BAB 15

1K 43 2
                                    

"Anaqi, Tengku Zafrul datang tu," kata Datin Roslina sambil melihat Anaqi mengekek ketawa. Dari tadi layan Lawak Kampus. Bilalah anaknya itu mahu dewasa. Kata sudah mula berkenan dengan seseorang, tetapi perangai macam tu juga. Kalau beginilah, siapa yang suka?

"Mama tolong cakap Anaqi tak ada," balas Anaqi. Malas nak jumpa lelaki bajet bagus itu. Nanti ada saja benda yang boleh buat Anaqi sakit hati.

"Hesy, takkan mama nak cakap Anaqi tak ada pula. Walhal terang-terang Anaqi ada dalam bilik," kata Datin Roslina. Faham apa yang Iman rasa, tapi apa boleh buat. Anak buah Datin Roslina itu memang berhajat mahu jumpa Anaqi.

"Cakap aje Anaqi tak sihat."

"Anaqi, tak baik layan tetamu macam tu. Nanti apa pula kata Tengku Zafrul. Pergilah tengok kejap. Tanya pun apa salahnya," pujuk Datin Roslina.

"Anaqi tak sukalah, mama..."

"Anaqi..."

"Yalah, yalah." kata Anaqi sambil mengatur langkah ke ruang tamu.

Sebaik sahaja dia sampai mata Tengku Zafrul tertumpu ke arah Anaqi.

"Dah lama abang sampai?" soal Anaqi. Masih memandang Tengku Zafrul. Sepupu yang sebaya dengan Aqil. Sejak dulu nenek mereka sudah buka cadangan mahu menjodohkan Anaqi dengan Tengku Zafrul, cuma Tengku Zafrul yang banyak beri alasan. Tapi yang sebenarnya, Tengku Zafrul memang tidak suka akan sepupu yang dia anggap serba tak cukup itu.

"Dalam sepuluh minit macam tu. Anaqi apa khabar?" soal lelaki berkulit kuning langsat itu.

Maklumlah, ayah Tengku Zafrul orang kerabat diraja. Sebab itu Tengku Zafrul memiliki raut wajah yang sangat menawan. Dengan wajah itulah Tengku Zafrul percaya Anaqi tergila-gilakan Tengku Zafrul.

"Alhamdulillah, sihat," jawab Anaqi perlahan.

"Jadi bila majlis bertunangnya?" Anaqi tanya juga perihal khabar angin yang mula sampai ke telinganya semenjak dua tiga hari ini walau Anaqi sebenarnya tidak mahu ambil tahu langsung. Tetapi dia harus bertanya juga untuk menunjukkan dia tidak menyimpan perasaan marah apatah lagi dendam buat Tengku Zafrul. Anaqi tidak mahu Tengku Zafrul tuduh Anaqi masih menaruh harapan.

"Insya-Allah, dalam waktu terdekat ni," jawab Tengku Zafrul tenang.

Anaqi menarik nafas panjang. Huh! Cepatnya nak bertunang. Seperti sudah tidak sabar-sabar. Langsung tidak menunggu sedikit masa lagi. Nampak benar tidak menyabarnya.

"Lama nak bertunang?" soal Anaqi lagi. Sengaja hendak menyambung bicara agar Tengku Zafrul akan lebih bercerita.

"Paling lama pun setengah tahun, tapi rasanya tiga bulan saja kut," jawab Tengku Zafrul dengan yakin. Anaqi bakal kecewa. Harapan Anaqi akan hancur dan senang nanti Tengku Zafrul nak tepuk tangan. Itu yang Tengku Zafrul mahu lihat. Entah kenapa dia sangat meluat tengok Anaqi. Memang menyampah.

"Oh! Baguslah. Bertunang ni tak elok lama-lama. Sebab itulah trend sekarang ni tunang sama naik dengan nikah," kata Anaqi tanpa rasa ikhlas langsung. Rasa meluat pun ada. Seperti Tengku Zafrul itu sedang menunjuk-nunjuk dengannya. Seperti sengaja mempamerkan kebahagiaan sendiri di hadapan Anaqi. Dan Anaqi tahu, itulah tujuan sebenar kenapa Tengku Zafrul berjumpanya pada malam itu. Ingin memberitahu Anaqi, betapa bahagianya dia. Ah! Anaqi tak hairan pun. Kalau bahagia Tengku Zafrul itu setinggi langit sekalipun, Anaqi tidak hairan.

"Siapa nama orang yang berjaya curi hati abang tu?" Perlahan Anaqi bertanya. Saja tanya sebab mahu sedapkan hati Tengku Zafrul. Tengku Zafrul itu jenisnya suka dipuji-puji, suka orang kagum dengan dia.

"Jeff Erwin," jawab Tengku Zafrul sepatah.

"Tentu comel orangnya."

"Memang comel sebab itu abang jatuh cinta pandang pertama," tersenyum. balas Tengku Zafrul sambil Ketika itu dia sudah membayangkan betapa comel Jeff Erwin orang yang dikenalinya hampir tiga bulan lalu. Hajah Faridah yang merancang semuanya.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now