TIGA hari berlalu. Percaya atau tidak? Walau mereka sebumbung namun langsung tidak bertamu wajah. Haura mengurung dirinya di dalam bilik. Entah makan, mandi, tidur atau tidak. Lutfi tetap merisaukan dirinya. Acap kali juga Lutfi cuba berinteraksi dengannya dari luar bilik namun tiada respons daripada Haura. Ada kalanya kedengaran Haura memberontak. Menunjukkan emosi amarahnya yang masih terpahat buat Lutfi.
Di atas tikar suci itu masih menjadi tempat Lutfi berlabuh punggung walaupun dia sudah selesai mendirikan solat fardhu asar serta memanjatkan doa kepada Ilahi. Dia seakan sedang melepaskan segala kusut dan keluhan yang membelenggunya. Dia tidak pernah meminta untuk jadi begini. Andai dapat diundurkan masa dan memperbaiki khilafnya itu.
Tiba-tiba terdengar seruan salam dari luar rumah. Menyedarkan Lutfi dari terus termangu. Segera dia bangun menuju ke pintu rumah. Automatik juga ekspresi sugulnya berubah biasa. Senyuman juga sentiasa sedia menguntum walau terlihat kelat. Dia hanya tidak mahu sesiapa mengesyaki masalah apa yang sedang membenam jiwanya ke dalam kelam.
"Luth? Masuk lah. Ada apa kau datang sini?" Lutfi menjemput Luth untuk masuk ke dalam rumah. Kehadiran Luth itu agak mengejut namun tetap dia selambakan diri seperti tiada apa.
"Kau jangan salah faham eh Lutfi? Aku datang sebab Haura yang suruh. Dia ada mengadu sesuatu pada aku. Tapi aku tak nak dengar sebelah pihak. Apa yang berlaku sebenarnya?" Luth cuba tidak berat sebelah setelah Haura memberitahu sesuatu yang sukar diuraikan kepadanya. Dia mahukan penjelasan daripada Lutfi juga.
Lutfi agak terkedu mendengar pertanyaan Luth itu. Luth sudah mengetahui apa yang terjadi di antara mereka? Lekas dia mengambil tempat duduk di sofa dahulu. Diikuti Luth yang juga berlabuh punggung di sofa. Lagak Luth tidaklah mahu menyerang mana-mana pihak. Lebih kepada mahu membantu menyelesaikan masalah mereka.
"Entahlah Luth. Aku tak tahu nak ulas macam mana. Aku pun belum mampu percaya dengan apa yang dah jadi. Sebab semua perkara berlaku sekelip mata dan Haura sekarang tengah marahkan aku" Beritahu Lutfi yang tidak menyorokkan lagi isi hatinya mahupun raut wajahnya yang jelas dalam dilema.
"Tak apa Lutfi. Aku takkan salahkan kau. Tak perlu lah kau nak stres berfikir. Kau juga kena jaga emosi dan mental kau. Tentang Haura tu, biar aku yang uruskan" Luth senyum. Respons yang agak memberi harapan kepada Lutfi.
"Pergi lah jenguk dia dalam bilik. Boleh juga kau ajak dia keluar makan. Dah tiga hari dia hanya berkurung dalam bilik. Langsung tak nak bercakap dan bersua muka dengan aku lagi. Entah dia okay ke tak dalam bilik tu" Lutfi memberi keizinan kepada Luth untuk menjenguk Haura di dalam bilik.
Lagipun Lutfi terlalu gusar memikirkan kondisi Haura. Ditambah pula Lutfi tidak tahu sekiranya Haura ada menggunakan alatan tajam yang akan mengundang buruk kepada Haura. Hanya Luth saja yang boleh diharapkan untuk membantunya dan menjenguk kondisi Haura sekarang.
YOU ARE READING
LUTFI HAURA
Romance❝𝒕𝒉𝒆𝒓𝒆'𝒔 𝒂 𝒘𝒆𝒊𝒓𝒅 𝒑𝒍𝒆𝒂𝒔𝒖𝒓𝒆 𝒊𝒏 𝒍𝒐𝒗𝒊𝒏𝒈 𝒔𝒐𝒎𝒆𝒐𝒏𝒆 𝒘𝒉𝒐 𝒅𝒐𝒆𝒔𝒏'𝒕 𝒍𝒐𝒗𝒆 𝒚𝒐𝒖❞ 📌 Complete || New Version 📌 known as The Stoical Love Tampak gayanya seperti bermain namun tulus hatinya benar menginginkan insan...