BAB 40

1K 43 0
                                    

Dalam perjalanan pulang, Anaqi tak banyak bersuara. Perasaannya jadi sayu tiba- tiba. Walaupun singkat masa bersama keluarga Fattah, Di namun cukup bermakna buat Anaqi.

"Dahlah, jangan sedih-sedih. Nanti Anaqi mesti datang lagi. Kali ni bawa status suami abang pula," pujuk Fattah ketika menyusuri Lebuhraya Utara Selatan.

Anaqi tak jawab apa-apa. Dia lebih suka melayan perasaan sendiri.Kalau ada jodoh, pasti tak ke mana. Anaqi hanya bersuara apabila Fattah betul-betul menghentikan kereta di hadapan kediaman Dato Johan.

"Masuklah dulu. Nanti Anaqi buatkan abang air," ajak Anaqi sebelum keluar dari kereta. Dia memang mahu Fattah singgah sekejap. Yalah, nampak Fattah seperti penat benar.

"Tak apa ke?" soal Fattah. Sebenarnya Fattah juga mahu berbual sekejap dengan Datin Roslina atau Aqil. Sudah bawa anak teruna orang, kenalah juga ambil hati dengan menghantar hingga ke muka pintu rumah. Nanti kata tidak bersopan pula. Bukanlah mahu membodek, tetapi mahu berbahasa saja.

"Apa pula tak apanya. Memang Anaqi yang ajak abang bukan?" Terus Anaqi membuka pintu kereta. Rindu amat kepada keluarganya. Tidak sabar-sabar lagi mahu memeluk Datin Roslina.

Fattah membimbit beg pakaian Anaqi sambil mengatur langkah mengekori Anaqi. Belum sempat sampai ke pintu pagar, Fattah rasa bahunya ditarik dan bila dia toleh satu penumbuk sudah singgah di muka Fattah. Terduduk Fattah jadinya.

"Kurang ajar, berani kau usung Anaqi!" jerit Tengku Zafrul.

"Abang!" Anaqi menjerit. Dia tunduk mendapatkan Fattah.

"Abang tak apa-apa?" soal Anaqi cemas. Namun sebaik sahaja terpandang mulut Fattah berdarah, Anaqi terus bangun. Dengan menggunakan kekuatan yang ada, Anaqi mengayunkan penumbuk sulungnya dan mengena hidung Tengku Zafrul.

"Abang tu yang kurang ajar!" jerit Anaqi. Suaranya sudah sampai ke ruang tamu. Kelam-kabut Aqil bersama Datin Roslina keluar rumah.

Tengku Zafrul memegang hidungnya. Sudah berdarah.

"Aku tak pernah menyusahkan hidup kau tolonglah jangan menyusahkan hidup aku. Dengan siapa pun aku nak ikut balik, itu masalah aku. kau tak ada kena-mengena dengan hidup aku. Kau berambus sekarang!" Anaqi seperti sudah hilang kawalan. Tak pernah dia begitu marah.

"Astaga, apa dah jadi ni, Anaqi?" soal Datin Roslina sambil memegang bahu Anaqi. Tubuh Anaqi yang sudah menggeletar didakap erat.

"Mengucap sayang. Bawa bersabar," pujuk Datin Roslina. Belum pernah dia melihat Anaqi begitu sekali.

"Kau berambus sekarang! aku tak nak tengok muka kau lagi. Sial!" Sudah terhambur semua yang Anaqi pendam selama ini. Kesabaran yang dia pertahankan hanya setakat itu saja.

"Ya Tuhan, kenapa ni, nak. Kenapa cakap macam ni. Bawa mengucap, sayang." Datin Roslina begitu terkejut dengan perkataan yang terkeluar dari mulut Anaqi. Tak pernah anak lelakinya menuturkan kata-kata kesat.

"Kau balik sekarang, Tengku Zafrul. Tolong jangan ganggu Anaqi lagi. Tak habis-habis mahu menyusahkan hidup adik aku. Balik sekarang!" Aqil pula mengeluarkan arahan sambil membantu Fattah bangun.

"Mak ngah, mak ngah pun sokong perbuatan Anaqi? Ibu apa mak ngah ni?" soal Tengku Zafrul sambil menyapu darah di hidungnya.

"Anak mak ngah, tahulah mak ngah mengajarnya. Tak perlu kamu nak masuk campur. Mari Fattah, kita masuk," ajak Datin Roslina sambil membawa Anaqi masuk ke rumah.

"Benda ni tak akan habis macam ni saja, mak ngah," ugut Tengku Zafrul.

"Sudahlah Tengku Zafrul. Balik sajalah. Tak usahlah buat kacau lagi. Semuanya dah selesai. Dah habis." Datin Roslina tumpang bertegas sama. Geram juga Datin Roslina melihat sikap kurang ajar Tengku Zafrul itu.

"Saya tak akan diamkan saja perkara ni, mak ngah. Mak ngah tengoklah nanti," kata Tengku Zafrul sambil berjalan menuju ke keretanya. Tengku Zafrul betul-betul marah ketika itu. Dia pecut dengan laju selepas itu.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now