BAB 34

986 45 0
                                    

BAB 34

Selesai saja makan malam, Anaqi menemani Puan Lisa dan Encik Mustaqim berbual-bual. Hanya tinggal mereka saja apabila Farah sudah pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumah.

Walaupun Anaqi agak penat kerana sepetang dia berkubang, terpaksa juga dia melayan. Namun keseronokannya tidak boleh Anaqi lupakan.

"Muka dah semacam tu, mengantuk ke?" soal Fattah, apabila melihat wajah Anaqi seperti sudah mahukan bantal. Anaqi senyum. Memang dia mengantuk. Mengantuk gila.

"Anaqi dah mengantuk tu. Pi la masuk bilik. Fattah hang pi kemas apa yang patut. Pasang kelambu. Nyamuk banyak," arah Puan Lisa. Cepat saja Fattah bangun. Dia ke biliknya. Mengemas katil, kemudian Fattah menggantung kelambu. Boleh ke orang tu tidur di dalam kelambu? Mahu tak tidur satu malam nanti. Selesai menggantung kelambu, Fattah memasangkan pula kipas. Biar Anaqi selesa, kemudian dia terus keluar.

"Dah siap, pergilah tidur. Kalau apa-apa hal. kejutkan saja abang. Abang tidur di sini," kata Fattah.

"Anaqi masuk tidur dulu, ya," kata Anaqi sambil bangun.

"Pergilah. Harap boleh tidurlah. Kalau tak boleh tidur, kami minta maaf," balas Encik Muataqim.

"Boleh aje tidur, ayah. Tak ada masalah. Selamat malam," kata Anaqi sambil tersenyum. Kemudian dia mengatur langkah perlahan menuju ke bilik tidur.

Terkejut Anaqi apabila melihat di dalam bilik sudah tergantung kelambu. Seumur hidup, dia mana pernah tidur di dalam kelambu. Boleh tidur ke tidak ni, fikir Anaqi sendirian. Pasti Anaqi tak boleh tidur kalau macam ni.

Anaqi rapatkan mata. Mahu pujuk mata agar tidur tapi tidak boleh juga. Masa itulah pesanan ringkas sampai. Fattah menghantar mesej.

Tak boleh tidur?

Anaqi senyum. Laju tangan Anaqi taip perkataan.

Tahu tak apa.

Seketika Anaqi menantikan balasan daripada Fattah.

Maaf, kalau Anaqi tak selesa. Tapi kalau nak jadi pasangan abang kena biasakan diri.

Anaqi senyum lagi. Perkataan pasangan itu sangat manis. Buat Anaqi rasa bersemangat. Makin laju tangan Anaqi menaip perkataan.

Untuk abang Anaqi rela lakukan apa saja.

Betul, bukan setakat tidur di dalam kelambu saja, lebih daripada itu juga Anaqi akan cuba. Sambil menantikan balasan daripada Fattah, Anaqi memandang kelambu warna biru muda itu. Pengalaman yang pastinya tidak akan Anaqi lupakan sampai bila-bila.

Terima kasih sayang. Selamat malam.

Berbunga-bunga lagi perasaan Anaqi melihat perkataan sayang itu.

Selamat malam abang.

Lepas menghantar mesej tersebut. Anaqi meletakkan telefon bimbit di bawah bantal. Dia cuba untuk lelapkan mata. Mahu jadi orang kampung dan pastinya mahu jadi pasangan  Fattah.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now