47

21.4K 817 47
                                        

HARI INI, dia sah bergelar tunang kepada Ray Qhalif.

Siapa sangka, dalam sekelip mata statusnya berubah? Daripada seorang pekerja biasa yang mendampingi Ray, kali ini dia benar-benar memegang title 'bakal isteri' kepada lelaki itu.

Cincin belah rotan yang sudah selamat berada di jari manisnya oleh Puan Sri Qadijah sejam tadi dipandangnya lama sambil tersenyum. Masih terasa lembutnya tangan wanita itu sewaktu menyarungkan cincin tersebut di jarinya.

Sungguh, momen tadi masih terasa seperti mimpi di bayangannya. Tidak terjangka dek akal bahawa hari ini benar-benar berlaku.

Buat kesekian kalinya, cincin yang berada di jarinya disentuh lagi. Tidak dapat dia nafi kecantikan cincin pilihan Puan Sri Qadijah buatnya. Sempurna dari segala segi.

"Amboi, lebar betul senyum bakal puan Alice kita ni!" Suara yang kedengaran datangnya dari arah belakang buatkan tubuh Alice automatik berpaling.

Kelihatan sosok tubuh Aspalela yang sudah selamat berdiri di sebelahnya. Bibir temannya itu terukir senyuman penuh makna.

"Belum puan lagilah." Jatuhkan tangannya ke sisi, jelingan tajam diberikan kepada Aspalela. Sajalah tu datang nak mengusik dia!

Aspalela tertawa kecil melihat reaksi Alice. "Memanglah belum. Sebab tu aku cakap bakal. Bakal isteri kepada Ray Qhalif. Oh my god, that sounds so surreal!" Bercahaya terang mata Aspalela tatkala mengucapkan itu.

Sungguh, dia masih tidak percaya bahawa Alice benar-benar telah bergelar tunangan orang. Dan orang itu ialah Ray Qhalif, merangkap bos mereka sendiri!

Tidak berikan sebarang reaksi, Alice sekadar tersenyum mendengar. Bila difikirkan semula, dia sendiri pun rasa tak sangka. Siapa je akan sangka bahawa Ray Qhalif akan melamarnya pada malam itu?

Melihatkan senyuman di wajah Alice, Aspalela turut sama tersenyum. Namun lebih kepada senyuman mengusik. Tangan sudah naik mencekak pinggang.

"Penuh kejutan betul kau kan? Tak cakap apa-apa. Tak inform apa-apa. Tahu-tahu bagitahu nak bertunang dengan Encik Ray. Care to explain, Alice Dayana?" Keningnya diangkat tinggi beberapa kali.

Walaupun sudah beberapa hari berlalu, Aspalela masih tidak melupakan kejutan yang tiba-tiba sahaja dibentangkan oleh Alice terhadapnya. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba cakap nak bertunang.

Manalah dia tak kena heart attack?

Wajah Aspalela yang seperti sedang menunggu jawapan itu Alice pandang agak lama. Sungguh, dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk dia terangkan kepada Aspalela. Sedangkan dia sendiri pun perlu ambil masa hampir seminggu untuk menghadamnya.

"Hmm.. tak tahu." Angkat bahu, itu sahaja yang mampu Alice balas buat ketika ini.

Mata Alice membulat besar sebelum kepalanya terangguk-angguk. "Oh, dah pandai nak berahsia ek sekarang?" Ujar Aspalela sedikit berjauh hati.

Terhambur tawa kecil Alice melihat wajah masam Aspalela. Bahu temannya itu disentuh lembut. "Ish, taklah!" Alice gelengkan kepalanya.

"Mana ada aku berahsia. Aku memang betul-betul tak tahu. Semua yang jadi ni terlalu tiba-tiba." Nada Alice kian perlahan di akhir kata.

Memikirkan tentang itu, Alice terdiam sendiri. Memang segala apa yang terjadi padanya akhir-akhir ini penuh ketiba-tibaan.

Tiba-tiba dia dan Ray semakin rapat. Tiba-tiba Ray melamarnya. Dan tiba-tiba, dia sudah selamat bertunang dengan lelaki itu.

Daripada sekadar seorang pekerja kepada Ray Qhalif, sehinggalah dia selamat bergelar tunang kepada lelaki yang tidak pernah dia sangka siapa gerangannya.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang