BAB 9

1K 50 1
                                    

Anaqi tergolek-golek di atas katil Datin Roslina sambil memelek komik Lawak Kampus. Sesekali mata Anaqi memandang Datin Roslina yang duduk di atas kerusi almari solek. Dari muda, sampailah sudah berusia, mamanya itu tak habis-habis dengan alat solek. Menjaga kecantikan sungguh. Padan papa makin sayang.

"Cakap ajelah apa Anaqi nak. Semua mama boleh beri, kecuali duit. Papa pun dah hadkan duit belanja untuk mama," kata Datin Roslina sambil meratakan krim malam ke seluruh muka. Anaqi turun dari katil kemudian menghampiri Datin Roslina.

"Anaqi rasa Anaqi dah jatuh cinta," kata Anaqi sambil memandang mukanya di dalam cermin. Langsung tidak teragak-agak untuk bercerita. Dia tahu Datin Roslina sangat memahami. Sebab itu Anaqi suka meluahkan rasa dengan Datin Roslina selain kepada Akim.

"Anaqi jatuh cinta? Dengan Tengku Zafrul?"

"Mama janganlah sebut nama lelaki tu. Buat Anaqi muntah aje nanti." Datin Roslina gelak. Tahu Anaqi memang tidak suka kalau nama anak saudara Datin Roslina itu disebut-sebut selalu apatah lagi kalau dikenenkan. Anaqi memang tidak suka.

"Habis tu? Ada anak Datuk lain yang buat Anaqi berkenan?"

"Kalau tak anak Datuk boleh ke mama?"

"Ya Tuhan. Anaqi, mama tak pernah meletakkan apa-apa syarat untuk jadi menantu mama. Asal boleh jaga Anaqi dengan baik, mama tak kisah."

"Papa?"

"Papa pun sama. Bagi mama dan papa, Anaqi bahagia sudah cukup." Anaqi memeluk Datin Roslina dengan erat.

"Sayang mama. Jadi Anaqi bolehlah tackle dia?"

"Tackle dia? Apa maksud Anaqi?" Datin Roslina memandang wajah Anaqi. Pelik ni. Anaqi mana pernah suka kepada orang. Datin Roslina kenal benar siapa anak lelakinya. Kalau disebut pasal khawin seperti terkena kejutan elektrik. Melompat Anaqi jadinya. Tapi pada kali ini boleh sebut nak pikat lelaki. Demam ke anak aku ni? Datin Roslina menyentuh dahi Anaqi. Sihat lagi rasanya. Pelukan Anaqi bertambah erat. Penuh dengan rasa kasih sayang. Dan Anaqi rasa terlalu bersyukur kerana dikurniakan dengan seorang ibu yang baik hati dan penyayang.

"Mama percaya tak cinta pandang pertama?" soal Anaqi perlahan selepas itu, mematikan sedikit rasa terperanjat Datin Roslina.

"Percaya."

"Papa cinta pandang pertama mama?" soal Anaqi lagi.

"Bukan, yang kelima belas agaknya," jawab Datin Roslina dengan jujur.

"Yalah, sebab mama bekas model, kan. Ramai lelaki yang tergoda dengan mama."

"Sayang, bukan pasal tu. Tapi empat belas lelaki sebelum papa tu, tak pernah buat mama rasa bahagia. Kalau nak ikutkan masa tu mama boleh pilih lelaki yang lebih kaya daripada papa, tapi mama tetap rasa tak selamat."

"Betul mama, selain kita suka, kita juga rasa selamat bila berada di samping dia. Itu yang Anaqi rasa bila Anaqi pandang dia. Anaqi rasa Anaqi akan selamat."

"Tapi mama rasa lelaki tu pula yang tidak selamat." Datin Roslina gelak sekali. Ya, memang betul. Mana-mana lelaki yang terlibat dengan anak terunanya pasti tidak akan selamat terutama bab dompet duit.

"Mama..." Anaqi merengek manja. Datin Roslina masih gelak. Suka menyakat Anaqi. Dari dulu lagi Datin Roslina tetap anggap Anaqi itu sebagai anak kecilnya. Kalau boleh dia tidak mahu Anaqi dewasa. Mahu Anaqi kekal sebagai kanak-kanak. Tetapi apakan daya.

"Emmm, Anaqi nak masuk tidurlah. Selamat malam" kata Anaqi sebelum melepaskan pelukannya mama.

"Selamat malam sayang," balas Datin Roslina.

Anaqi bergerak meninggalkan bilik tidur Datin Roslina dan kembali ke biliknya. Telefon bimbit di atas almari solek dibawa dan dilambung bersama di atas katil. Mahu berbual dengan jejaka idaman itu. Mahu tanya macam-macam soalan.

"Helo, assalamualaikum." Anaqi memberi salam sebaik saja Fattah menjawab panggilan.

"Waalaikumussalam. Siapa ni?" soal Fattah di hujung talian. Bunyi serupa orang mengunyah saja.

"Tekalah siapa?" Anaqi senyum sambil memeluk bantal. Sukanya dapat bercakap dengan Fattah. Suara dia pun sedap.

"Errr... Latifah?"

"Salah..." jawab Anaqi sepatah. Rasa suka tadi tercalar sedikit apabila mendengar Fattah menyebut nama orang lain.

"Lina?" soal Fattah lagi. Hesy! Dia ni. Muka nampak je baik. Bertambahlah tercalar perasaan Anaqi.

"Bukannn..." Panjang Anaqi sebut perkataan bukan itu. Dia bertambah geram.

"Kalau Lina pun bukan ni sah Jennifer Lopez." Ada ketawa menyusul dan terus singgah ke telinga Anaqi. Anaqi sudah mula rasa dirinya dipermainkan.

"Abang, ini Anaqi la." Anaqi separuh menjerit. Geram sungguh.

"Oh, Anaqi ke? Maaf, abang tak perasan tadi."

"Hah, siapa pula Latifah dan Lina tu?"

"Latifah tu mak long abang. Lina tu mak ngah abang. Jennifer Lopez tak tanya ke siapa?"

"Hah, siapa?"

"Kan kekasih abang. Tak tahu ke?"

"Eee, geramnya cakap dengan abang ni. Main- main pula." Anaqi buat-buat merajuk. Dia betul tidak menyangka Fattah akan jadi seramah itu. Kat ofis pendiam saja orangnya. Bila bercakap di telefon bukan main galak lagi.

"Hmmm, Anaqi dah makan?" soal Fattah.

"Dah. Abang?"

"Sudah juga. Apa hal telefon abang ni?"

"Tak boleh ke nak telefon abang?"

"Eh, boleh. Apa salahnya. Manalah tahu ada hal penting nak cakap."

"Saja nak telefon abang. Nak dengar suara abang yang merdu tu," balas Anaqi sambil tergolek-golek di atas katil dengan perasaan yang gembira.

"Oh, suara abang merdu, ya?"

"Merdulah juga."

"Anaqi tak dengar lagi suara abang menyanyi. Kalau Anaqi dengar mesti Anaqi cair." Anaqi gelak besar. Rasa lucu pula.

"Okeylah bang, Anaqi dah mengantuk ni. Penat sangat kerja tadi," kata Anaqi sambil menguap.

"Okey, jumpa lagi esok. Selamat malam."

"Selamat malam bang," kata Anaqi. Suara Fattah hilang selepas itu. Tinggal Anaqi tergolek-golek di atas katil dengan rasa gembira.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now