77

9.2K 364 10
                                    

SELESAI solat subuh, Arfan segera mengatur langkah keluar dari bilik. Kelibat ibunya dicari namun kakinya diatur menuju ke arah dapur selepas mendengar bunyi dari bilik air menandakan ibunya sedang mengunakan bilik air tersebut.

Gelas kaca diambil lalu sebotol air sejuk dari peti ais digapai dan dituangkan ke dalam gelas di tangannya.

Meskipun perutnya berkeroncong kuat meminta diisi dek kerana lapar namun Arfan rasa dirinya bagai hilang selera hendak menjamu apa-apa jenis makanan sekarang ini.

Baki air di dalam gelas segera dihabiskan lalu gelas tersebut diletak ke dalam singki. Kakinya ingin diatur kembali menuju biliknya, dia ingin menghabiskan waktunya dengan berzikir sementara menunggu hari berubah cerah.

Saat melintasi meja makan, matanya tertancap pada nota yang terselit di tepi tudung salji. Segera tangannya meraih nota tersebut, air mata yang sudah surut kembali mengalir saat matanya membaca setiap perkataan yang tertulis di nota tersebut.

Arfan terduduk di saat selesai membaca nota tersebut.

-Hi cinta hati saya Muhammad Arfan Daniel <3 Suprise! Abang ini ada Mar masakan lauk kegemaran abang. Mar tahu abang mesti teringin sangat nak makan masakan Mar sebab dah hampir sebulan Mar koma, tinggalkan abang. Jadi, sempena nak bayar balik. Mar masakkan untuk abang. Khas untuk abang! Abang kena rasa tau. Ok muah. Baliklah cepat, Mar rindu abang hehe. Yang ikhlas, cinta hati abang.-

Arfan segera membuka tudung salji, lauk masakan isterinya masih terletak elok di atas meja makan. Kenapa baru sekarang dia sedar isterinya ada menyediakan makanan untuknya?

Rak pinggan dituju lalu satu pinggan kaca diambil, tidak lupa nasi juga dicedok dari periuk nasi. Selesai sahaja mencedok nasi, kakinya segera diatur kembali ke meja makan. Seekor ikan keli diletakkan ke dalam pinggan bersama beberapa cedokan kuah.

Tanpa menghiraukan keadaan lauk tersebut, Arfan segera menyuap nasi ke dalam mulutnya.

Nasi dimakan bersama linangan air mata, dia terbayangkan wajah Marisa saat menyediakan lauk ini buat dirinya. Pasti wanita itu bersemangat hendak bertemu dengannya, menunggu dirinya.

Andai sahaja dia tidak pergi ke majlis itu, pasti keluarga kecil mereka tidak hancur sebegini.

Kalsom yang baru keluar dari bilik air tersentak melihat keberadaan anak lelakinya yang sedang duduk di meja makan. Segera Arfan dihalang dari menyambung perbuatannya saat menyedari lelaki itu menjamah lauk yang sudah rosak.

"Arfan... lauk ni dah rosak, ibu baru fikir nak buang tadi. Berhenti.. biar ibu masakkan lauk baru untuk kamu," tangan Kalsom dihalang dari mengangkat lauk buatan isterinya.

"Jangan ibu.. Marisa yang masakkan untuk Arfan. Biar Arfan habiskan," tegasnya, sisa baki yang terdapat dalam mangkuk dimasukkan semua pinggannya. Tidak dihiraukan lagi, rasanya yang sudah tidak elok memandangkan Marisa sudah bersusah-payah menyediakan buat dirinya.

"Kalau Arfan sakit macam mana? Ini lauk dari pagi semalam, nak.. terbiar sampai pagi ni atas meja," Arfan menggeleng. Lauk masakan isterinya dimakan seperti tiada masalah, Kalsom mengeluh.

Segera kerusi bersebelahan Arfan ditarik lalu punggungnya dilabuhkan di situ, Arfan yang sedang menikmati lauk buatan menantunya dipandang.

Kalsom nampak begitu jelas kebesaran cinta Arfan pada menantunya. Lelaki itu rela menghadapi apa sahaja demi Marisa, rela mengorbankan apa sahaja termasuk nyawanya sendiri.

"Sedap Mar masak?"

Laju Arfan mengangguk, senyuman terlakar di bibir lelaki itu.

"Sedap ibu. Pandai sungguh isteri Arfan masak.. nanti kalau Marisa dah pulang. Arfan akan puji dia masak setiap hari, Arfan akan minta dia masak hari-hari. Ibu nak rasa tak?" Jelas nada lelaki itu berbunyi sebak namun Kalsom nampak anak lelakinya cuba berpura-pura kuat sedangkan Kalsom tahu, Arfan tidak sekuat yang dia tunjuk saat ini.

MRS ARFAN DANIEL©Where stories live. Discover now