Adakah Benar Berakhir? .75

1.2K 67 0
                                    

Dua jejaka terus berlari ke wad yang menempatkan Hifza Yelda, ternyata gadis itu turut selesai melakukan pembedahan sejam yang lalu. Pintu dikuak perlahan, Hafiz Yaslam dan Izzar Naresh melihat Hifza Yelda masih dengan wayar yang berselirat pada tubuh, bahkan oksigen yang masih melekat pada hidung gadis itu.

Perlahan mereka menapak dengan rasa hiba menghurung jiwa. Izzar Naresh menahan sebak kerana tak sanggup melihat keadaan Hifza Yelda.

"Aku. Aku keluar dulu, Hafiz." ucap Izzar Naresh terus keluar kerana tak sanggup untuk duduk dalam ruangan tersebut melihat keadaan gadisnya yang masih belum sedarkan diri. Keluar sahaja dari ruangan tersebut, Izzar Naresh bersandar pada dinding sembari mencengkam dada kirinya.

"Ya Allah, aku berharap tiada lagi derita buat Hifza. Aku mohon." bisik hati Izzar Naresh.

Tak cukup dengan sebak, air mata turut mengalir dari kelopak mata Izzar Naresh. Tubuhnya meleret jatuh terduduk di atas lantai, tak dia peduli lagi dengan jururawat dan beberapa orang pelawat yang lalu di situ. Dia perlu melepaskan semua rasa yang ada di dalam untuk dibawa keluar agar menemukan lapang sebelum dia bertemu Hifza Yelda semula.

Sementara di dalam wad, Hafiz Yaslam perlahan mendekati adiknya. Kepala Hifza Yelda diusap sayang bersama air mata jantan turut mengalir ke pipi. Wajah pucat itu ditatap penuh kasihan, kemudian tangan kecil milik adiknya digenggam lembut.

"Kau dah bebas, Hifza." tutur Hafiz Yaslam menahan sebak, dia menunduk menyembunyikan wajahnya meskipun adiknya tak melihat.

"Kau dah tak perlu menderita sebab papa lagi." sambungnya dengan tangis semakin deras.

Tangan adiknya dikucup sayang, dengan hamburan air mata yang tak berhenti keluar kerana rasa syukur yang tak terhingga bahkan dengan sakit yang tak terkata ketika melihat keadaan adiknya. Dua rasa menyatu dalam jiwa membuatkan hanya air mata sebagai bicara.

"Lepas ni, aku janji. Aku akan buat kau bahagia. Aku nak kita bina hidup baru, Hifza." tuturnya lagi meskipun Hifza Yelda belum sedarkan diri.

Hafiz Yaslam mendekatkan bibirnya pada telinga adiknya, "Hifza, kau bangun cepat tau. Aku janji, lepas ni aku akan selalu ada untuk kau. Aku akan jadi abang yang terbaik untuk kau." Bisik Hafiz Yaslam berharap adiknya mendengarkan ucapannya.

Tangan adiknya yang berada dalam genggaman, dikucup lama sambil merenung wajah pucat milik adiknya. Selama ini, Hafiz Yaslam bersikap ego seperti tidak mempedulikan adik perempuannya tapi nama juga abang, tidak mungkin dia tidak mencintai adiknya.

Rumah Terakhir

"Izz? Berapa lama kau dekat sini? Kenapa tak masuk?" soal Hafiz Yaslam yang baru keluar dari wad adiknya, dia melihat Izzar Naresh duduk bertinggung sambil membenamkan kepalanya seperti sedang tidur.

Izzar Naresh terus bangun tanpa menunggu lama, "hm, sejak aku keluar tadi." Balasnya sambil menggosok mata.

"Dari sejam yang lalu?" terkejut Hafiz Yaslam selepas mengetahui ternyata Izzar Naresh setia menunggu di luar sejak sejam yang lalu.

"Kenapa kau tak masuk dalam je?" sambung Hafiz Yaslam lagi.

"Aku tak sanggup nak tengok Hifza sebenarnya. Hm, Hifza macam mana? Dah sedar?" soal Izzar Naresh mengubah topik agar tak menyoal banyak kerana dia tidak mahu terlihat begitu memalukan.

"Belum lagi. Alang-alang, kita lepak kafe kejap boleh? Banyak benda aku nak tanya kau fasal Hifza." minta Hafiz Yaslam ingin berbual panjang, ingin mengorek rahsia adiknya yang diketahui oleh Izzar Naresh. Sebagai abang, terasa malu ketika tidak satu pun tentang adiknya dia tahu. Izzar Naresh bersetuju untuk bercerita kerana memang Hafiz Yaslam perlu tahu keadaan adiknya.

Rumah Terakhir ✔️Where stories live. Discover now