Jantung Arisha bagai terhenti untuk beberapa ketika saat dia menerima panggilan dari MyMemory Care Centre yang menyatakan bahawa dia telah menghembuskan nafas terakhir pagi tadi. Apa yang berlaku kepadanya minggu itu cukup untuk merobekkan seluruh hatinya sehingga menjadi cebisan cebisan kecil. Di saat dia masih belum sembuh daripada luka yang disebabkan olehnya sendiri apabila menolak Ivan jauh daripadanya, ketika itu juga satu-satunya orang yang menyayanginya dan menjaganya tika dia masih kecil dan remaja telah meninggal.
Arisha memandang pintu bilik yang terletak nama Laila Suraya. Matanya dipejamkan seketika, menahan tangisan daripada pecah. Tombol pintu bilik itu dibukanya, di mana dia disambut dengan bilik yang kosong tetapi masih terletak barang-barang peribadi milik wanita itu. Arisha melangkah masuk ke dalam bilik yang disewanya di pusat jagaan orang tua itu untuk Laila Suraya - yang dahulunya merupakan orang gaji di rumahnya; yang menjadi inspirasinya untuk mula melukis. Tetapi sekarang, satu-satunya orang yang sentiasa ada dengannya, yang sentiasa memberikannya semangat untuk melakukan apa sahaja telah pergi untuk selama-lamanya. Loket yang tergantung pada rantai pemberian Laila Suraya di lehernya itu digenggam sambil memejamkan matanya.
"Ari, selagi Ari pakai rantai ni, selagi itu juga ibu akan sentiasa ada dengan Ari walaupun suatu hari nanti, ibu dah takde dalam dunia ni. Setiap kali Ari rasa takut dengan hidup, ingatlah Ari ada rantai ni seperti Ari ada ibu."
Lutut Arisha menjadi lemah saat ingatan itu menerpa mindanya. Badannya jatuh melutut di lantai bilik itu sambil tangannya masih memegang rantai di lehernya itu. Saat itu, dia langsung tidak kisah jika orang lain mendengar esakannya kerana sesungguhnya, dia tidak dapat menahan tangisannya lagi. Ibu, Ari perlukan ibu. Ari nak ibu.
Di saat dia kehilangan seorang ibu ketika dia masih kecil, dia diberikan seorang figura yang melayani dan menjaganya seperti anak sendiri. Yang sentiasa ada dengannya through every thick and thin yang dia alami ketika dia kecil dan remaja. Yang sentiasa menghadiri majlis-majlis di sekolahnya saat Megat Awatif tidak berminat. Yang sentiasa ada ketika dia menerima anugerah pelajar terbaik. Yang ada di hari pertama dia mula melukis. Yang ada memeluknya ketika dia diserang panic attack. Yang ada membangunkannya ketika dia mengalami mimpi buruk. Itulah Laila Suraya, yang menjaganya seperti anak sendiri, yang menyayanginya seperti anak sendiri tika orang di sekelilingnya sibuk dengan kehidupan masing-masing. Laila Suraya satu-satunya yang melihatnya for who she is.
~
Arisha mengangkat kotak yang berisi barangan milik Laila Suraya. Matanya yang sembab langsung tidak dipedulikan sambil dia meliarkan matanya ke setiap pelosok bilik yang sudah kosong itu. Rasa pedih di hatinya saat kehilangan satu-satunya figura ibu masih kekal bila dia memusingkan badannya untuk beredar. Ketika dia membuka pintu bilik itu, saat itu juga muncul Ivan dan Ilaria bersama dengan seorang pekerja di pusat jagaan tersebut.
"Ivan." Arisha tidak pasti jika suaranya itu sampai atau tidak pada pendengaran jejaka di hadapannya tetapi matanya cukup menghantar isyarat bahawa dia terkejut bila melihat Ivan berada di situ.
"Cik Arisha nak balik dah ke?"
Arisha mengalihkan pandangannya daripda Ivan kepada pekerja itu. Anggukan diberikan sebagai jawapan. "Diaorang ni siapa?" soalnya tanpa mempedulikan tatapan tajam Ivan padanya. Kenapa mesti Ivan yang melihatnya dalam situasinya sekarang?
"Oh!" Pekerja itu menoleh pada Ivan dan Ilaria. "Encik Ivan, Cik Ilaria, ini Cik Arisha, penjaga kepada ibu Laila." Dia kemudiannya menoleh kembali pada Arisha. "Cik Arisha, ini Encik Ivan, anak kepada ibu Laila."
Mata Arisha laju kembali pada Ivan saat mendengar kata-kata pekerja itu. "Anak ibu Laila?" Dia menuturkan itu dengan perlahan, tidak mempercayai apa yang keluar dari bibir pekerja wanita itu.
YOU ARE READING
My Sweetest Desire
RomancePuteri Arisha - seorang gadis yang pendiam dan introvert walaupun merupakan seorang painting artist dan seorang model. Seorang gadis yang memendam perasaan, masalah dan rahsia untuk dirinya dan membina tembok yang tinggi dan tebal untuk mengasingkan...