Lagi-lagi taman menjadi tempat Hifza Yelda membuang waktu ketika pulang dari sekolah tanpa sempat menukar baju, dia sudah ke sana. Dia hanya menunduk ke bawah sambil menguis tanah dengan hujung kasut sekolahnya. Dia tak mahu pulang kerana tak mahu bertembung dengan bapanya selagi belum tiba waktu pulang ibu dan abangnya. Dia tak mahu hanya berduaan sahaja di rumah bersama bapanya.
Susah hati Hifza Yelda dibuatnya ketika Nurul Amanda membuat keputusan untuk menjauh. Nama juga kawan baik, sudah sayang-sayangnya tapi malah begini pula terjadi.
"Ya Allah, Kau tahu suasana hati aku. Kau tahu berapa banyak air mata yang mengalir. Kau tahu betapa penatnya aku menghadapi ujian yang Kau berikan tapi kenapa Kau masih menambah ujian dekat aku?" bisik hati Hifza Yelda bersama air mata yang gugur ke tanah.
Lama dia menunduk ke tanah menyembunyikan air mata tanpa peduli dengan terik matahari yang memancar tepat ke arahnya. Tiba-tiba ada bayang-bayang yang menutupinya dari sinar matahari bersama satu aiskrim ditekup pada pipinya membuatkan Hifza Yelda angkat kepala melihat siapakah gerangan yang mengganggu.
"Abang beli aiskrim. Panas-panas ni best makan aiskrim." ucap Izzar Naresh, dia mengambil tempat di sebelah Hifza Yelda lalu membuka plastik aiskrim yang dibeli.
"Ni, abang dah buka. Makan cepat, nanti cair." ujarnya sambil menghulurkan aiskrim tersebut. Hifza Yelda hanya menatap tanpa berniat mengambil.
"Ambillah." akhirnya Hifza Yelda hanya akur. Aiskirim dimakan bersama air mata yang tetap mengalir. Dia langsung tidak berniat untuk menyembunyikan butiran jernih itu daripada Izzar Naresh.
"Allah akan uji ikut kemampuan hamba-Nya. Kalau hamba Dia tak mampu, Allah takkan bagi." tutur Izzar Naresh memecah kesunyian.
"Tapi Hifza memang tak mampu, abang Izz. Kalau betul Allah bagi ikut kemampuan, kenapa ujian Hifza makin lama makin banyak? Allah macam tak bagi peluang Hifza untuk bahagia je, abang Izz." adunya tentang kekecewaan yang dirasai.
"Tak boleh cakap macam tu. Kadang kita sendiri tak tahu kekuatan kita melainkan Allah tahu. Ujian dan kebahagian, dua-dua akan berlalu. Dekat dunia ni takde yang kekal. Abang yakin, Allah dah siapkan kebahagiaan untuk Hifza tapi Hifza akan menikmatinya bila Hifza tambahkan lagi sabar." terluka Izzar Naresh melihat wajah Hifza Yelda yang pucat dan basah dengan air mata.
Dia tidak sanggup melihat gadis itu begitu. Kalau rasa sakit, ujian boleh dipindah, dia mahu menanggung rasa sakit yang dilalui Hifza Yelda. Asalkan dapat melihat wajah pucat itu kembali tersenyum.
"Ni, lap air mata." sapu tangan dihulurkan kepada Hifza Yelda. Gadis itu hanya akur dan menghapuskan air mata dan sedikit hingus yang mengalir.
Tiba-tiba Izzar Naresh berdiri di hadapan Hifza Yelda lalu menghulurkan aiskrim miliknya. "Pegang kejap." pinta Izzar Naresh.
"Abang Izz nak buat apa?" soal Hifza Yelda pelik dengan tingkah Izzar Naresh.
"Eherm. Eherm. Test mic." Izzar Naresh berdehem sambil menggenggam telefon pintarnya. "Abang nak nyanyi. Hifza dengar tau." ucap Izzar Naresh.
"Laskar pelangi, takkan terikat waktu. Bebaskan mimpimu di angkasa, warnai bintang di jiwa." Izzar Naresh angkat tangan dan melambai ke kiri dan ke kanan sambil menyuruh Hifza Yelda mengikut rentaknya.
"Menarilah dan terus tertawa." Izzar Naresh mula menari dan berpusing di hadapan Hifza Yelda. "Gelak Hifza. Gelak." perintah Izzar Naresh agar gadis itu ketawa. Hifza Yelda hanya akur dan tertawa seperti yang diperintah.
"Walau dunia tak seindah syurga. Bersyukurlah pada yang Kuasa. Cinta kita di dunia. Ohow... selamanya~" Izzar Naresh kembali melambai ke kiri dan kanan.
YOU ARE READING
Rumah Terakhir ✔️
Teen Fiction"Berat sangat ke masalah awak sampai mengeluh macam tu." Pertemuan pertama Hifza Yelda dan Izzar Naresh tidaklah semudah seperti drama cinta yang lain. Hifza Yelda bertindak sombong agar tidak didekati oleh Izzar Naresh kerana tidak mahu menerima o...