Cerminan Diri .60

2.1K 191 16
                                    

Tangan perlahan naik mengetuk pintu bilik anak sebelum memulas tombol pintu. Hifza Yelda menoleh ke arah pintu melihat ibunya mengukir senyum tipis ke arahnya. Buku diari ditutup dan disimpan ke dalam laci meja sebelum dia memusingkan kerusi ke arah ibunya.

"Boleh mama masuk?" pinta puan Yasmin sebelum menapak masuk ke dalam bilik anaknya.

"Masuklah." balas Hifza Yelda, puan Yasmin berjalan masuk dan duduk pada birai katil. Hifza Yelda hanya memerhati setiap tindak-tanduk ibunya sambil menanti bicara ibunya kerana dia tahu pasti ada mahunya membuatkan ibunya datang ke bilik.

"Hifza buat apa tadi?" soal puan Yasmin.

"Takde buat apa." balas Hifza Yelda, ruang bilik menjadi kekok ketika gadis itu memilih untuk menjawab sekadar apa yang disoal sahaja.

"Hm, kaki sakit lagi?" soal puan Yasmin lagi, kini tentang kaki anaknya pula.

"Tak sangat." balasnya masih singkat dengan nada suara yang datar. Dia menatap ibunya lama kerana merasa pelik dengan sikap ibunya. Tidak biasanya puan Yasmin datang ke biliknya untuk bertanya keadaan dirinya. Ibunya bukan jenis yang ambil berat. Biasanya pulang dari kerja, ibunya banyak berehat di bilik bahkan dia juga banyak menghabiskan waktu di bilik membuatkan mereka jarang bertemu kecuali di meja makan.

"Tangan dah letak minyak?" soal puan Yasmin lagi, kini tentang torehan yang dibuat anaknya.

Hifza Yelda menggeleng, "mama nak apa sebenarnya?" Soal Hifza Yelda pula ingin tahu apa kemahuan ibunya yang datang ke biliknya dengan soalan-soalan tadi. Dia tidak mahu ibunya berdalih lagi.

"Hm, mama nak pergi beli barang dapur. Teman mama boleh? Alang-alang tu boleh jalan-jalan ambil angin luar."

"Tak kot. Kaki Hifza masih rasa lenguh-lenguh lagi. Mama pergi sorang je, boleh kan?" balas Hifza Yelda tiada mood untuk keluar berjalan, bahkan kakinya masih terasa sengal-sengal pada bahagian betis kakinya. Saat ini moodnya hanya mahu duduk mengurung diri di dalam bilik.

"Hifza tak nak ikut? Kalau jalan-jalan, boleh ambil angin. Tenangkan diri."

Hifza Yelda diam beberapa minit menatap kosong ke arah ibunya. Pandangan Hifza Yelda membuatkan ibunya melarikan pandangan, menepuk-nepuk bantal kemudian menggosok katil seperti ingin menghilangkan rasa yang bermain dalam dirinya.

"Anak mama ni okey je. Mama tak perlu risau. Hifza janji, Hifza takkan kuat apa-apa yang merisaukan mama." Hifza Yelda dapat rasakan kalau ibunya merasa berat untuk meninggalkan dirinya sendirian di rumah kerana takut hal yang berlaku pada malam itu berulang lagi.

Puan Yasmin angkat kepala menatap anaknya, dia terkejut dengan ucapan Hifza Yelda seakan mampu membaca isi hatinya.

"Mama bukan maksudkan macam tu. Cuma..." puan Yasmin tidak mampu menyelesaikan ayatnya ketika tidak tahu ucapan bagaimana mahu menjelaskan perasaannya.

"Hifza faham. Takpe, mama jangan risau. Hifza belum gila lagi. Lagi satu, boleh tak mama jadi diri mama yang dulu? Hifza tak selesa dengan perubahan mama yang sekarang." jujur Hifza Yelda tentang perasaannya. Ucapan gadis itu mengundang perubahan wajah kepada ibunya.

"Apa maksud Hifza?" soal puan Yasmin tidak mengerti.

"Lepas kejadian malam hari tu, Hifza rasa mama layan Hifza lain. Berbeza sangat dengan sebelum ni. Hifza minta maaf tapi Hifza rasa tak selesa. Mama tak macam ni sebelum ni. Hifza tak nak mama berubah semata-mata lepas apa yang jadi hari tu." jelas Hifza Yelda yang merasakan perubahan dari segi layanan ibunya sudah berbeza.

"Tapi mama cuma risau. Mama takut Hifza buat lagi."

"Hifza kan dah janji. Takde apa yang perlu mama risaukan. Jadi, tolong jadi mama yang Hifza kenal sebelum ni." ucapan Hifza Yelda membuatkan puan Yasmin terdiam seketika.

Rumah Terakhir ✔️Where stories live. Discover now