Hari ini peperiksaan percubaan SPM bermula dengan baik ketika Hifza Yelda dan rakan-rakan yang lain dapat menjawab semua soalan yang ada di dalam kertas peperiksaan. Hifza Yelda merasa sedikit lapang ketika dia dapat menjawab semua soalan meskipun fikirannya sedikit terganggu tadi.
"Kau macam mana? Boleh jawab tadi?" soal Aiman Kamal mendekati dua kawan baiknya sembari menyandang beg sekolah pada bahu.
"Alhamdulillah, boleh." balas Hifza Yelda senang hati.
"Kau, Amanda?" soal Aiman Kamal kepada Nurul Amanda yang sibuk memasukkan alatan tulis ke dalam beg sekolah.
"Boleh lah. Ada dua ke tiga soalan juga aku keliru tadi, tapi alhamdulillah boleh jawab." balas Nurul Amanda menceritakan keadaannya ketika dalam dewan peperiksaan tadi.
"Tulah kau, aku suruh makan kismis tak nak." ujar Aiman Kamal.
"Apa kena mengena dengan kismis pula ni?" soal Nurul Amanda dengan wajah dinginnya ketika ucapan Aiman Kamal dianggap tidak kena dengan perbualan mereka.
"Yalah, sebab kau tak makan kismis lah, kau jadi pelupa. Tengok macam aku, bukan setakat kismis, kurma pun aku makan."
Mereka bertiga berbual sambil berjalan keluar dari kawasan sekolah untuk pulang.
"Sekarang kau nak riak lah? Kau jangan sampai aku doa kau tak boleh jawab next paper, baru tahu." ugut Nurul Amanda yang geram dengan seloroh Aiman Kamal.
"Alah, riak sikit tak boleh." Aiman Kamal menjeling, "Eh, aku nak pergi ambil motor. Kau berdua jalan lah dulu." sambung Aiman Kamal kemudian berlalu ke arah parkir motosikal meninggalkan dua kawan baiknya.
"Hifza, kau okey ke?" soal Nurul Amanda ketika kawan baiknya itu hanya diam sejak tadi.
"Okey je. Kenapa? Aku nampak macam tak okey ke?" soal Hifza Yelda, dirinya merasakan kalau dia sudah berusaha terlihat baik sahaja di hadapan semua orang hari ini.
"Takdelah. Kau diam je dari tadi. Aku ingatkan kau tak okey."
"Hm, aku okey jelah. Ak-"
Pin!
Sebuah kereta Myvi kuning berhenti di hadapan Hifza Yelda dan Nurul Amanda. Tingkap kereta dibuka membuatkan dua gadis menanti penuh sabar siapa gerangan yang menekan hon kepada mereka.
"Hifza!" panggil Izzar Naresh, bulat mata Hifza Yelda selepas mengetahui siapa gerangan pemilik Myvi kuning tersebut.
"Hifza? Siapa lelaki tu?" soal Nurul Amanda yang turut terkejut.
"Ha? Hm... Nanti aku cerita. Aku pergi jumpa dia kejap." balas Hifza Yelda terus mendekati Izzar Naresh.
"Siapa tu?" soal Aiman Kamal yang baru sahaja tiba dengan motosikalnya. Nurul Amanda hanya mengangkat bahu sebagai jawapan, pandangannya tak putus melekat kepada Hifza Yelda yang sedang berbual.
"Awak buat apa dekat sini?" soal Hifza Yelda yang sedikit membongkok, menyamakan ketinggiannya dengan tingkap kereta.
"Jom balik. Saya hantar Hifza balik."
"Kan saya dah cakap, jangan masuk campur dalam hidup saya. Kenapa awak masih datang?"
"Alah, datang tak semestinya duduk dalam kan? Saya duduk luar je. Jom, saya hantar balik." Izzar Naresh masih tidak putus asa mengajak gadis itu pulang bersama.
Hifza Yelda menoleh ke belakang melihat dua kawan baiknya memandang tepat ke arahnya.
"Hifza, cepat lah! Kereta belakang dah hon tu." tegur Izzar Naresh.
"Ha? Kejap." lamunan Hifza Yelda terhenti ketika sekali lagi hon berbunyi membuatkan dia panik dan masuk ke dalam kereta Izzar Naresh tanpa berfikir. Izzar Naresh laju sahaja meluncur kereta yang dipandu untuk pulang. Senyuman lelaki itu mekar ketika akhirnya Hifza Yelda pulang bersama.
YOU ARE READING
Rumah Terakhir ✔️
Teen Fiction"Berat sangat ke masalah awak sampai mengeluh macam tu." Pertemuan pertama Hifza Yelda dan Izzar Naresh tidaklah semudah seperti drama cinta yang lain. Hifza Yelda bertindak sombong agar tidak didekati oleh Izzar Naresh kerana tidak mahu menerima o...