BAB 39

1K 43 0
                                    

Tengku Zafrul awal-awal lagi sudah bercerita kepada sanak saudara yang lain perihal Anaqi. Jadi pada petang itu, masing-masing menyerbu rumah Dato Johan. Rata-rata menyalahkan Datin Roslina.

"Kamu biarkan saja Anaqi ikut lelaki balik rumah? Macam mana kamu didik anak, Roslina? Benda kecik macam ini pun kamu tak boleh nak kawal!" marah Puan Rosliza.

Aqil dan Datin Roslina mengambil sikap berdiam diri sahaja buat sementara. Malas hendak berlawan cakap. Tentu saja Puan Rosliza bakal menerima sokongan. Maklumlah, Puan Rosliza mempunyai sokongan yang kuat daripada saudara-mara lain terutama daripada Hajah Faridah sendiri.

"Alaaa, mak long ni. Kenapa nak marah-marah pula. Mama dah beri kebenaran. Lagipun bukan orang lain. Pekerja kami sendiri. Saya kenal siapa lelaki tu. Orangnya memang baik dan boleh dipercayai. Salahkah Anaqi ikut balik untuk berkenalan dengan keluarga lelaki tu? Itu pun nak kecoh," jawab Aqil dengan berani. Rimas betul dia dengan kerenah Puan Rosliza yang tak sudah-sudah menyusahkan orang lain. Ada saja yang menaikkan darah Aqil.

"Apa? Pekerja kamu? Anaqi balik ikut pekerja kamu? Ya Tuhan, mana nenek nak letak muka kalau keluarga nenek lain tahu." Hajah Faridah sudah gelabah semacam mendengar penjelasan daripada Aqil. Mana boleh cucunya bergaul dengan orang yang tidak setaraf mereka.

"Memang kamu ni tak tahu mendidik anak langsung, Roslina. Dibiarkan saja anak keluar dengan lelaki yang entah siapa-siapa sesuka hati," kata Hajah Faridah sambil mengipas mukanya dengan tangan. Tersandar dia di sofa sambil mata tajam jeling Datin Roslina yang sudah terdiam seribu bahasa.

"Tak ada salahnya dengan pekerja kita orang. Selagi Anaqi suka, saya selaku abang akan tetap sokong. Selama ni keluarga saya tak pernah pandang status seseorang. Bukankah kita ni sama saja di sisi Tuhan. Kalau Tuhan sendiri tidak membezakan hambanya, kenapa kita manusia yang tidak punya kuasa apa-apa pula yang sibuk-sibuk nak membezakan," balas Aqil tenang walau perasaannya sedang membara.

"Pandainya kamu bercakap, Aqil. Buka hukum pula. Mak long tahu semua tu. Masalahnya memalukan tahu tak, anak saudara keturunan mak long terhegeh- hegeh ikut jantan balik rumah. Dengan pekerja sendiri pula tu. Nampak benar Anaqi tu tak laku sampai terpaksa pilih orang bawahan." Tak teragak-agak Puan Rosliza mengeluarkan kata-kata.

"Ah! Mak long tu memang. Keturunan yang lain buat lebih teruk tak pula nampak. Kalau Anaqi nampak aje," bebel Aqil.

"Yalah. Mak long kenalah tegur sebab mama dan papa kamu ni jenis lembut. Jenis suka ikut cakap anak! Kalau mak long tak tolong masuk campur, lingkup adik kamu tu."

"Habis hari tu, bakal menantu mak long yang tak jadi tu, galak juga kan makan tidur kat rumah mak long. Ada mama dan papa kita orang tegur? Salah mak long, tak nampak. Salah orang cepat aje nak tegur!" Makin berani Aqil bersuara. Dengan ketiadaan Dato Johan, inilah peluang untuk Aqil menjawab. Kalau sebelum-sebelum ini, Dato Johan melarang sekali anak-anaknya berlawan cakap dengan orang yang lebih tua terutama sekali kaum keluarga. Kata Dato Johan, kalau penat nanti diamlah mereka. Tidak mahu panjangkan cerita nanti jadi sengketa. Tapi kali ini Aqil tidak peduli. Makin didiamkan, makin menjadi pula.

"Aqil, kenapa cakap macam tu, tak elok," tegur Datin Roslina.

"Memang betul apa yang saya cakap ni. Kalau kena kat Anaqi, semuanya tak elok, tapi kalau kena batang hidung mak long boleh aje." Marah Aqil kian memuncak.

"Kamu jangan nak mengata mak long pula, Aqil. Kamu yang tak pandai nak tegur perangai adik, nak tempelak mak long pula. Lagipun bekas tunang Tengku Zafrul tu bukan kaum kerabat kita, lantaklah dia." Puan Rosliza melenting habis bila soal bekas tunang Tengku Zafrul diungkit-ungkit.

"Kak, dalam hal ni saya yang bertanggungjawab. Saya yang beri keizinan kepada Fattab bawa balik Anaqi jumpa mak ayah dia. Dia dah janji nak jaga keselamatan Anaqi, jadi saya kenalah beri peluang kepada dia untuk buktikan keikhlasan dia terhadap Anaqi," jawab Datin Roslina yang sudah lama menjeruk rasa dengan kakaknya itu.

Si dia yang comelWhere stories live. Discover now