SEPANJANG perjalanan menuju ke hospital, air mata langsung tidak berhenti mengalir di pipinya. Rasa risau, takut dan sedih sememangnya bersatu buatkan Alice tidak henti-henti memanjatkan doa di dalam hati. Dengan harapan, keadaan papanya akan tetap baik-baik sahaja.
"Ya Allah, tolong.. tolong selamatkan papa.." Berulang-ulang kali ayat itu meniti di bibir Alice tanpa henti. Tidak diendahkan juga air mata yang sudah menitis, membasahkan uniform kerja yang masih tersarung pada tubuh.
Kerana yang paling penting padanya saat ini cumalah keadaan papa.
Cuma.. papa.
"Kita dah sampai, cik."
Suara pemandu e-hailing yang kedengaran automatik buatkan Alice berpaling. Duit tambang yang sememangnya sedari tadi berada di tangan segera dihulurkan kepada lelaki itu sebelum dia segera melangkah keluar dari kereta. Tidak dihiraukan langsung pandangan pemandu tersebut yang mungkin pelik melihat wajahnya yang sudah basah dek air mata.
"Cik, ada baki ni! Cik!"
Tidak diendahkan juga seruan pemandu tersebut akan duit tambang yang diberi terlalu lebih. Sesungguhnya dia tidak punya banyak waktu untuk menunggu. Anggap sahajalah tambang lebihan itu adalah rezeki buat pemandu yang sudi membawanya ke sini untuk melawat papanya.
Tidak menunggu lama, bangunan Crescent Hill Medical Centre itu segera dinaikinya. Dan sebaik sahaja dia menerima pesanan daripada Ungku Firyani tentang wad kecemasan yang menempatkan papa, terus sahaja tingkat tersebut ditujunya.
Ting!
Pintu lif yang akhirnya terbuka buatkan Alice segera meluru keluar. Kiri kanan ditinjaunya, mencari keberadaan ahli keluarganya yang sudah tiba lebih awal di sini. Tatkala pandangannya dapat menangkap sosok tubuh Ungku Firyani yang sedang mundar-mandir di hadapan pintu wad, terus sahaja Alice tuju ke arah tersebut.
"Kak Yani! Macam mana dengan keadaan papa?" Dengan nafas yang terasa mengah, keadaan papa terlebih dahulu yang Alice soal.
"Alice!" Suara Ungku Firyani jelas kedengaran terkejut. Tidak menyangka bahawa sepantas ini Alice akan tiba di hospital.
Alice tarik nafas panjang lalu dihelanya berkali-kali. "Lis minta maaf. Lis tahu Lis lambat datang. Lis dari tempat kerja sebenarnya.. tapi Lis terus datang sini lepas je Kak Yani call tadi. Lis betul-betul risaukan papa. Papa okey kan?" Suaranya bergetar hebat. "Tolong cakap yang papa tak apa-apa.." Bersungguh-sungguh Alice cuba menerangkan keadaannya. Turut ditanya buat kali kedua mengenai keadaan Tan Sri Alias yang masih tidak terjawab.
"S-Sebenarnya, Lis.." Ungku Firyani telan liurnya payah. "..papa.."
"Eh, budak tak guna!" Namun belum sempat Ungku Firyani meneruskan bicaranya, jeritan Ungku Faizah yang bergema kuat buatkan pandangan mereka berdua terarah pada wanita tersebut.
"Ma, sabar, ma.." Ungku Firyani hela nafas berat. Langkah Ungku Faizah yang kian mendekati Alice cuba ditahan sebaik mungkin.
Dada Alice turun naik tatkala pandangan tajam Ungku Faizah terhala ke arahnya. Kepala cuba ditundukkan bersama tangan yang dihulurkan ke arah wanita itu. "A-Assalamualaikum, m-mama." Terasa berat lidahnya untuk menggunakan panggilan tersebut buat wanita di hadapannya ketika ini.
"Kau buat apa datang sini? Untuk apa kau datang sini, hah?!" Semakin kuat jeritan Ungku Faizah di hadapan wajah Alice. Ungku Firyani yang cuba menghalang turut ditepis sebelum dia kian mara menuju ke arah Alice.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
