45

21.9K 845 30
                                        

KEDUA belah tangan disapukan ke muka usai dia akhiri bacaan doa. Bangun dari duduk, Alice cabut telekung yang membaluti tubuh. Sejadah yang masih berada di atas lantai turut dicapai lalu disangkutkan pada rak.

Labuhkan duduk di atas katil, kain dilucutkan dari pinggang sebelum dia lipatkan bersama dengan telekung tadi.

Tok! Tok! Tok!

"Alice!"

Ketukan pintu beserta suara Tan Sri Alias yang kedengaran dari luar bilik buatkan tingkah Alice terhenti. Telekung yang berada di dalam pegang diletakkan kembali di atas katil sebelum dia mendekati pintu bilik.

"Ya, papa?" Senyuman di bibir Alice terukir sebaik sahaja pintu bilik itu dia kuak perlahan. Kelihatan sosok tubuh papa yang sedang berdiri tersenyum sambil memandang wajahnya.

"Boleh papa masuk?" Tan Sri Alias meminta izin.

Laju kepala Alice mengangguk. "Boleh." Pintu dikuak lebih luas seraya langkahnya kembali dibawa mendekati katil. Duduk dilabuhkan di atasnya.

Rapatkan pintu, Tan Sri Alias melangkah mendekati anak gadisnya. Perlahan-lahan, dia labuhkan duduk bersebelahan Alice yang sedang sibuk melakukan sesuatu.

Alice sekadar mengukir senyum tatkala papa sedang memandang ke arahnya. Aktiviti melipat masih diteruskan. Namun tatkala dia mula perasan akan pandangan papa yang begitu telus terhadapnya, Alice kembali mengangkat wajah.

"Kenapa papa pandang Lis macamtu?" Soal Alice dengan kening yang berkerut.

Tan Sri Alias ukir senyum. "Tak ada apa. Saja." Balasnya bersahaja.

Jawapan papa yang menyapa koklea telinga buatkan Alice semakin penasaran. Telekung yang sudah siap dilipat diletakkan di atas laci sebelum pandangannya kembali mencari wajah Tan Sri Alias.

"Papa ada apa-apa ke nak cakap dengan Lis?" Alice menyoal lagi. Kali ini lebih spesifik.

Tidak terus menjawab, Tan Sri Alias senyum dahulu. Agaknya nampak sangat kot macam dia hendak cakapkan sesuatu.

"Tadi siang Ray ada datang jumpa papa."

Mendengarkan nama Ray yang disebut oleh papa, tubuh Alice naik menegak. Riak wajahnya hampir sahaja berubah namun berjaya dikawal sebaik mungkin.

"Oh yeke?" Dengar tidak dengar nadanya menyoal.

Tan Sri Alias anggukkan kepalanya. Tangan pula bergerak mencapai sesuatu dari dalam poket baju melayu yang dipakainya.

"Dia bagi papa ni." Kotak baldu berwarna merah itu didaratkan di hadapan Alice.

Melihatkan kotak baldu yang berada di dalam pegangan papa, fikiran Alice automatik teringatkan kejadian malam tersebut. Saat dimana Ray melamarnya bersaksikan cincin tersebut. Akan tetapi, dia memilih untuk tidak mengambilnya.

"Dia suruh papa bagi ni pada Lis." Kotak tersebut diserahkan pada Alice.

Wajah Alice berkerut seribu mendengarkan itu. Wajah papa dicari bagi mendapatkan kepastian. Dan Tan Sri Alias sekadar mengangguk buatkan sekali lagi pandangan Alice mendarat pada kotak tersebut.

Tapi kenapa? Rasanya semalam sewaktu mereka berbual di dalam telefon, tidaklah pula dia beri apa-apa kata putus.

"Encik Ray ada cakap apa-apa ke dekat papa?" Soalnya penuh ragu. Risau pula dia kalau dia 'terbagi' harapan kepada Ray.

Kendatipun kata-kata Ray semalam hampir sahaja buatkan dia bersetuju, tetapi masih ada sesuatu di dalam dirinya yang sedang menunggu 'jawapan' yang sebenar. Dia tidak mahu buat keputusan yang terburu-buru.

Vow Of HopeCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang