Lama dua beranak di dalam kereta, pandangan puan Yasmin jatuh pada satu buku milik anaknya lalu dia memandang anak lelakinya yang masih membenam kepala pada stereng kereta.
"Mama nak jumpa Izz," suara puan Yasmin membuatkan anak lelakinya angkat kepala.
"Kenapa mama nak jumpa Izz?" soal Hafiz Yaslam ingin tahu tujuan ibunya.
Puan Yasmin angkat sebuah buku, "mama nak bagi ni. Mama rasa buku ni untuk Izz." Ucap puan Yasmin, Hafiz Yaslam melihat buku yang dipegang ibunya. Buku berkulit keras berwarna hijau dengan tajuk depan Senandika Rasa Hati.
"Kalau macam tu, kita pergi rumah Izz." Hafiz Yaslam terus memandu sehingga mereka tiba di depan rumah Izzar Naresh. Hafiz Yaslam keluar terlebih dahulu untuk memastikan Izzar Naresh ada di rumah atau tidak. Butang loceng ditekan beberapa kali berharap ada yang keluar menyapa dirinya.
"Assalamualaikum!" suaranya sedikit ditekan agar orang di dalam rumah mendengar.
"Waalaikumsalam. Eh, abang Hifza kan?" duga puan Nafisah, dia hanya pernah melihat Hafiz Yaslam ketika di kubur itu pun tidak mendekat dan saling sapa membuatkan dia ingat-ingat lupa wajah Hafiz Yaslam.
"Ya, saya. Izz ada? Saya nak jumpa dia. Ada benda nak sampaikan kepada dia," balas Hafiz Yaslam memberitahu tujuan dia ke rumah.
"Kalau macam tu, masuklah dulu. Sembang dekat dalam," ajak puan Nafisah agar lebih selesa Hafiz Yaslam berbual dengan anaknya nanti.
"Takpe, aunty. Saya datang sekejap je. Mama pun tak berapa okey lagi tu. Ada dalam kereta," ujar Hafiz Yaslam sembari menunjukkan ke arah ibunya yang berada di dalam kereta. Puan Yasmin hanya senyum tipis ketika ibu Izzar Naresh melihat ke arahnya.
"Kalau macam tu, tunggu sekejap ya. Aunty panggil Izz," ucap puan Nafisah kemudian masuk ke dalam rumah untuk memanggil anak lelakinya.
Hafiz Yaslam bersandar pada tubuh kereta, puan Yasmin membuka tingkap agar dapat berbual dengan anaknya sementara menunggu Izzar Naresh keluar. Tidak sampai lima minit, lelaki yang ditunggu akhirnya keluar juga. Izzar Naresh mendekati dua beranak itu.
"Assalamualaikum, Hafiz, aunty. Ada apa datang ke rumah? Kenapa tak masuk dalam?" soal Izzar Naresh sembari berjabat tangan dengan Hafiz Yaslam.
"Waalikumsalam, Izz. Kami nak jumpa kau sekejap je. Nak bagi barang," balas Hafiz Yaslam.
Puan Yasmin tidak keluar dari kereta, dia hanya menghulur buku tersebut kepada Izzar Naresh. "Aunty nak bagi buku ni dekat Izz. Aunty rasa buku ni Izz punya." Dengan ragu-ragu Izzar Naresh menerima buku tersebut. Dia terus teringat kenangan lama bersama gadis itu.
Izzar Naresh membawa buku itu masuk ke dalam pelukannya. Butiran jernih bertakung pada tubir mata membuatkan matanya berkaca.
"Terima kasih aunty, Hafiz." Ucap Izzar Naresh.
"Aunty nak ucap terima kasih dekat Izz sebab selalu ada untuk anak aunty. Aunty minta maaf kalau selama ni aunty banyak buruk sangka dekat Izz. Sepatutnya aunty sedar dari awal, Izz sumber kebahagiaan anak aunty. Aunty minta maaf lagi sekali Izz." Luah puan Yasmin sambil menahan sebak di dada ketika teringat anak perempuannya.
"Bila fikir balik, hidup saya dah takde warna lepas ni aunty. Selain saya banyak bantu dia dalam menghadapi masa gelap dia. Hifza juga banyak bantu saya keluar dari trauma saya. Saya pun tak tahu nak hidup macam mana lepas ni." Izzar Naresh ketawa pelan dihujung ayatnya menutup rasa sedih.
"Eh, tapi aunty jangan risau. Insya-Allah, saya okey je. Kita sama-sama berjuang hidup tanpa Hifza lepas ni." Sambung Izzar Naresh agar tak membuat ibu dan abang Hifza Yelda risau.
YOU ARE READING
Rumah Terakhir ✔️
Teen Fiction"Berat sangat ke masalah awak sampai mengeluh macam tu." Pertemuan pertama Hifza Yelda dan Izzar Naresh tidaklah semudah seperti drama cinta yang lain. Hifza Yelda bertindak sombong agar tidak didekati oleh Izzar Naresh kerana tidak mahu menerima o...