50

25.1K 853 24
                                        

TUBUH Alice diturunkan kembali sebaik sahaja mereka tiba di penthouse. Access card ditekap pada pintu sebelum pintu tersebut ditolak perlahan. Suis lampu dah kipas dibuka buatkan seluruh kawasan terang-benderang.

"Jom." Ray palingkan kembali tubuhnya. Lengan Alice ditarik untuk masuk perlahan-lahan.

Dengan langkah yang sedikit pincang, Alice mengekori langkah Ray. Mata pula sudah meliar ke arah sekeliling, memerhati keadaan penthouse yang masih terlihat sama seperti yang dia kemas sebelum ini.

Entah kenapa saat ini dia rasa sedikit berbeza. Jikalau dulu, dia hanyalah seorang pekerja yang ditugaskan oleh Ray untuk menjaga rumah ini. Tetapi hari ini, dia melangkah masuk ke sini bukan lagi sebagai seorang pekerja.

Tetapi seorang isteri.

"Aku dah lama tak balik penthouse. Last sebelum aku kahwin dengan kau." Ucap Ray secara tiba-tiba mengundang pandangan Alice terhadap lelaki itu.

"Kenapa?" Tanya Alice sedikit pelik.

Ray turut memandang wajah Alice di sebelah. "Sebab aku nak balik sini dengan isteri aku."

Mendengarkan perkataan 'isteri' yang meniti di bibir Ray, dada Alice kembali berdebar. Meskipun ayat yang Ray tuturkan kedengaran biasa, tetapi dia rasa itu adalah suatu perkara yang luar biasa.

"Jom. Kita masuk bilik. Kaki kau tu sakit lagi. Tak elok berdiri lama-lama." Ray pandang ke arah kaki isterinya yang terlihat merah.

Menyedari akan hal itu, Alice turut sama memandang ke arah kakinya. Masih sakit. Tapi tak seteruk tadi.

Tidak sempat Alice hendak berkata apa-apa, lengannya sudah ditarik terlebih dahulu buatkan dia terpaksa mengikut. Namun tatkala Ray mula menarik ke bilik lelaki itu, terpaksa dia tahan tangan Ray.

Terpusing tubuh Ray yang sedang berjalan. Keningnya diangkat tinggi dek tingkah isterinya itu.

"Kenapa?" Soalnya.

"Kita nak pergi mana?" Soal Alice sedikit teragak-agak.

Dahi Ray naik berlapis. "Masuk biliklah. Mandi. Rehat."

"Bilik siapa?" Alice telan liur.

Ray semakin pelik. "Bilik akulah. Siapa lagi?"

Mendengarkan itu, Alice rasa tubuhnya mula mengeras. Bilik Ray? Maksudnya.. mereka harus tidur bersama?

Alamak..

Wajah isterinya yang sudah berubah riak dipandangnya lama. Apa agaknya yang berada di fikiran Alice?

"Er.. tak apalah, awak. Saya rasa saya pilih bilik lainlah. Beg saya mana?" Sedikit teragak-agak nadanya menyoal. Wajah serius Ray entah kenapa buat dia kecur perut.

Memicing mata Ray tatkala mendengar ujaran Alice. Tubuh Alice kian dihampirinya. "Ada aku suruh kau pilih bilik ke?" Soalnya kembali.

Alice telan liurnya lagi. "Tapi saya tak biasa tidur dengan orang lain. Saya dah biasa tidur sorang." Alice beri alasan.

"Aku bukannya orang lain. Aku suami kau." Tegas Ray. Perkataan 'suami' itu ditekannya agar Alice sedar bahawa status mereka sudah berubah.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang