Wajah ditilik di hadapan cermin yang ada di tandas sekolah, menatap wajah yang dulu bersih. Kini ada beberapa parut yang tersembunyi dibalik tudung, bahkan bekas lebam ditumbuk oleh bapanya semalam yang kini sudah sedikit reda. Tidak begitu membiru seperti semalam.
"Sekarang Hifza banyak parut papa. Ini ke bukti cinta papa dekat Hifza?" monolog Hifza Yelda sendirian.
Hifza Yelda melarikan diri ke tandas ketika melihat Nurul Amanda yang baru sahaja tiba. Dia tiba-tiba merasa gugup melihat kawan baiknya itu membuatkan dia lari ke tandas dan bersembunyi di sana seketika sebelum dia masuk ke dalam kelas. Dia menjadi takut untuk bertentang mata dengan kawan baiknya sendiri.
"Macam mana aku nak hadap Aiman kalau dia nampak lebam ni." Hifza Yelda bermonolog lagi. Dia bertambah risau, takut Aiman Kamal perasan dengan wajahnya.
Hifza Yelda merapatkan wajahnya ke cermin untuk melihat dengan lebih jelas. "Tak perasan kot. Lebam pun dah tak nampak sangat." sambungnya lagi. Hifza Yelda menjauhi cermin ketika ada pelajar yang masuk ke dalam tandas. Dia hanya mengukir senyum tipis sebelum beranjak keluar menuju kelas.
Jantungnya berdegup laju. Entah bagaimana dia mahu berhadapan dengan kawan baiknya, dia sendiri tidak tahu.
"Hifza!" panggil seseorang ketika Hifza Yelda baru setapak melangkah ke dalam kelas. Dia angkat kepala melihat gerangan yang memanggilnya, dari suara dia dapat menduga siapa tapi rasanya seperti mustahil membuatkan dia mencari orang yang memanggilnya.
"Hifza."
"A-amanda."
Hifza Yelda terbata ketika tidak sangka yang memanggilnya ternyata Nurul Amanda. Kawan baiknya mendekati lalu memegang tangan Hifza Yelda lantas ditarik ke arah tempat duduk mereka. Hifza Yelda sedikit tercengang dengan apa yang terjadi. Dia memandang Aiman Kamal meminta jawapan tapi lelaki itu hanya membalas dengan mengangkat dua bahunya sahaja.
Nurul Amanda menekan pelan bahu Hifza Yelda agar kawan baiknya itu duduk. Nurul Amanda turut duduk di hadapan Hifza Yelda, kedua tangan kawan baiknya digenggam lembut.
"Aku nak minta maaf dekat kau Hifza. Aku tahu aku dah salah faham dengan keadaan kau. Aku minta maaf sangat-sangat." ucapan Nurul Amanda membuatkan Hifza Yelda menoleh ke arah Aiman Kamal. Reaksi Aiman Kamal masih sama, hanya angkat bahu tanpa sebarang suara.
"Aiman dah cerita dekat kau?" duga Hifza Yelda kerana Aiman Kamal sudah berjanji mahu membaikkan keadaan mereka dan dia sangka Aiman Kamal sudah cerita membuatkan Nurul Amanda meminta maaf kepada dirinya.
Nurul Amanda mengangguk dengan butiran jernih memenuhi kelopak matanya.
"Aku minta maaf Hifza. Aku sedar, aku bukan kawan yang baik untuk kau. Aku minta maaf sebab tak faham keadaan kau." tutur Nurul Amanda dengan sebak yang ditahan.
"Takpe, kau tak salah pun. Aku pun nak minta maaf dekat kau. Aku bukan tak nak cerita..." Hifza Yelda menunduk dengan ayat yang tergantung.
"Aku dah faham kenapa kau tak nak cerita. Tapi kau tak boleh simpan semua kesakitan kau sendiri. Kita gelak ketawa sama-sama, takkan kau menangis sorang-sorang, Hifza. Kita kawan baik, Hifza. Biar suka duka bersama." ucap Nurul Amanda tidak mahu Hifza Yelda merasa sakit sendiri.
Hifza Yelda menatap dalam ke arah Nurul Amanda. Dia menemukan ketulusan daripada kawan baiknya itu.
"Aku lebih rela berkongsi ketawa dari berkongsi air mata, Amanda. Takde siapa yang nak dipandang dengan kelemahan."
"Hifza!" sekali panggil sahaja, Hifza Yelda kembali pada dunia nyata semula. Sempat dia mengelamun membuatkan Aiman Kamal menegur. Hifza Yelda menoleh ke arah Aiman Kamal.
YOU ARE READING
Rumah Terakhir ✔️
Teen Fiction"Berat sangat ke masalah awak sampai mengeluh macam tu." Pertemuan pertama Hifza Yelda dan Izzar Naresh tidaklah semudah seperti drama cinta yang lain. Hifza Yelda bertindak sombong agar tidak didekati oleh Izzar Naresh kerana tidak mahu menerima o...