"Istana siapa yang hang bawa mak ni, Fattah? Gerun mak rasa." Puan lisa mula berasa gementar. Ternyata anak teruna yang mahu mereka pinang itu bukan calang-calang orang. Rumah saja hampir tiga kali ganda rumah Puan Lisa.
Fattah masih tenang walau ada sedikit rasa gementar. Dia kenal siapa Dato Johan, dia kenal Datin Roslina bagaimana orangnya. Namun itu tidak bermakna Fattah perlu rasa selesa. Lagi pula perkahwinan yang dirancang itu juga adalah permintaan Dato Johan sendiri. Memang jarang orang biasa akan buat rancangan begitu.
Dato Johan dan Datin Roslina sudah menunggu di muka pintu bersama senyuman lebar. Senang hati menyambut bakal besan.
"Assalamualaikum." Encik Mustaqim memberi salam sebaik sahaja keluar dari kereta. Kalau dia juga tidak sama tumpang gementar, memang menipulah. Waktu itu Encik Mustaqim dan Puan Lisa benar-benar rasa sangat gementar apatah lagi melihat kediaman ibu bapa Anaqi yang tersergam indah.
"Waalaikumussalam, jemput masuk," pelawa Dato Johan sambil berpelukan dengan Encik Mustaqim. Begitu juga Datin Roslina dan Puan Lisa. Saling berpelukan sama. Lagak seperti sahabat yang sudah lama tidak bersua muka. Sudah ada kemesraan di situ.
"Jemput masuk," pelawa Datin Roslina pula dengan ramah.
Dengan perasaan gementar yang masih berbaki, Puan Lisa dan Encik Mustaqim melangkah masuk ke kediaman Dato Johan dan Datin Roalina.
Di ruang tamu, Aqil sudah menanti bersama senyuman lebar.
"Assalamualaikum, apa khabar pak cik." Aqil menghulurkan tangan dan cepat-cepat Encik Mustaqim sambut.
"Jemputlah duduk," pelawa Aqil pula.
"Ini abang Anaqi, Aqil. Kami ni anak cuma dua orang saja. Aqil dan Anaqi," kata Datin Roslina sebagai pembuka cerita.
"Kami pun anak tiga orang saja. Kak Fattah, dan adik perempuan dia. Dua-dua dah kahwin," balas Puan Lisa. Mula senang melihat keramahan keluarga Anaqi. Sangat harmoni dan tahulah Puan Lisa kenapa Anaqi itu sangat disenangi dan memiliki sifat penyayang. Dia hidup bersama orang-orang yang baik dan persekitaran yang penuh dengan kasih sayang.
"Oh ya, Anaqi mana auntie?" soal Fattah pelik juga bila watak utama tidak muncul-muncul. Malu pula ke? Nak malu tentang apa lagi. Bukan tidak biasa dengan keluarga Fattah. Dah siap panggil mak dan ayah lagi. Apa lagi yang hendak disegankan.
"Dia sedang sediakan makanan tengah hari resipi istimewa. Kari ikan talang masin," jawab Aqil sambil tergelak. Sudah empat kali Anaqi berlatih masak demi mengambil hati orang tua Fattah.
"Katanya belajar daripada kak. Anaqi cakap sedap sangat kari masakan kakak." Datin Roslina memegang bahu Puan Lisa. Rasa sangat bersyukur Anaqi dipertemukan dengan keluarga yang baik-baik. Sedikit tidak, dapat mengajar Anaqi.
"Eh, tak adalah. Tak sedap mana pun." Puan Lisa merendah diri.
"Minta maaflah. Saya memang tak pandai masak. Selama ini pun Kak Alya yang tolong masak untuk kami sekeluarga. Jadi saya sendiri tak pandai nak ajar Anaqi." Datin Roslina pula merendah diri.
"Jangan macam tu,kakak pun banyak kurangnya."
"Terima kasihlah sebab layan Anaqi dengan baik. Anak saya tu banyak kurangnya." Datin Roslina merendah diri lagi.
"Fattah pun lagi banyak kurang. Kami pun bukan daripada keluarga senang."
"Pasal tu kakak jangan bimbang. Kami tak pernah tengok semua tu. Sebenarnya kita ni sama saja. Mungkin sudah ditakdirkan di pihak yang berlebihan sedikit, tapi bukan bermakna kami kena berbangga dan. rasa sombong." Dato Johan menokok
YOU ARE READING
Si dia yang comel
Roman d'amourAnaqi Amran seorang anak orang kaya yang manja dan comel telah jatuh cinta dengan orang yang datang dari kampung yang kacak iaitu Fattah Najmi. Dalam diam jugak Fattah Najmi jugak mula belajar mencintai Anaqi Amran. Pada masa yang sama Tengku Zafrul...