43

21K 993 253
                                        

BAYANGAN tubuhnya di hadapan cermin yang sudah siap dengan persalinan dress kuning pastel dipandangnya dengan senyuman lebar. Beberapa kali Alice pusingkan tubuhnya, memperlihatkan tubuhnya dari sisi yang berlainan. Dan tiap kali itu, Alice rasa berpuas hati.

Tangan naik menyentuh dress di bahagian dada, mengagumi betapa sempurnya pilihan pakaiannya pada malam ini. Untuk pertama kalinya, dia memakai persalinan ini sejak hari pertama papa menghadiahkan padanya beberapa bulan yang lalu.

Dekatkan tubuh pada meja solek, anting-anting berbentuk ribbon dicapai lalu disarungkan kedua belah telinga. Buat kesekian kalinya, Alice senyum lagi apabila ia benar-benar tampak sepadan dengan dress pada tubuhnya. Sama seperti apa yang dia bayangkan.

Tidak dilupakan juga, malam ini dia memilih untuk menyolek dirinya sendiri tanpa pertolongan Ungku Firyani. Meskipun tidaklah sehebat sentuhan kakaknya, sekurang-kurangnya dia mencuba. Dan bagi dia, solekan kali ini merupakan sesuatu yang patut dia banggakan.

Berpuas hati dengan penampilannya pada malam itu, Alice capai beg tangan berwarna putih, sama seperti warna anting-antingnya. Sangkutkan pada bahu, Alice tenung dirinya buat kali terakhir. Senyuman di wajah terukir lagi sebelum dia melangkah keluar dari bilik.

Satu-persatu anak tangga dituruni buatkan pandangan Alice terhala pada sosok tubuh Tan Sri Alias dan Ungku Firyani yang sememangnya sudah menunggunya di bawah sedari tadi lagi.

Bauan minyak wangi Alice yang semerbak buatkan mereka berdua serentak berpaling ke belakang. Wajah Alice terukir senyuman lagi tatkala pandangan mereka berdua terarah padanya. Apa agaknya pandangan papa dan kakaknya terhadap persalinan pada malam ini?

Tidak berkerlip mata Tan Sri Alias dan Ungku Firyani apabila sosok tubuh Alice kian menghampiri. Sungguh, Alice memberikan satu aura yang berbeza pada malam ini.

Elegant.

"Macam mana? Okey tak baju Lis?" Soal Alice tatkala dia selamat tiba di hadapan papa dan kakaknya. Tubuhnya turut dipusingkan bagi memperlihatkan keseluruh penampilannya.

"Ini baju yang papa belikan tu kan?" Tan Sri Alias kenal baju ini. Baju ini merupakan pemberiannya pada Alice beberapa bulan yang lalu.

Laju Alice mengangguk. "Haah. Cantik kan? Lis suka sangat." Tak salah langsung pilihan papa dalam menghadiahkan baju ini padanya. Sungguh, dia sukakannya.

Tan Sri Alias ukir senyum. Tangannya naik mengusap pipi Alice. "Anak papa cantik sangat malam ni." Terlalu cantik. Seiras mamanya. Nazarine.

"Thank you, papa." Alice tersenyum malu.

Pandangan Alice kemudiannya dihalakan pula pada Ungku Firyani. Sedari tadi kakaknya itu senyap sahaja. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan baju dia?

"Kak Yani pula? Rasa dress ni okey tak? Makeup Lis? Menjadi tak?" Soal Alice bertalu-talu. Baju dan pipi disentuhnya silih-berganti.

Ungku Firyani gelengkan kepalanya. Sesungguhnya tiada apa yang tidak kena pada Alice. Dia cuma terlalu terkedu untuk berbicara tatkala melihat kecantikan seorang Alice Dayana pada malam ini.

"Yellow is so your color. You look stunning and shining tonight, adik!" Ungku Firyani anggukkan kepalanya berkali-kali sambil menyentuh bahu Alice.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang