BAB 3

1.5K 64 1
                                    

Anaqi meniarap di atas katil sambil membelek komik dengan pandangan yang kosong. Makanan yang berterabur di atas lantai di depan Salon Jaa Beauty tadi masih terbayang-bayang. Sedih Anaqi terbawa-bawa sampai ke rumah sehingga dia terpaksa menolak untuk makan malam, Hilang semua selera makannya. Akim ajak makan luar pun Anaqi buat tak dengar. Lepas tu Akim sakan gelakkan Anaqi. Tahu dah apa yang tidak kena. Kata Akim, sindrom cinta pandang pertama. Tapi Anaqi tak percaya. Mana boleh jatuh cinta macam tu saja. Itu kerja orang tak berapa nak betul.

Matanya terkalih apabila pintu yang sedia ternganga diketuk.

"Ada sesuatu yang tak kena ke? Merajuk dengan papa lagi?" tanya Aqil, abang kepada Anaqi.

Lambat Anaqi menggeleng.

Aqil senyum. Satu-satunya adik lelaki kesayangan Aqil yang akan mencecah umur 23 tahun bulan hadapan dipandang lama. Makin bertambah umur, makin susah hendak dikawal. Main ikut kepala sendiri saja. Kalau ada yang masuk meminang, Aqil kata kahwinkan saja. Habis cerita.

"Abang..."

Baru saja Aqil mahu memusingkan badan untuk meninggalkan bilik Anaqi, dia sudah dipanggil semula.

"Ya, kenapa?" soal Aqil. Pelik juga. Cara Anaqi tidak serupa pada malam sebelum-sebelumnya.

"Betul ke kalau kita putuskan rezeki orang,rezeki kita juga akan putus?" soal Anaqi

"Ya, begitulah. Lambat atau cepat saja. Kita
putuskan rezeki orang, nanti Tuhan akan putuskan pula rezeki kita. Hidup ini memang begitu. Ada memberi dan ada yang menerima. Kalau biasa duduk di atas, maka tak mustahil pula untuk tidak biasa duduk di bawah. Jadi jangan sesekali cuba-cuba nak putuskan rezeki orang. Tak kiralah kalau rezeki dia melimpah ruah," jelas Aqil.

Anaqi menarik nafas. Butir-butir nasi di atas lantai makin jelas di dalam kepalanya. Lelaki itu makan atau tidak pada malam ini? Kalau tak makan macam mana? Kesiannya dia kalau kelaparan. Pelik kau, Anaqi. Sedangkan masih ramai manusia di dalam dunia ini yang kebuluran, tapi sikit kau tidak endahkan. Tapi tentang lelaki itu, bukan main kau risau bagai nak rak. Ah! Manusia lain, Anaqi tak hairan sebab Anaqi tak ada kena- mengena dengan mereka semua. Tetapi lelaki seorang itu memang ada kena-mengena dengan Anaqi. Anaqi yang jatuhkan makanannya.

"Kenapa ni? Kalau ada masalah cakaplah dengan abang. Rezeki siapa yang Anaqi sudah putuskan?" Aqil yang memiliki wajah seiras mama mereka, menghampiri  Anaqi. Lelaki kacak itu kemudian duduk di birai katil. Komik di tangan Anaqi ditarik. Pantang kalau dia bercakap tidak diberi perhatian.

"Petang tadi..." Anaqi duduk bersebelahan Aqil. Wajah Aqil ditatap dengan rasa serba salah yang masih menebal di dalam diri Anaqi. "Anaqi terjatuhkan mangkuk tingkat seorang lelaki. Habis nasi berterabur atas lantai. Abang tahu tak, lauknya cuma ikan masin semata-mata. Lepas tu Anaqi tengok dia macam baru datang dari kampung. Mungkin nak cari kerja kat sini. Nampak macam orang susah. Macam mana kalau itu saja makanan yang dia ada?" Sedih sungguh Anaqi.

Aqil memeluk bahu Anaqi. Syukur, adiknya masih lagi ada sifat perikemanusiaan walau dilimpahi dengan kemewahan.

"Itu namanya bukan putuskan rezeki orang. Itu namanya tidak sengaja. Lainlah Anaqi sendiri yang tolak," terang Aqil.

"Tapi muka dia kesian sangat."

"Anaqi ada minta maaf tak?"

"Ada, Anaqi nak kasi duit, tapi dia tak nak."

"Baguslah. Yang penting Anaqi sudah minta maaf, tapi pasal nak bagi duit tu abang kurang setuju. Bukan semua orang bermata duitan macam Anaqi. Bukan semua orang boleh dibeli dengan duit. Dan sesetengah orang pemberian cara begitu merupakan satu penghinaan." Aqil senyum sendiri. Tangan Anaqi dipegang kemas. Adiknya yang bermata duitan itu dipandang dengan rasa kelakar. Julung-julungnya Anaqi bersikap begitu.

"Ah..." Anaqi tambah kesal.

"Tak apalah. Anaqi sudah minta maaf, itu sudah cukup. Selebihnya Anaqi doakanlah semoga dia baik-baik saja. Kalau betul dia mahu mencari pekerjaan, doakan dia semoga berjaya dapat kerja," nasihat Aqil lagi.

"Ehem..." Suara Datin Roslina berdehem. Wanita yang kelihatan anggun dengan statusnya sebagai Datin itu memandang kedua- kedua orang anaknya. Memang kedua-duanya rapat, tapi kadang-kadang macam kartun Ton and Jerry juga. Walaupun masing-masing sudah dewasa. ada kalanya masing-masing kembali ke perangai budak-budak

Tersentak kedua-duanya apabila Datin Roslina muncul.

"Apa saja dua beradik ni," tegur Datin Roslina sambil menunjukkan telefon bimbit milik Aqil. "Yusuf call," kata Datin Roslina lagi.

Cepat-cepat Aqil mendapatkan Datin Roslina.

"Kenapa tu?" soal Datin Roslina sambil muncungkan mulut ke arah Anaqi.

"Sindrom simpati tahap satu," beritahu Aqil sambil tergelak. Dia mengambil telefon bimbit dari tangan Datin Roslina kemudian berlalu keluar. Tunangnya dalam talian.

"Err... Mama dapat tahu esok ada sale kat SOGO. Lima puluh peratus," kata Datin Roslina bersahaja. Mahu mengumpan. Terus Anaqi terjun dari katil.

"Mama, pinjam kad kredit." Terus Anaqi menarik tangan Datin Roslina. Datin Roslina menggeleng. Betullah kata Aqil, sindrom simpati tahap satu. Tidak bersungguh rupa- rupanya simpati Anaqi.

"Mama tipu aje." Datin Roslina ketawa kecil. Sesekali kenakan Anaqi apa salahnya.

"Mama ni..." Anaqi ke katil semula. Sambung terbaring dan menutup kepala dengan bantal lagi satu. Geram dipermainkan.

"Apa pasal ni?" soal Datin Roslina perlahan dan rapatkan badan ke katil Anaqi.

"Emmm, ini mesti pasal kes kena potong elaun. Nampaknya mulai sekarang, Anaqi kenalah beringat. Yang mana tak perlu tu cuba-cubalah lupakan." Datin Roslina tepuk bahu Anaqi sekali.

"Selamat malam sayang," kata Datin Roslina selepas itu apabila Anaqi buat tak dengar.

"Selamat malam mama," balas Iman sambil turunkan bantal dari mukanya.

"Dah, jangan fikir apa-apa. Tidur aje."

Selepas itu, Datin Roslina terus meninggalkan bilik Anaqi. Anaqi memandang siling. Ah! Kenapalah nak bimbangkan lelaki yang entah siapa-siapa. Baik tidur

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now