"Kenapa tak cakap awai- awai hang nak mai? Boleh aku pi ambik." Zahhar mula berleter melihat keadaan Fattah yang lemah. Kawan satu kampung yang berusia 28 tahun itu sudah berhenti daripada menjadi guru sandaran sejak tiga bulan lalu. Katanya rimas mengajar budak-budak darjah satu sedangkan masa di Universiti Sains Malaysia dulu langsung dia tak ambil kursus pendidikan. Jauh sungguh terpesong. Sebab itu Fattah rasa kurang serasi jadi cikgu walaupun gelaran cikgu Fattah itu sedap didengar. Jiwa Fattah memang tak sesuai jadi cikgu.
Baru dua hari lepas Fattah menghubungi Zahhar. Mengkhabarkan tentang temu duga yang mahu dicuba. Pegawai pemasaran untuk sebuah syarikat pengeksport bekalan minyak masak untuk negara-negara Timur Tengah. Bunyi kerjanya sangat menarik. Sebab itu Fattah terpanggil untuk mencuba nasib.
"Tak apalah, hang pun sibuk." Mata Fattah mula memandang ke kiri dan ke kanan rumah kedai yang terletak paling atas. Mengikut alamat, tingkat tiga tapi sebenarnya tingkat empat. Padan susah sangat nak jumpa.
Keadaan rumah sungguh semak samun. Tuala mandi bergantungan di merata tingkap. Baju dan seluar main letak di mana-mana. Sakit mata Fattah. Dia pun lelaki, tapi taklah pemalas lagu ni.
"Hang tinggal berapa orang ni? tak menyusahkan ke?" soal Fattah sedikit ragu dengan status dirinya di dalam rumah tersebut. Bimbang mengundang rasa tidak senang rakan serumah Zahhar yang lain.
"Taklah, budak-budak rumah ni tak kisah. Depa bukan ada kat rumah selalu. Balik tidoq ja," kata Zahhar sambil mencari sesuatu di dalam peti sejuk.
Fattah menantikan juga minuman apa yang bakal Zahhar hidangkan. Bila melihat hanya sebotol air mineral dan dua biji cawan plastik saja yang Zahhar bawa, tahulah Fattah dia bakal dijamu dengan air rasmi, ayaq sejuk.
Zahhar sebaya dengan Fattah dan bekerja sebagai kerani bank. Dia pernah menjadi lelaki tersegak di kampung mereka kerana Zahhar satu-satunya anak muda yang berjaya pulang dengan bergaya kerana memiliki Perodua Kancil keluaran baru. Namun kedudukan teratas Zahhar tidak kekal lama, apabila Miro atau nama sebenarnya Amirul , anak bongsu ketua kampung berjaya membawa pulang pula Proton Saga keluaran baru. Nampaknya istilah tersegak di kampung Fattah hanyalah berpandukan kepada jenis kereta. Makin segak kereta tersebut maka makin segaklah tuannya.
Tetapi kalau mengikut pandangan mata, Zahhar itu memang segak juga. Berkulit hitam manis, berambut kerinting halus dan tinggi.
"Bila temu duganya?" soal Zahhar. Mengambil tempat di sofa lusuh.
"Pagi esok. Pukul lapan mesti ada kat sana. Hang boleh tolong hantaq aku sat? Kalau harap aku pi cari, pukul lapan malam esok pun sah tak jumpa." Fattah membuat muka simpati.
Siapa lagi mahu diharap kalau tidak kepada Zahhar."Tu hang tok sah risaulah. Aku boleh hantaq."
Lega perasaan Fattah. Nampaknya Zahhar boleh diharap lagi. Masih kekal sifat baiknya walau sudah pun berkereta Kancil.
"Tapi aku ingat hang kena pi potong rambut tu dulu. Kalau hang pi temu duga dengan rambut serupa Jack Sparrow ni, jangan kata syarikat tu tak mau, kilang buat sabun pun belum tentu nak terima." Kedengarannya seperti lawak saja kata-kata Zahhar itu tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Tak berkenan betul dengan rambut Fattah.
Fattah senyum sambil memegang hujung rambut yang sudah sampai ke bahu. Bukan mahu meniru gaya penyanyi rock, tetapi sejak berhenti kerja jadi cikgu, Fattah langsung tidak ambil kisah tentang penampilan diri. Bukan ada guru besar yang mahu menegur, paling-paling pun, ketua kampung. Itupun kerana rata-rata anak dara dan kaum ibu memakai tudung. Mana sesat pula orang berambut panjang tidak bertudung. Kebetulan pada hari tu ketua kampung terpandang Fattah dari belakang. Itu pasal ketua kampung kecoh sekejap. Kalau rambut Fattah panjang macam Amy Search zaman muda-muda dulu mahu tiga kali Jumaat tok ketua ungkit.
"Aku nak kemas kemas barang dulu. Lepas tu baru kita pi gunting rambut," kata Fattah sambil memandang Zahhar. Zahhar hanya mengangguk tanda setuju.
"Tu ada nasi ka?" Zahhar bertanyakan mangkuk bertingkat yang sejak tadi diletak di atas meja sofa.
"Mana ada apa dah. Ada budak lelaki terlanggaq aku tadi. Habis nasi dengan sepat ronggeng tertabuq atas lantai," jawab Fattah kesal. Teringat semula budak lelaki bertubuh kecil yang memiliki rambut seperti rainbow. comel orangnya, budi bahasa, juga lembut tapi sayang, kain seluarnya ketat dan nampak lutut. Itu yang tidak comel.
"La, ruginya. Bukan senang nak makan sepat ronggeng kat sini." Zahhar tumpang kesal sama.
"Tu la pasal." Kesal Fattah bersahutan.
Wajah budak lelaki tadi melintasi ruang mata. Bukan nak marah atau nak kata lebih-lebih, tapi tak tau kenapa kepala dok ingat dia saja. Sungguh, Fattah mana pernah melihat budak lelaki secomel itu. Sebab itu Fattah tidak boleh lupa. Di kampung mereka yang paling comel pun Malik , budak lelaki yang bekerja sebagai kerani di pejabat tanah. Itulah budak lelaki yang Puan Lisa berhajat benar mahu ambil sebagai menantu. Tak mahu Fattah. Kos tinggi. Kurang- kurang duit belanja kahwin saja empat belas ribu. Mana Fattah nak cekau duit sebanyak tu.
Tapi budak lelaki tadi memang comel . Fattah geleng sambil mengatur langkah ke arah beg pakaiannya. Kepala ni pun satu. Gatai semacam!
YOU ARE READING
Si dia yang comel
RomanceAnaqi Amran seorang anak orang kaya yang manja dan comel telah jatuh cinta dengan orang yang datang dari kampung yang kacak iaitu Fattah Najmi. Dalam diam jugak Fattah Najmi jugak mula belajar mencintai Anaqi Amran. Pada masa yang sama Tengku Zafrul...