UNTUK kali keduanya selepas bercuti, Alice kembali masuk ke kerja. Orang lain kerjanya lama, cuti sekejap. Sampai dekat dia, kerja sehari, cutinya berhari-hari. Sampaikan waktu dia masuk kerja tadi, hampir semua orang terkejut melihatnya.
"Kalini.. kau betul-betul masuk kerja kan, Lis? Dah tak cuti kan?" Suara Ejat tiba-tiba bergema tatkala mereka bertiga sedang di dalam perjalanan menuju ke suite buatkan pandangan Alice terarah kepada lelaki itu.
Belum sempat Alice ingin membalas, aduhan Ejat terlebih dahulu kedengaran tatkala Fatihah bertindak dengan menyiku Ejat.
"Ish, kenapa siku aku!" Ejat memandang Fatihah tidak puas hati. Apa ni main siku-siku?!
Kekal sebagai pemerhati, tawa kecil automatik terletus dari bibir Alice.
"Kau lah! Apa pula tanya Lis soalan sensitif macam tu?" Marah Fatihah. Ada pula ditanya kawan yang baru selepas bercuti kerana papanya masuk hospital begitu?
"Manalah mak tahu!" Ejat jeling Fatihah tajam. Wajah masam ditarik buatkan Alice sekali lagi tertawa.
"Kalini Lis betul-betul masuk kerja, Ejat." Alice bersuara secara tiba-tiba menghentikan tikaman lidah mereka berdua. "Lagipun papa juga yang suruh Lis datang harini. Dia cakap dia dah sihat sikit." Sambung Alice lagi.
Pagi tadi, memang papa yang beria-ria suruh dia bersiap ke kerja. Katanya tak perlu risaukan dia sebab dia sudah sihat. Puas juga dia tegah tetapi papa tetap dengan keputusannya. Makanya, dia ikutkan sahaja kehendak papa.
Terangguk-angguk kepala Ejat dan Fatihah yang mendengarnya. Baguslah jika begitu. Kerana sejujurnya mereka juga risau sama apabila Alice diam berhari-hari tanpa berita.
"Ha, tengok? Lis tak cakap pape pun! Engko yang sensitif lebih!" Ejat pukul lengan Fatihah sebagai balasan.
"Ei, aku kang mamat lembut ni.." Fatihah angkat penumbuk besarnya di hadapan Ejat. Ada yang kena kejap lagi ni.
Melihat Ejat dan Fatihah yang sudah ada gaya ingin buka gelanggang WWE, ketawa Alice pecah lagi. Kedua orang temannya ini memang suka sangat bergaduh.
Troli yang berada di dalam pegangan kembali ditolak menuju ke laluan kiri di mana penthouse Ray berada. Manakala Ejat dan Fatihah pula sudah berura-ura ingin masuk ke kanan, iaitu ke arah suite yang lain.
"Alice! Tunggu sekejap!"
Baru sahaja Alice ingin mengambil laluannya, namanya diseru oleh Fatihah dari belakang. Dahinya berkerut seribu tatkala Fatihah dan Ejat sedang menuju ke arahnya.
"Kenapa?" Soal Alice pelik.
Fatihah dan Ejat pandang sesama sendiri. Dapat Alice lihat juga mereka berdua sedang berbalas isyarat mata.
"Rehat nanti kita orang cadang macam nak makan dekat luar. Lis.. nak ikut sekali tak?" Pelawa Fatihah pada Alice. Ejat pula sudah mengangguk-angguk kepalanya tatkala pandangan Alice terarah padanya.
Buat seketika, Alice terdiam. Mereka ingin mengajaknya makan bersama rupanya.
Tapi..
Tatkala perkataan 'makan' itu kembali menyapa koklea telinga, wajah Ray serta-merta terlayar di fikirannya. Kerana dia sememangnya sudah berjanji dengan lelaki itu untuk melunaskan 'hutang' makan tengahari pada hari pertama dia masuk ke kerja.
Meskipun Ray masih belum tahu tentang kedatangannya ke Imperial hari ini, tetapi janji tetaplah janji. Dan dia harus tepatinya.
"Hmm.. tak apalah. Kau orang pergi ajelah. Lis makan dekat kafe aje kot." Gelengkan kepala, Alice hanya mampu senyum pada kedua orang temannya itu. Sesungguhnya dia sudah terlanjur berjanji pada Ray untuk makan tengahari bersama.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
