Pagi itu hujan turun dengan lebat. Jadi Fattah meminta Zahhar untuk menghantarnya ke pejabat. Sebenarnya pada minggu lepas, Aqil sudah menyerahkan kunci kereta syarikat untuk kegunaan Fattah, tapi kereta tersebut kena servis. Ada masalah dengan enjin.
Sangka Fattah dia ialah orang yang paling awal. Tidak sangka pula sudah ada yang lebih awal. Apabila Fattah terpandang Anaqi di tempat duduknya, sengaja Fattah menunjukkan wajah yang terlebih ceria berbanding hari biasa. Memang dia gembira dapat pulang ke kampung tetapi dia mahu kenakan Anaqi sama. Tahu Anaqi akan terfikirkan benda yang bukan-bukan nanti.
"Amboi, balik kampung saja senyum sampai telinga. Seronoklah tu," usik Anaqi. Dari tadi dia perasan Fattah tu asyik tersengih sorang-sorang. Nampak benar gembiranya. Ini yang buat Anaqi bertambah susah hati.
"Memang seronok sebab dah lama tak balik kampung. Lebih-lebih lagi dapat jumpa orang kampung."
Fattah menjeling Anaqi sekilas. Wajah comel itu nampak tidak ceria. Kesian pula melihat Anaqi begitu. Perlahan-lahan dia diam mendekati Anaqi.
"Anaqi dah sarapan?" soal Fattah. Mahu mengambil hati semula.
Anaqi memandang wajah Fattah. Rasa segan pun ada tapi Anaqi tidak mahu usahanya bakal sia-sia.
"Anaqi ada bawa bekal untuk abang," kata Anaqi perlahan. Dalam segan Anaqi berterus terang juga. Anaqi tidak mahu ketinggalan untuk merebut hati Fattah. Selagi Fatrah belum menjadi milik orang, Anaqi berhak diberi peluang.
"Ya?" Fattah sendiri agak terkejut mendengar kata-kata Anaqi. Tidak sangka sampai begitu sekali usaha Anaqi. Anaqi mengeluarkan bekas makanan kemudian dihulurkan kepada Fattah bersama termos berisi air kopi. Aqil ada beritahu Anaqi, Fattah suka minum kopi 0. Jadinya sudah beberapa kali Anaqi cuba membancuh air kopi bersama tok guru bernama Kak Alya.
"Terima kasih. Macam tau-tau saja abang belum sarapan apa-apa." Fattah membawa bekas makanan ke mejanya bersama termos. Perlahan-lahan dia membuka penutup bekas makanan. Bila terpandang isi dalam bekas makanan tersebut, seribu rasa menyerbu perasaan Fattah. Dan rasa terharu paling menguasai.
"Anaqi buatkan untuk abang?" soal Fattah.
"Emmm..."
Fattah membaca doa makan dan mula jamah. Rasanya tak sama dengan lempeng kelapa Puan Lisa tapi ada keistimewaan tersendiri.
"Serius ni, Anaqi yang masak?" soal Fattah lagi. Mulut penuh dengan lempeng kelapa. Walau tak sama tapi ada sesuatu yang memaksa agar Fattah sumbat lagi mulutnya dengan lempeng kelapa tersebut. Maknanya makanan tersebut kena dengan tekak Fattah.
"Haah. Anaqi belajar dengan Mak Cik Alya. Okey ke tak?" soal Anaqi dengan rasa ingin tahu. Dari tadi matanya hanya tertumpu kepada wajah Fattah. Mahu melihat setiap perubahan yang berlaku pada wajah lelaki itu.
"Hmmm, sedap. Kalau macam ni bolehlah buat untuk abang selalu," puji Fattah. Memang sedap pun. Apa yang penting Fattah rasa ada keikhlasan pada lempeng kelapa tersebut.
Fattah mula terasa akan kesungguhan Anaqi. Tapi apa yang Anaqi harapkan kepada lelaki seperti Fattah sedangkan Anaqi boleh mendapat lelaki yang berharta dan berpangkat besar. Anaqi itu bukan anak sembarangan orang.
"Betul sedap?" soal Anaqi dengan rasa teruja.
"Hmmm, kalau tak, takkan dah separuh masuk perut abang." Fattah minum pula. Hmmm, boleh tahan.
"Air kopi ni manis sikit. Nanti tolong kurangkan sikit gula. Kalau sepuluh tahun akan datang, abang minum air kopi semanis ni, Anaqi jangan tinggalkan abang kalau kaki abang kena potong." Fattah beri sedikit kata laluan. Mana tahu Anaqi faham makna yang tersirat. Tapi rasanya Anaqi tak akan faham apa-apa. Anaqi itu lurus bendul.
YOU ARE READING
Si dia yang comel
RomanceAnaqi Amran seorang anak orang kaya yang manja dan comel telah jatuh cinta dengan orang yang datang dari kampung yang kacak iaitu Fattah Najmi. Dalam diam jugak Fattah Najmi jugak mula belajar mencintai Anaqi Amran. Pada masa yang sama Tengku Zafrul...