PERUT mengerang meminta diisikan. Bingkas tubuh bangun meninggalkan katil sekali gus bilik menuju ke meja makan mencari makanan. Lagipun dia sudah memesan kepada Lutfi untuk membelikannya mi kari. Mengidamlah katakan. Kenapa tidak disuruh pembantu rumah memasaknya? Mereka sudah tidak mempunyai pembantu rumah. Sudah tiga kali pembantu rumah mereka bertukar orang. Yang pertama diberhentikan oleh Haura kerana satu kesalahan. Yang kedua dan ketiga pula berhenti sendiri kerana tidak tahan dengan perangai Haura.
Sepanjang Haura mengandung, boleh dikatakan dia banyak menyusahkan orang. Apa saja perangai yang tidak dibuatnya? Tidak mengandung pun, bukan main teruk perangainya. Sewaktu mengandung, lagilah. Boleh sakit jiwa orang yang menghadapnya. Mujur saja ada dua lelaki penyabar seperti Lutfi dan Luth. Namun terkadang Luth juga menyerah dengan perangai Haura.
Sebaik saja tapak kaki melangkah keluar dari bilik, tubuh Lutfi yang sedang memvakum rumah dilihatnya. Haura hanya menjeling sambil membuang plastik coklat Hershey's ke lantai tanpa rasa bersalah. Tidak dinafikan, tersangatlah buruk perangainya. Lutfi sekadar menyaksikan tanpa mencemuh.
Haura bergerak ke meja makan. Sedikit berang kerana tiada mi kari di atas meja seperti permintaannya. Hanya nasi berlauk ayam kicap yang dimasak oleh Lutfi terhidang. Haura menghempas tudung saji di meia makan. Panahan mata Haura tajam mencerlung Lutfi. Hangat tubuhnya menggelegak mahu memarak segala barannya.
"Lutfi! Mana mi kari aku?!" Haura menyoal dengan suara halilintarnya. Mahu sederet kejiranan mendengarnya.
Lutfi yang sudah selesai kerja memvakum itu menadah wajah ke Haura. Tetap tenang dan sabar menghadap kerenah Haura.
"Saya belum beli lagi. Petang sikit, saya belikan"
"Ergh! Kau ni! Cakap ja lah yang kau tak nak beli pun kan sebenarnya? Sudah lah aku tak makan apa-apa lagi. Kau nak aku mati kebulur ke? Pandai kau suruh aku mengandung anak kau tapi kau langsung tak jalankan tanggungjawab kau!" Bertalu-talu Haura menghentam Lutfi.
"Kalau awak lapar, awak makanlah nasi dengan lauk tu dulu" Lutfi berkata. Dia tahu Haura langsung tidak makan sejak pagi tadi kerana hanya ingin menjamah mi kari.
Haura geram mendengar balasan Lutfi yang seolah sambil lewa itu. Sebelum dia mengandung dulu, Lutfi turuti saja perintahnya. Sekarang, Lutfi sudah pandai memberi alasan dan menolak perintahnya. Haura mencapai mangkuk berisi lauk ayam masak kicap di meja itu lalu dilempar ke lantai. Berkecai mangkuk kaca itu. Berlenang kuah masakan itu.
"Ya Allah, rezeki tu Haura!" Lutfi tidak sengaja memarahinya. Nada suaranya juga ikut meninggi.
Haura yang penuh berang itu mencapai segelas minuman yang berisi air kosong lalu menjirus isi cairan itu ke wajah Lutfi. Wajah dan baju Lutfi basah terkena air kosong itu. Lutfi menguak rambutnya yang jatuh ke dahi itu. Dia tidak menjawab kali ini. Sebarang reaksi di wajah juga tidak.
YOU ARE READING
LUTFI HAURA
Romance❝𝒕𝒉𝒆𝒓𝒆'𝒔 𝒂 𝒘𝒆𝒊𝒓𝒅 𝒑𝒍𝒆𝒂𝒔𝒖𝒓𝒆 𝒊𝒏 𝒍𝒐𝒗𝒊𝒏𝒈 𝒔𝒐𝒎𝒆𝒐𝒏𝒆 𝒘𝒉𝒐 𝒅𝒐𝒆𝒔𝒏'𝒕 𝒍𝒐𝒗𝒆 𝒚𝒐𝒖❞ 📌 Complete || New Version 📌 known as The Stoical Love Tampak gayanya seperti bermain namun tulus hatinya benar menginginkan insan...