Tenang saja langkah Aqil ketika menghampiri meja Fareez. Kalau lelaki lain, mungkin Fareez bakal menerima habuan. Paling tidak satu tumbukan bakal singgah di muka Fareez. Tetapi Aqil sudah diajar untuk menjadi lelaki yang penuh dengan sifat sabar. Kata Anaqi, untuk menjadi seorang lelaki budiman, perlu ada sifat sabar. Senang sekali Aqil menerima nasihat Anaqi. Dan kata Aqil pula, mungkin ada hikmah di sebaliknya maka Aqil memilih untuk bertenang saja. Sebenarnya Fareez bukan orang lain. Antara kawan Aqil juga. Aqil yang perkenalkan Fareez kepada Yusuf. Namun tidak sangka pula hubungan kedua- duanya boleh sejauh itu. Hingga ke bilik hotel.
"Assalamualaikum." Aqil memberi salam dengan suara mendatar. Wajah Fareez yang putih melepak dipandang tanpa rasa dendam. Ya betul, ada hikmah yang tersurat yang pastinya tidak kelihatan dengan mata kasar.
"Waalaikumussalam," jawab Fareez nak tak nak. Aqil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Fareez, namun Fareez hanya memandang sepi. Kemudian Fareez menoleh ke tempat lain tanpa mahu menyambut huluran tangan Aqil.
Rasa sangat pelik mula menguasai Fareez kerana Wafi masih menghulurkan tangan. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Bukankah sepatutnya Aqil datang dengan rasa marah? Memang itu yang Fareez nantikan. Fareez hampa di situ.
"Boleh aku duduk?" soal Aqil.
"Duduklah," jawab Fareez sepatah. Aqil duduk berhadapan Fareez. Kemudian matanya meliar melihat ruang istirahat milik salah sebuah kelab golf terkemuka di pinggir kota. Dinding yang diperbuat daripada kaca sepenuhnya membolehkan anak matanya melarikan untuk melihat pemandangan yang terhidang. Padang golf yang terhampar luas di luar sana memberikan sedikit kedamaian buat Aqil.
"Baru puas hati aku Aqil," kata Fareez.
"Jadi semua ni rancangan kau?" soal Aqil tenang.
"Ya, memang semua ni rancangan aku. Aku memang dendam dengan kau sejak dulu."
"Astaga. Aku minta maaf banyak-banyak kalau disebabkan aku, kau dah menjadi manusia yang hilang pertimbangan, Fareez. Aku betul- betul minta maaf." Aqil masih lagi tenang. Memang dia marah, tetapi selepas memikirkan betapa bertuahnya dia, jiwa Aqil tenang semula.
Fareez begitu terkejut dengan sikap tenang Aqil. Sangka Fareez, Aqil akan mengamuk habis-habisan tetapi Aqil bersikap sebaliknya.
"Kau tak marah aku?" Terpacul juga soalan itu.
Aqil menggeleng.
"Sebaliknya aku sangat-sangat berterima kasih terhadap kau. Sekurang-kurangnya aku tahu dia orang yang bagaimana. Untuk jadi pasangan hidup aku, aku perlukan seorang yang tabah dan berani. Pandai menjaga diri. Menolak sebarang godaan. Dia terlalu lemah memang tidak layak untuk aku. Jadi selepas ini aku harap kau jangan sia-siakan Yusuf. Cepat-cepat ambil dia sebagai suami." Aqil tersenyum manis. Waktu itu wajah Aiman berlegar di ruang mata. Adakah itu hikmah yang tersembunyi? Kalau ya, Aqil rasa sangat bertuah.
Fareez bertambah tergamam. Apa sudah jadi ni. Aqil tak marah langsung?
"Aku tidak bermaksud mahu mengambil Yusuf sebagai suami. Jangan mimpi. Jantan seperti dia tak layak untuk dibuat suami. Aku hanya mempergunakan dia saja. Aku hanya mahu melihat kau kecewa." Suara Fareez masih bernada sombong. Tidak mahu menunjukkan wajah gagalnya. Gagal buat Aqil kecewa.
"Itu saja? Hanya mahu melihat aku kecewa? Memang aku kecewa dengan sikap kau, Fareez. Kau pernah jadi kawan aku, tetapi tidak sangka kau menyimpan dendam sampai begitu sekali. Sebenarnya apa yang kau lakukan ini hanya memusnahkan diri kau sendiri. Dendam yang kau simpan selama ini sudah menjadi racun di dalam diri kau. Kau kena sedar tu, Fareez." Aqil cuba menasihati Fareez namun nasihat Aqil itu seperti belati yang menghiris perasaan Fareez. Membuatkan perasaan lelaki itu bertambah sakit.
"Tak perlu kau nasihatkan aku, Aqil. Kalau tidak disebabkan kau, aku tak akan jadi begini."
"Jadi, apa salah aku sehingga kau boleh bertindak bodoh begini?" soal Aqil bersahaja.
"Banyak salah kau, Aqil. Kau ada semuanya. Kau menjadi kebanggaan kawan-kawan kita yang lain. Aku cemburu melihat kehidupan kau."
Aqil ketawa mengejek. Terlalu kebudak-budakan alasan Fareez itu. Tidak masuk akal langsung.
"Buat apa kau nak cemburukan aku, Fareez. Aku ni manusia biasa saja. Manusia yang tidak sempurna. Insaflah sebelum terlambat. Hidup kita tidak lama mana." Aqil tersenyum sinis.
"Emmm, aku nak balik. Rasanya perbincangan kita habis di sini. Apa pun aku harap kau dan Yusuf bahagia. Assalamualaikum," kata Aqil sebelum beredar. Dia rasa sangat berpuas hati kerana sudah dapat meluahkan rasa. Selepas ini terpulanglah kepada Fareez untuk memutuskannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Si dia yang comel
RomansaAnaqi Amran seorang anak orang kaya yang manja dan comel telah jatuh cinta dengan orang yang datang dari kampung yang kacak iaitu Fattah Najmi. Dalam diam jugak Fattah Najmi jugak mula belajar mencintai Anaqi Amran. Pada masa yang sama Tengku Zafrul...