BAB 55

1K 42 3
                                    

Selesai makan dan berbual-bual ala kadar, Encik Mustaqim sekeluarga meminta diri. Belum sempat Dato Johan dan Datin Roslina bertenang, mereka dikunjungi pula Puan Rosliza bersama Hajah Faridah dan Tengku Zafrul.

"Ada urusan apa lagi. Tak puas-puas lagi mahu menyusahkan orang?" Aqil membebel.

"Kawal perasaan kamu, Aqil. Papa ingat ini bukan soal Anaqi saja, tetapi pasal Aqil sama." Dato Johan memberi peringatan kepada Aqil. Tahu benar sikap panas baran Aqil.

"Kamu memang nak langsungkan juga majlis perkahwinan ni? Kamu tak fikirkan maruah keluarga kakak? Memang kamu pentingkan diri sendiri, Roslina," marah Puan Rosliza sebaik sahaja duduk. Dia mengipas mukanya dengan tangan tanda dia kepanasan walaupun rumah Dato Johan itu dilengkapi dengan pendingin hawa. Marahnya membuak-buak apabila dikhabarkan ada perbincangan di antara keluarga adiknya itu dengan bakal besan. Dia cuma terlambat sedikit. Kalau tidak, pasti dia menghalang sebarang rundingan.

"Ya kak, kami telah pun tetapkan tarikh perkahwinan Anaqi," jawab Datin Roslina dengan selamba tanpa takutkan apa-apa lagi.

"Degil betul kamu ni Roslina. Langsung tak mahu jaga air muka kakak sendiri. Kamu tak ingat siapa yang bantu kamu selama ni sampai kamu boleh senang-lenang begini? Dasar tidak mengenang budi," bebel Hajah Faridah pula.

Dato Johan sudah tidak tahu untuk berkata apa. Sudahnya dia ambil keputusan untuk berdiam diri. Bercakap bila dirasakan perlu. Aqil juga begitu. Dia hanya mahu menjadi pendengar saja.

"Kamu ni bodoh sangat kenapa, Anaqi? Entah lelaki dari kampung mana yang kamu berkenan sampai dah tak nampak apa-apa. Nenek ni nak bagi kau hidup Senang. Kau tu mana biasa hidup susah." Hajah Faridah menolak kepala Anaqi. Aqil sudah menggigit bibir.

Anaqi juga berdiam diri. Rela diperlakukan begitu asalkan tidak mengeruhkan lagi keadaan. Apa yang penting dia rasa sangat bahagia ketika itu.

"Apapun, kita kena halang perkahwinan ni. Jangan nak memalukan keluarga kita." Tengku Zafrul menyampuk. Kali ini dia akan berusaha lebih lagi bila dirasakan semua usahanya gagal.

"Kau siapa nak menghalang perkahwinan Anaqi?" Kesabaran Aqil tidak bertahan lama. Bila disentuh saja adik kesayangannya, dia tidak boleh berdiam diri saja.

"Eh, kamu tak faham bahasa ke Aqil. Nenek cakap, Anaqi kena kahwin juga dengan Tengku Zafrul. Ini arahan daripada nenek. Kenapa masing-masing masih berdegil?" Hajah Faridah berang.

"Saya sendiri kurang jelas. Sebenarnya siapa yang tidak faham? Kami sekeluarga atau nenek atau Tengku Zafrul sendiri? Kami sudah beritahu awal-awal, Anaqi tidak terlibat sama sekali dengan masalah Tengku Zafrul, kenapa nak libatkan Anaqi pula. Masalah maruah keluarga mak long, itu bukan urusan kami. Mak long uruskanlah sendiri. Kata duit melimpah ruah, takkan nak beli seorang jantan pun susah!" Suara Aqil lantang.

"Bukan masalah kenang budi atau tidak. Oh, jadi siapa-siapa yang terhutang budi, kena balas dengan menyerahkan diri sebagai balasan? Mana undang-undang yang nenek pakai?" soal Aqil lagi.

Terdiam semuanya. Kelantangan suara Aqil sudah mengunci mulut-mulut yang galak bersuara tadi.

"Kalau datang ke sini semata-mata mahu mengubah keputusan yang sudah dibuat, saya minta maaf. Pintu rumah kami sudah terbuka luas. Dipersilakan keluar."

Suasana sepi seketika. Masing-masing berusaha untuk meredakan perasaan sendiri. Perbincangan itu membuahkan nampaknya tidak sebarang hasil. Menambahkan suasana tegang lagi adalah.

Kali ini Puan Rosliza benar-benar tidak mendapat sokongan daripada Datin Roslina. Dia tidak dapat mengubah apa-apa keputusan yang sudah diambil. Bermakna hendak atau tidak, Puan Rosliza sekeluarga bakal menanggung malu besar.

"Kalau kamu tak nak tolong kakak tak mengapalah. Nanti kami carilah mana-mana orang." Sudahnya Puan Rosliza mengambil keputusan begitu.

"Eh, mana boleh macam tu, mama. Kita mana boleh cari orang sembarangan. Nanti menjejaskan nama keluarga papa. Mama kena fikir sama," bantah Tengku Zafrul.

"Masalahnya, ada yang tak mengenang budi. Kita minta tolong dengan cara baik, tapi tak diendahkan."

Tengku Zafrul memandang mendiamkan diri sejak mula. Geram saja dia melihat Anaqi yang akan bahagia.

"Jadi macam mana kita nak buat?" soal Tengku Zafrul.

"Nantilah nenek tolong carikan lelaki lain. Bersepah jantan yang nak kahwin dengan kamu."

"Hah, baguslah kalau macam tu. Kalau dari dulu nenek carikan orang, taklah kecoh macam ni." Anaqk menokok dengan rasa lega.

Hajah Faridah menarik muka masam. Dia menjeling Anaqi dengan jelingan tajam selepas itu.

"Kamu Aqil, nenek mahu kamu minta maaf dengan keluarga Yusuf. Tarik semula keputusan memutus pertunangan hari tu. Beritahu mereka kamu terburu-buru buat keputusan." Hajah Faridah buka pula kisah Aqil.

Sekali lagi, tersirap darah Aqil. Nampaknya Hajah Faridah benar-benar menguji kesabaran Ail. Satu- satu mahu diujinya kesabaran Wafi.

"Benda yang saya dah buang, saya tak akan pungut balik. Tak kisahlah nenek nak kata apa. Keputusan saya adalah muktamad. Tidak pun macam inilah. Apa kata nenek satukan Tengku Zafrul dengan Yusuf. Rasanya mereka memang sepadan." Aqil tergelak sinis.

"Betul tu, nek. Dah alang-alang mak long terdesak, apa kata mak long satukan saja Abang Zafrul dengan Abang Yusuf." Anaqi tunjuk tangan kanannya kepada Aqil dan Aqil menampar perlahan. Seronok mereka berdua kenakan Hajah Faridah dan Tengku Zafrul.

Terpanggang lagi perasaan Hajah Faridah. Tidak sangka dia dipermainkan begitu sekali oleh cucu-cucunya. Rasa sangat tercabar.

"Baiklah, kalau itu sudah keputusan kau orang semua, suka hatilah. Mulai sekarang aku tak mahu lagi masuk campur. Pandai-pandailah kau orang uruskan." Hajah Faridah akhirnya mengalah juga.

"Itu yang sepatutnya nenek perlu buat dari dulu lagi. Tak usahlah nak campur tangan lagi dalam hal keluarga kami. Kami pandai uruskan nanti." Aqil rasa sedikit puas walaupun Aqil pasti Hajah Faridah tidak akan berdiam diri sahaja. Aqil kenal siapa neneknya itu. Esok lusa, pasti Hajah Faridah akan bercakap semula.

"Jom kita balik," arah Hajah Faridah.

"Makan dululah, mak. Kak Alya tengah sediakan tu." Datin Roslina bermanis kata.

"Dah nak balik baru ajak makan. Awal-awal tak nak hidang." Garang saja suara Hajah Faridah.

"Habis, tadi mak bercakap saja." Datin Roslina membela diri. Tanpa membalas kata-kata Datin Roslina, Hajah Faridah mendahului meninggalkan kediaman Datin Roslina.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now