BAB 41

1.1K 48 0
                                    

"Duduklah Fattah, lap darah kat mulut tu," kata Aqil sambil menghulurkan sekotak tisu kepada Fattah.

"Abang, maaflah. Tak sangka dia akan serang abang," kata Anaqi sambil mengambil beberapa helai tisu lalu dihulurkan kepada Fattah.

"Siapa dia tu?" soal Fattah. Ingin tahu juga. Tak pasal-pasal berdarah mulutnya.

"Sepupu kita orang yang tak berapa nak betul. Tak habis-habis nak menyusahkan hidup kami orang," jawab Aqil yang sudah mengambil tempat duduk berhadapan Fattah.

"Dia marah sebab Anaqi ikut Fattah balik sebabnya dia ada ura-ura nak jadikan Anaqi pengganti bekas tunang dia. Dia mahu teruskan juga majlis perkahwinan tu sebab tak nak dapat nama buruk."

"Karut. Anaqi tak nak!" Lantang Anaqi bersuara.

"Habis, Anaqi ingat abang akan benarkan benda tu berlaku? Jangan harap. Selagi abang hidup, jangan siapa-siapa berani buat apa-apa terhadap adik abang." Suara Aqil juga lantang.

"Hari ni Tengku Zafrul betul-betul sudah melampau. Sudah berani mengasari orang. Esok-esok entah apa pula yang berlaku," keluh Datin Roslina.

Fattah mengelap mulutnya. Terasa sangat pedih. Betul-betul tidak sangka dia bakal menjadi mangsa kemarahan seseorang.

Kak Alya datang membawa sedulang air.

"Kenapa Fattah?" soal Kak Alya. Terlihat kesan darah di bibir Fattah, buat Kak Alya ingin tahu.

"Ada orang tak siuman datang serang, mak cik," jawab Aqil.

"Hah?"

"Tak adalah Alya, Si Tengku Zafrul datang serang Fattah tak tentu pasal. Suka hati dia saja tumbuk orang. Perangai tak semenggah langsung," beritahu Datin Roslina.

"Belum selesai lagi ke?"

"Nampaknya memang tak akan selesai," keluh Datin Roslina sambil menuang air ke dalam gelas.

"Jemput minum Fattah," pelawa Datin Roslina sebaik sahaja selesai menuang air sirap ke dalam gelas.

"Janganlah serik nak berkawan dengan Anaqi. Tengku Zafrul tu bukan siapa-siapa pun. Saja nak mencari pasal," tokok Datin Roslina membuatkan Raees sedikit lega.

Raees mengambil segelas lantas diteguknya perlahan.

"Air sajalah nampaknya ni," ujar Aqil perlahan. Sedikit demi sedikit kemarahannya mula reda.

Fattah tidak berkata apa-apa, sekadar menahan pedih di bibir. Kena sentuhan air tadi, lagi terasa pedihnya.

"Saya tahu mungkin papa saya sudah beritahu Fattah tentang hal Anaqi. Sebenarnya itulah masalah yang sedang kami hadapi sekarang ni. Masalah keluarga. Mak long saya berkeras mahu meneruskan juga majlis perkahwinan Tengku Zafrul. Kalau tak teruskan, mereka bakal mendapat aib. Jadi, mak long saya merancang mahu Anaqi menggantikan tempat bekas tunang Tengku Zafrul tu."

"Apa?" soal Anaqi dengan rasa terperanjat. Langsung dia tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut.

"Abang dah tahu?" soal Anaqi dengan suara sedikit kuat. Fattah geleng sebab dia memang tidak tahu.

"Betul abang tak tahu?" Anaqi asak dengan soalan begitu.

"Dato hanya minta abang nikah dengan Anaqi secepat mungkin. Itu saja. Dia tak sebut sebarang alasan," jelas Fattah.

"Papa minta abang nikah dengan Anaqi?" Anaqi sudah kegirangan. Serentak dengan itu, tangan Aqil sudah sampai ke kepala Anaqi.

"Tolong jangan gedik boleh? Itulah pasalnya papa nak diam-diamkan perkara ni. Kalau Anaqi dapat tahu, Anaqi yang melebih nanti," kata Aqil sambil menjeling Anaqi.

Anaqi menyandar sambil menarik muka masam.

"Anaqi jangan main-main. Benda ni serius sangat. Kalau nenek guna kuasa dia, Anaqi kena kahwin juga dengan Tengku Zafrul. Mama dengan papa mesti tak boleh nak tolong. Sebab mak long dah ungkit semuanya. Minta papa balas balik apa yang pak long dah tolong kita. Anaqi faham tak keadaan sekarang ni?" Suara Aqil semakin kuat. Penjelasan Aqil buat Anaqi rasa takut. Bimbang kemungkinan yang bakal terjadi.

"Sebab itu papa minta Fattah kahwin dengan Anaqi dengan segera. Bukan papa saja-saja buat rancangan macam tu. Papa tak mahu Anaqi menderita nanti," jelas Aqil lagi.

Fattah terangguk-angguk. Fahamlah dia kini. Bermakna ada masalah besar yang sedang melanda keluarga Dato Johan.

"Anaqi tak nak kahwin dengan Abang Zafrul." Tiba-tiba Anaqi bersuara. Suaranya sudah serak.

"Ya, mama tahu. Sebab itulah papa buat rancangan macam tu. Anaqi jangan bimbang.  Kita boleh hadapi masalah ni dengan baik. Selagi kita sekeluarga bersatu padu, kita akan berjaya tempuhi semua dugaan ni," pujuk Datin Roslina. Walaupun kata-kata Datin Roslina ni itu cukup meyakinkan, namun tidak mampu membuatkan hati Anaqi tenteram. Dia masih rasa bimbang.

"Saya minta diri dulu auntie, Encik Aqil," kata Fattah sebaik sahaja selesai menghabiskan minumannya.

"Hmmm, Fattah berehat saja di rumah. Tentu penat memandu jauh tadi," balas Datin Roslina.

"Terima kasih, auntie." Fattah bangun.

"Maaflah sebab Fattah kena tanggung semua ni. Kami memang tak jangka dia akan bertindak sampai begitu sekali." Aqil turut bangun.

"Tak apa. Masalah kecik saja."

"Tapi kita kena tangani juga. Takut melarat-larat nanti. Lagi payah." Fattah mengangguk. Dia faham. Dia memandang Anaqi yang masih kegelisahan.

"Abang balik dulu," kata Fattah.

"Baik, bang." Anaqi lambai dengan lesu. Fattah memberi salam selepas itu sebelum melangkah pergi.

Si dia yang comelTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang