52

22.8K 813 6
                                        

LUGGAGE milik mereka berdua dan beberapa barangan Alice dimasukkan ke dalam bonet. Sesekali Ray mengerling ke arah isterinya yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan Tan Sri Alias dan Ungku Firyani.

Alice mencebikkan bibirnya tatkala pelukannya dibalas oleh papa. Entah kenapa rasa sedihnya kian menggunung memikirkan bahawa dia bakal meninggalkan papa dan kakaknya.

Leraikan pelukan dari papa, tubuh Ungku Firyani pula dipeluknya. Semakin sedih dia dibuatnya apabila kakaknya mencium kedua belah pipinya. Air mata sudah mula bertakung di pelupuk mata.

"Lis dah nak ikut Ray balik rumah. Papa dengan Kak Yani jaga diri tau." Penuh sebak suara Alice berkata-kata. Wajah kedua orang kesayangannya dipandang silih-berganti.

Tan Sri Alias ukir senyum. Pipi anak gadisnya diusap lembut. "Ya, sayang. Lis pun sama. Jaga diri dengan jaga suami baik-baik." Sempat Tan Sri Alias mengerling ke arah Ray yang berada tidak jauh dari mereka.

"Sekarang Lis dah jadi isteri Ray jadi Lis kena dengar cakap Ray tau. Kalau ada apa-apa bincang baik-baik." Pesan Tan Sri Alias pula. Alice sekadar mengangguk bersama bibir yang sedaya-upaya mengukir senyuman.

"Tapi kalau Ray ada buli Lis, cepat-cepat bagitahu Kak Yani. Tahulah Kak Yani nak buat apa dekat dia!" Bersungguh-sungguh Ungku Firyani berkata-kata buatkan tawa Alice terhambur akhirnya.

Usai menutup bonet, Ray melangkah menghampiri mereka semua. Senyuman di bibir mula terukir apabila pandangannya bertaut dengan Tan Sri Alias.

"Kami balik dulu, papa." Ray mula meminta diri. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan bapa mertuanya.

Tan Sri Alias anggukkan kepalanya. Huluran Ray disambut bersama tepukan beberapa kali yang didaratkan pada bahu lelaki itu. "Papa serahkan tanggungjawab papa jagakan Alice pada Ray. Tolong jaga satu-satunya anak papa ni baik-baik ya?" Ucap Tan Sri Alias penuh pengharapan. Wajah Alice dipandangnya lama.

Meskipun tika ini dia begitu tahu bahawa Alice akan selamat disisi Ray tetapi hati tuanya masih belum mampu benar-benar melepaskan Alice, satu-satunya anak gadis yang dia punya.

Turut memandang ke arah Alice, Ray anggukkan kepalanya. "Insya-Allah, pa. Saya akan jaga Alice macam nyawa saya sendiri." Janjinya. Sungguh, dia akan jaga Alice sebaiknya.

Mendengarkan ujaran Ray itu, Alice tidak dapat menahan dirinya dari mengukir senyum. Terharu rasanya apabila bait kata seperti itu terbit dari bibir suaminya.

Tan Sri Alias dah Ungku Firyani turut tersenyum mendengarnya. Mereka tahu Ray tidak akan pernah mensia-siakan Alice.

Untuk yang terakhir kalinya, Alice salam dan peluk papa dan kakaknya lagi. Kali ini bagai tidak mahu lepas memikirkan bahawa entah bila lagi dia akan berjumpa dengan mereka.

Sabar menunggu, Ray kekal berada di sisi Alice. Sesekali ditepuk belakang badan Alice yang jelas terlihat sedih. Dia tahu betapa beratnya hati isterinya ketika ini.

Tidak betah buat Ray tertunggu-tunggu, Alice akhirnya melangkah menuju ke kereta. Mata masih tidak lepas memandang ke arah papa dan kakaknya meskipun dia sudah selamat masuk ke dalam kereta.

"Bye, papa! Bye, Kak Yani! Jangan lupa Lis tau!" Pesannya sambil cuba untuk kekal tidak menangis.

"Tak lupa! Kami sayang Lis!" Jerit Ungku Firyani sambil melambaikan tangan.

Alice turut melambaikan tangannya buat kali terakhir sebelum Aston Martin milik Ray perlahan-lahan bergerak membelah jalan raya.

















HAMPIR setengah jam Aston Martin itu membelah jalan raya namun suasana di dalam kereta kekal sunyi seperti tidak berpenghuni. Alice yang sedang larut di dalam lamunan jauh. Sedangkan Ray pula sedang berpura-pura fokus pada pemanduan.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang