BAB 30

1.1K 47 0
                                    

Malam itu, Anaqi mengetuk bilik bacaan Dato Johan. Dia mahu membincangkan sesuatu. Aqil ada bersama juga. Tekun kedua-duanya bekerja walaupun di rumah.

"Boleh Anaqi berbincang dengan papa?" soal Anaqi sambil menunjukkan muka sedih.

"Ya, silakan," jawab Dato Johan dengan tenang.

"Papa ada cakap apa-apa dengan Abang Fattah?" soal Anaqi lembut.

"Kenapa tanya papa macam tu?"

"Sebab tiba-tiba saja Abang Fattah nak bawa Anaqi balik kampung dia, jumpa keluarga dia."

"Hah, baguslah tu, boleh jumpa bakal mertua. Apa salahnya," usik Aqil.

"Anaqi serius ni." Anaqi menjeling Aqil. Geram betul. Anaqi sudahlah bengang, Aqil menambahkan lagi bengang Anaqi.

"Tak ada apa-apa. Papa cuma cakap jaga Anaqi baik-baik saja," jawab Dato Johan perlahan.

"Serius? Papa cakap benda tu aje?" Serba salah Dato Johan hendak berbohong lagi. Tetapi fikir Dato Johan perkara tersebut masih tidak serius. Jadi Dato Johan ambil keputusan untuk merahsiakan saja agar Anaqi tidak bimbang. Dato Johan tidak mahu Anaqi mengambil tindakan yang tidak wajar memandangkan Dato Johan kenal benar akan sikap anak manjanya itu.

"Ya, kenapa Iman tak tanya sendiri kepada Fattah?"

"Dia pun macam papa, jenis nak berahsia," kata Anaqi bernada kecewa.

"Tak ada apa-apa rahsia. Anaqi jangan susah hati pasal tu." Jawapan daripada Dato Johan itu memberi sedikit keselesaan buat Anaqi. Pastinya tidak ada perkara besar yang berbangkit.

"Kalau macam tu, tak apalah." Anaqi bergerak meninggalkan bilik bacaan dan menuju ke bilik tidurnya.

Si dia yang comelTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang