HELAIAN pakaian milik yang terakhir disusun paling atas lalu dizip, menandakan segala barangan milik papanya sudah siap dikemas. Akhirnya, setelah 3 hari berada di hospital, Tan Sri Alias dibenarkan untuk pulang ke rumah hari ini. Gembira tidak terkata Alice dibuatnya apabila doktor memaklumkan bahawa keadaan papanya sudah semakin membaik.
"Okey, beg papa siap!" Beg galas tersebut dicapai lalu diletakkan di atas sofa berhadapan katil Tan Sri Alias duduki. Bersama senyuman di bibir, segera Alice menghampiri papanya.
"Terima kasih, anak manja papa." Tan Sri Alias turut tersenyum sama seraya menggosok kepala anak gadisnya. Kian melebar senyuman Alice seraya memeluk lengan tua Tan Sri Alias.
"Tak sabar betullah papa nak balik rumah. Duduk lama-lama dekat hospital buatkan papa sedar betapa selesanya katil dekat rumah tu." Ujaran Tan Sri Alias yang penuh perasaan itu mengundang tawa Alice. Kepalanya diangkat bersama pandangan yang memicing ke arah papanya.
"Eleh! Papa sebenarnya nak balik sebab dah tak tahan dengan makanan hospital kan?" Kata-kata Alice kali ini turut sama buatkan Tan Sri tertawa besar. Tahu-tahu sahaja anak gadisnya ini.
"Lis tak faham perasaan papa. Lama dah tau papa tak dapat makan makanan yang sedap-sedap. Asyik-asyik dapat yang tawar aje. Naik bosan dah lidah papa ni." Bersungguh-sungguh Tan Sri Alias berkata-kata. Sempat juga dia perlahankan sedikit ton suaranya saat menyebut perkataan 'tawar' itu.
Alice sekadar tersenyum mendengarnya. Lama dia tak dengar papa berceloteh seperti ini dengannya.
"Alah, tak apa. Balik rumah nanti mesti mama akan masakkan lauk yang sedap-sedap untuk papa." Lengan papanya itu ditepuknya perlahan, memberi semangat. Sikit sahaja lagi masa sebelum papanya akan dapat pulang.
"Tapi lauk mama masak papa dah selalu sangat makan. Yang papa dah lama tak makan, masakan anak manja papa ni."
Penuh maksud tersirat kata-kata yang diutarakan oleh Tan Sri Alias ketika itu.
Senyuman kekok mula terukir di bibir Alice tatkala pandangannya dan Tan Sri Alias bersabung. Jika tidak diberitahu pun, dia sudah terlalu faham apa maksud disebalik bicara tersebut.
Papa sedang cuba untuk mengajaknya kembali tinggal di rumah mereka.
"Boleh kan kalau Lis masakkan untuk papa bila kita balik nanti?" Permintaan Tan Sri Alias yang sudah jelas maknanya itu automatik buatkan lidah Alice kelu. Sungguh, dia tidak tahu apa yang harus dia balas ketika ini tanpa mengecewakan mahupun memberi harapan kepada papanya.
Tok! Tok!
Ketukan pintu yang kedengaran secara tiba-tiba itu mematikan kesepian yang melanda sebentar tadi. Seketika kedengaran helaan nafas lega terbit dari bibir Alice apabila pandangan papanya sudah terarah ke belakang.
"Dah sampai pun Yani!" Tan Sri Alias ukir senyuman lebar tatkala wajah Ungku Firyani kelihatan. Seketika pandangannya dikalihkan ke arah seseorang lagi yang turut sama melangkah masuk ke dalam wad tersebut.
"Eh, Ray pun ada sekali?"
Mendengarkan sebaris nama yang disebut oleh papanya itu, dahi Alice sudah berkerut seribu. Tubuhnya segera dipalingkan sama sebelum matanya membulat sedikit apabila figura tersebut benar-benar berada di hadapannya.
Apa yang Ray buat di sini?
Seketika pandangannya dihalakan pula ke arah Ungku Firyani sebelum satu lagi persoalan menjadi tanda tanyanya.
Dan.. bagaimana Ray boleh tiba pada waktu yang sama dengan kakaknya?
"Assalamualaikum, uncle." Ray menghampiri sosok tubuh Tan Sri Alias bersama huluran tangan. Ulas bibirnya mengukir senyuman buat lelaki itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Vow Of Hope
Romance[1st romance] Ray Qhalif | Alice Dayana Alice Dayana. Namanya secantik orangnya, namun kehidupannya jauh dari sempurna. Lahir dalam keluarga yang retak, dia hanya mampu menumpang kasih dari ibu tiri yang tidak pernah benar-benar menyayanginya. Dalam...
