Angin menyapa kulit mulus Hifza Yelda, jauh dia termenung ke arah luar tingkap sehingga tidak sedar akan kehadiran cikgu Iman yang baru sahaja menapak masuk ke dalam kelas. Dia menongkat dagu menikmati pemandangan luar kelasnya seperti sedang dalam dunia ciptaannya sendiri tanpa terganggu dengan suara bising daripada rakan-rakan sekelasnya.
"Bangun..." suara Khairul Azmi membuatkan Hifza Yelda kembali ke dunia realiti. Dia bingkas bangun seperti rakan kelasnya yang lain. "Assalamualaikum, cikgu!" sambung Khairul Azmi memberi salam kemudian disambut rakan yang lain.
"Waalaikumsalam kelas. Sila duduk. Seperti yang cikgu cakap sebelum ni, habis je tanda kertas kamu semua, cikgu akan bagi. Jadi, hari ini cikgu akan bagi kertas kamu seorang demi seorang ya." ucap cikgu Iman.
Pelajar-pelajar sudah berdebar menanti keputusan peperiksaan percubaan spm mereka. Entah apa hasilnya nanti mereka tidak tahu tapi yang pasti sesuai mengikut siapa yang telah mengulang kaji. Seorang demi seorang dipanggil sehingga akhirnya nama Hifza Yelda dipanggil oleh cikgu Iman.
"Hifza." panggil cikgu Iman ketika Hifza Yelda membalik badan mahu melangkah kembali ke tempat duduknya.
Hifza Yelda kembali menghadap cikgu Iman, "ya, cikgu."
"Cuba awak tengok kertas awak tu." arah cikgu Iman membuatkan Hifza Yelda terus melihat ke arah markah yang tertulis di hujung belah atas kertas tersebut.
"Awak kenapa sebenarnya? Result awak jatuh tau, Hifza. Padahal sebelum ni saya bagi latihan awak boleh je jawab. Kenapa exam awak tak boleh jawab pula?" Hifza Yelda hanya diam menunduk ke arah lantai.
Entah jawapan apa dia mahu membalas, dia juga tidak tahu. Akhirnya berhujung sepi seperti orang bisu.
"Awak banyak main ni, Hifza. Awak buat apa dekat rumah?" soalan dibiar sepi, hening tak bersuara, bergeming pada tempatnya tanpa beranjak sedikit pun bahkan seinci pun. Kepala masih memberat semakin menunduk seperti padi masak.
Kelas turut menjadi hening ketika cikgu Iman mula mengeluarkan aura tegasnya. Nurul Amanda dan Aiman Kamal mula khuatir terhadap kawan baik mereka.
"Saya tanya ni Hifza. Kenapa awak diam je?'
"Saya minta maaf cikgu." itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Hifza Yelda.
"Dah, pergi duduk! Spm nanti pastikan jawab betul-betul. Masih ada masa lagi. Boleh, Hifza?" cikgu Iman menatap Hifza Yelda yang hanya menunduk menyembunyikan wajahnya dari ditatap.
Gadis itu mengangguk, "boleh, cikgu." balasnya, dengan malas Hifza Yelda melangkah ke tempat duduknya.
Nurul Amanda dan Aiman Kamal menatap Hifza Yelda dan menanti sehingga gadis itu melabuhkan punggung. Nurul Amanda terus merapatkan tubuhnya kepada Hifza Yelda untuk melihat keputusan markah milik kawan baiknya itu begitu juga Aiman Kamal yang berada di belakang.
"Kau dapat berapa?" soal Nurul Amanda, Hifza Yelda menggeserkan kertas peperiksaannya sehingga ke meja Nurul Amanda.
Laju sahaja Nurul Amanda mengangkat kertas tersebut dan melihat markah yang tertera kemudian menghulurkannya kepada Aiman Kamal.
"Kau okey tak ni? Kenapa result kau boleh jadi macam ni?" soal Nurul Amanda, meskipun Hifza Yelda bukan pelajar terbaik tapi kawan baiknya itu tidak pernah mendapatkan markah rendah serendah yang Hifza Yelda dapat saat ini. Hifza Yelda hanya menunduk kecewa dengan keputusan yang dia dapat. Bahkan ada getar di jiwanya.
"Aku takut, Amanda." Hifza Yelda mula angkat kepala menatap Nurul Amanda yang berada di sebelah.
"Kau tahu papa aku macam mana kan?" ada bening yang terlihat pada bola mata Hifza Yelda ketika Nurul Amanda menatapnya.
YOU ARE READING
Rumah Terakhir ✔️
Teen Fiction"Berat sangat ke masalah awak sampai mengeluh macam tu." Pertemuan pertama Hifza Yelda dan Izzar Naresh tidaklah semudah seperti drama cinta yang lain. Hifza Yelda bertindak sombong agar tidak didekati oleh Izzar Naresh kerana tidak mahu menerima o...