Mencari Tenang Di Tempat Asing .35

2K 205 10
                                    

Belaian tangan si ibu membuatkan si anak seakan hanyut dan membuatkan Hifza Yelda melelapkan matanya menikmati kasih sayang yang dicurahkan kepada dirinya. Sudah lama tidak bermanja, sekali dapat dibelai. Ia membuatkan jiwanya tenang tanpa peduli lagi rasa sakit yang dia terima akibat bapanya tadi.

Mata perlahan dibuka, "mama okey?" soal Hifza Yelda mula timbul perasaan pelik ketika ibunya diam tak bersuara.

Setiap kali aku menatap
mata mama, aku merasakan
kalau mama pantas
mendapatkan anak
perempuan
yang lebih baik.

[Rumah Terakhir - Hifza Yelda]

"Mama okey, sayang." balas puan Yasmin, senyum tipis diberikan kepada anaknya kemudian dia kembali menatap layar hitam televisyen. Dia hanya termenung membuang pandangan kosong dengan fikiran yang bercelaru selepas apa yang terjadi terhadap keluarganya tadi.

"Hifza yakin papa takkan ceraikan mama." suara Hifza Yelda membuatkan puan Yasmin kembali menatap anak gadisnya.

"Walaupun papa tak anggap Hifza macam anak dia tapi Hifza masih sayangkan papa." sambung Hifza Yelda lagi.

"Kenapa cakap macam tu? Hifza anak papa dengan mama. Papa paling gembira masa dapat tahu mama mengandungkan Hifza dulu. Papa tu sayangkan Hifza sebenarnya." balas puan Yasmin tidak suka dengan ucapan anak gadisnya, meskipun suaminya sering naik tangan. Dia masih yakin ada rasa cinta daripada suaminya buat anak perempuan mereka.

"Kalau betul papa gembira dengan kelahiran Hifza. Kenapa papa selalu pukul Hifza, marah Hifza?"

"Papa takkan marah kalau Hifza dengar cakap papa, tak lawan cakap papa." balas puan Yasmin, kini Hifza Yelda mengiring tubuhnya, membuang padangan ke arah layar hitam televisyen. Tak puas dia mendengarkan jawapan ibunya.

"Hifza tak boleh bahagia ke mama? Kenapa Hifza kena puaskan papa?" soal Hifza Yelda lagi, rambutnya sudah tidak lagi dibelai oleh ibunya selepas menerima pertanyaan itu.

"Papa nak yang terbaik untuk Hifza, tu sebab papa selalu minta Hifza buat yang terbaik masa belajar supaya Hifza tak menyesal di kemudian hari. Hifza kena faham keadaan papa. Papa tu stress, papa tengah ada masalah, tu sebab kadang-kadang papa terlepas dekat Hifza." jelas puan Yasmin berharap anaknya faham keadaan suaminya.

Sebagai ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Begitu tangkapan puan Yasmin terhadap suaminya yang selalu memarahi anak gadis mereka.

"Kalau Hifza faham keadaan papa, siapa yang nak faham keadaan Hifza, mama?" kini Hifza Yelda kembali terlentang, dia menatap ibunya.

"Kenapa papa tak pernah cuba faham Hifza? Hifza pun stress juga, mama." sambung Hifza Yelda, puan Yasmin terdiam dengan ucapan anak gadisnya. Dia sendiri buntu dengan keadaan keluarganya. Sejak krisis masalah keuangan keluarganya merosot kerana suaminya mengalami bankrap, suaminya banyak berubah. Bahkan semakin panas baran sehingga anak bongsu mereka menjadi tempat melepaskan amarah.

"Hifza dah berusaha buat yang terbaik untuk papa. Hifza bersengkang mata belajar. Hifza buat semua yang papa suruh. Hifza berusaha puaskan hati papa, tapi apa yang Hifza dapat? Takde apa-apa melainkan sakit, mama." sambung Hifza Yelda lagi. Kini dia bangun dan menatap ibunya ketika puan Yasmin hanya diam tak membalas ucapannya.

"Hifza kena sabar dengan papa ya. Mama masuk bilik dulu, mama nak rehat." balas puan Yasmin kemudian berlalu ke biliknya selepas tidak tahu bagaimana mahu membalas ucapan anak gadisnya.

Hifza Yelda menatap kecewa ke arah ibunya sehingga hilang dari pandangan.

"Sebenarnya mama pun tak faham Hifza kan? Mama tak faham kesakitan yang Hifza rasa selama ni. Padahal mama sendiri saksi penderitaan Hifza. Apa lagi yang mama tak faham?" monolog Hifza Yelda dengan deraian air mata mengalir keluar dari pelupuk matanya.

Rumah Terakhir ✔️Where stories live. Discover now