Kenapa Ke Psikiatri? .19

2.2K 214 11
                                    

Dada dicengkam ketika tiba-tiba sahaja terasa sempit dan nafas mula terasa sesak. Hifza Yelda cuba untuk bertenang dan mengawal pernafasannya agar tidak panik walaupun saat ini dia merasa takut dengan dirinya sendiri.

"Kenapa ni?" soal Hifza Yelda lalu melihat ke arah tangannya yang menggigil pelan.

"Tolong lah, ya Allah. Aku nak belajar ni." monolog Hifza Yelda lagi, butiran jernih perlahan jatuh membasahi pipi.

Degupan jantung berdegup laju, dia berdebar bahkan peluh turut keluar membasahi pelipis dahinya. Tergesa-gesa Hifza Yelda membuka laci meja untuk mencari ubat, dia meraba mencari pil ubat yang tersembunyi dibalik barang-barang yang ada di dalam laci tersebut.

"Argh! Kenapa masa ni nak habis?" ujarnya ketika melihat ubat-ubatnya ternyata sudah habis.

Tubuh yang masih menggigil dibawa bersandar pada dinding. Dada kiri digosok mahu menenangkan diri sekaligus cuba meredakan rasa sakit yang ada. Nafas semakin sesak ketika Hifza Yelda mula teresak. Telefon yang berada di atas katil, dicapai lalu memutarkan laju untuk menenangkan diri.

Earphone disumbatkan ke dalam lubang telinga.

"Tolong aku, ya Allah..." dia teresak, lalu menepuk dadanya ketika rasa sakit masih tidak hilang.

"Argh! Sakit..." ujarnya tidak tahu lagi cara apa untuk menenangkan diri sendiri. Dia tidak mungkin membangunkan keluarganya kerana Hifza Yelda berfikir tidak ada sesiapa yang akan peduli bahkan percaya kepadanya.

Tidak cukup dengan dada yang sakit, kepala pula mula berdenyut. Air yang ada di atas meja, diambil lalu meneguknya rakus. Nafas ditarik dalam lalu dilepaskan perlahan-lahan berusaha juga agar dirinya kembali tenang. Dada digosok tidak henti seakan sedang memujuk diri.

"Sabar... Sabar Hifza..." ujarnya dalam esak tangis.

Lama Hifza Yelda cuba mengawal dan menenangkan dirinya sehingga akhirnya nafas mula teratur, rasa sakit semakin berkurang hanya tinggal sakit kepala yang semakin berdenyut. Hifza Yelda membawa diri naik ke atas katil. Kejutan yang dia terima tadi membuatkan tubuhnya merasa penat.

Sehingga akhirnya mata yang semakin berat melelapkan mata dan gadis itu hanyut dalam tidurnya.

Rumah Terakhir

"Kau betul okey ke Hifza?" tegur Nurul Amanda yang sedar sejak peperiksaan belum bermula sehingga selesai dua kertas peperiksaan hari ini, kawan baiknya itu banyak diam bahkan termenung bagai punya masalah yang membebani fikiran.

"Okey je. Kenapa kau tanya macam tu?" soal Hifza Yelda pula sembari menggalas beg pada bahunya.

"Takdelah. Aku tengok kau banyak sangat termenung hari ni. Tu yang aku risau. Kalau kau ada masalah, cerita dekat aku." balas Nurul Amanda, dia mahu menjadi pendengar jika kawan baiknya itu mahu bercerita, bahkan sanggup menjadi sandaran. Jika Hifza Yelda mahu bersandar kepadanya.

"Takde apa lah. Aku okey je. Biasa lah termenung. Orang lain pun termenung juga." ucap Hifza Yelda, dia ketawa pelan menyembunyikan rasa yang bercampur dalam jiwanya.

"Aku bukan apa, aku kawan baik kau tau. Jadi, kalau kau nak cerita, aku dengar wei." Nurul Amanda cuba meyakinkan Hifza Yelda kalau dia akan menjadi sandaran yang tepat. Hifza Yelda tersenyum sembari menepuk bahu Nurul Amanda.

"Thanks Amanda. Tapi aku okey je. Kau tak payah risaulah. Aku-"

"Hifza!" seseorang menjerit memanggil Hifza Yelda membuatkan ucapan gadis itu terhenti. Dua gadis itu memandang ke arah kereta yang berhenti di hadapan sekolah.

"Wei, mamat tu lagi? Kau belum cerita tau fasal dia. Siapa tu?' soal Nurul Amanda yang terkejut melihat Izzar Naresh untuk kedua kalinya.

Hifza Yelda hanya tersengih, "nanti aku cerita tau. Aku balik dulu, bye." Hifza Yelda terus melangkah meninggalkan Nurul Amanda yang masih terpinga-pinga. Dia terus merobos masuk ke dalam kereta Myvi milik Izzar Naresh.

Rumah Terakhir ✔️Where stories live. Discover now