Mariam meminta dia untuk tidur dan mandi sahaja di dalam bilik Rafique. Memanglah dia ada hak sekarang. Tapi, takkanlah dia mahu buat sesuka hati. Sebab dia tahu yang Rafique tak sukakan dia dan Adra masih sedar diri.
Gelas di ambil lalu air sejuk dituang ke dalam cawan. Perlahan-lahan dia meneguk air sejuk itu.
"Ehem,"
Hampir tersedak Adra. Cepat-cepat dia mengurut dada. Dia berpusing ke belakang dan kelihatan Rafique sedang merenungnya tajam. Adra membuat muka selamba. Takut? Tak langsung. Malah, Adra ada kekuatan sendiri. Dia sudah bersedia jika lelaki ini mahu menghinanya.
"Kau buat apa ni?" Soal Rafique.
"Lah, minum airlah. Ada nampak saya tengah menjahit ke kat sini?" Jawab Adra selamba. Dan Rafique menjeling geram. Adra selamba saja melabuhkan punggungnya di atas kerusi tanpa menghiraukan Rafique yang sedang merenungnya.
"Mana tudung kau? Dah pandai tunjuk aurat dah sekarang." Sinis kata-kata Rafique tetapi Adra hanya ketawa dan mengundang kerutan pada dahi Rafique.
"Abang lupa ke yang Ara ni isteri abang? Jadi, nak pakai tudung buat apa? Bukannya ada sesiapa pun dalam rumah ni." Adra ibarat mengejek.
Akibat rasa tercabar dengan gadis belasan tahun itu, akhirnya Rafique berjalan mendekati Adra. Dia berdiri betul-betul di sisi Adra.
"Kau menjawab? Patut ke isteri menjawab macam tu depan suami? Memang macam tu ke cara menjawab kalau suami tanya?" Keras, suara Rafique. Adra telan liur. Cuak jugalah.
"Sekurang-kurangnya Ara tak tinggikan suara dekat abang. Ara hormat abang." Ucap Adra lembut. Rafique sedikit terkesan dengan bicara lembut Adra. Tapi, segera dia tepis rasa itu.
"Aku tak nak kau tidur dalam bilik aku. Aku nak kau tidur dekat bilik lain."
Adra sekadar memandang belakang tubuh Rafique yang hilang menaiki tangga. Keluhan dilepaskan. Susah juga dengan manusia bernama Rafique Iman ni.
ANDA SEDANG MEMBACA
Cintai Aku. [ complete ]
Romance🌸 Previously known as DIA. 🌸 My First Romance Story. 🌸 100% completed. 🌸 No copy, no plagiarism. I'm watching you --- "Kalau kau nak tahu, hidup kau ni bawa malang. Kenapa kau tak mati je dari kecil?" Apalah nasib dibenci dan dicaci ibu kandung...
![Cintai Aku. [ complete ]](https://img.wattpad.com/cover/136895959-64-k870412.jpg)