TERKEDIP-KEDIP mata Haura setelah terjaga dari lenanya yang panjang. Dia sedang cuba mencerna penglihatan sekelilingnya. Yang terbentang luas di atas ialah siling. Yang dipandang di kanannya ialah katil bayi yang sedang didiami oleh anaknya sendiri. Dia sedar bahawa dia sudah bersalin dan rasmi bergelar ibu walau dia tidak mahu mengakui bahawa anak yang berada di katil bayi itu merupakan anaknya.
Haura masih belum menatap anaknya itu semenjak dia melahirkannya. Menyentuh atau memegang jauh sekali. Apatah lagi mahu menyusukan. Jururawat hanya memberikan susu formula yang disediakan oleh hospital untuk anaknya. Normal sesetengah ibu sukar untuk mengeluarkan susu pada awalnya kerana susu sedang membengkak. Tapi itu bukan alasan daripada Haura. Dia memang sudah berjanji dengan dirinya bahawa dia tidak akan menyusukan anaknya itu.
Selepas anaknya dibenarkan tinggal sekali dengannya di dalam wad biasa, ahli keluarga mereka turut melawati. Masing-masing ceria dengan kehadiran anak tersebut. Haura tetap bermuram durja. Ditambah pula sakit hati kerana mereka melebihkan anak tersebut daripadanya. Disebabkan itu dia terus membuat keputusan untuk beradu sehingga lewat petang.
Lutfi? Entah di mana dan sedang melakukan apa. Masih tiada khabar berita. Tertanya-tanya juga ada sama Lutfi mengetahui atau tidak bahawa dia sudah bersalinkan zuriat Lutfi itu? Takkanlah Lutfi tidak mahu menjenguk zuriatnya sendiri? Bukankah Lutfi yang beria mahu menghadirkan zuriat tersebut ke dunia fatamorgana ini? Kenapa tidak ada sekarang di sini?
Pintu wad bilik dikuak. Menandakan seseorang bakal menapak ke dalam. Haura yang masih berbaring di katil itu menanti. Tubuh tinggi dan tegap akhirnya mempamerkan dirinya di hadapan Haura bersama sejambak bunga peony rose di tangan. Tidak ketinggalan senyuman yang menghiasi di wajah figura itu bagai tiada apa yang terjadi sebelum ini.
Siapa lagi kalau bukan orang yang menjadi penantian Haura itu. Lutfi Ukail mara menghampiri katil Haura seraya meletakkan sejambak bunga tersebut di meja. Bukannya Haura menanti untuk meluah rindu. Tiada langsung istilah rindu. Namun dia mahu menuntut janji yang adil buat dirinya. Bercerai.
Lutfi tidak menghadap Haura dahulu. Sebaliknya menginjak langkah ke katil bayi. Dipangku anaknya ke tangan. Azan dilaungkan. Indah melunak koklea telinga sesiapa pun dengan alunan suara Lutfi itu. Haura mengerling Lutfi dari keberadaannya. Sakit hati! Semua orang sama! Melebihkan anak itu daripadanya. Sedangkan dia yang bersusah-payah melahirkan anak itu.
'Dia bukan datang untuk kau pun Haura. Untuk anak dia. Tengok lah tu. Anak dia juga yang dijenguknya dulu. Bukan aku yang bersusah-payah bersalin ni. Argh! Lantak lah! Kenapa aku perlu kisah? Aku kan nak akhiri semua ni dengan cepat!' Gumam hati Haura.
Haura cuba membangunkan tubuhnya dari posisi baring. Agak sukar dengan gerakan yang cuba dia lakukan. Dalam masa yang sama, Lutfi mendekati Haura sejurus memaut bahu Haura untuk membantunya bangun. Haura menikam mata Lutfi dengan tajam. Entah bila pula Lutfi meletakkan anaknya dan pantas mahu membantunya bangun. Dia tidak perasan pula akan hal itu.
YOU ARE READING
LUTFI HAURA
Romance❝𝒕𝒉𝒆𝒓𝒆'𝒔 𝒂 𝒘𝒆𝒊𝒓𝒅 𝒑𝒍𝒆𝒂𝒔𝒖𝒓𝒆 𝒊𝒏 𝒍𝒐𝒗𝒊𝒏𝒈 𝒔𝒐𝒎𝒆𝒐𝒏𝒆 𝒘𝒉𝒐 𝒅𝒐𝒆𝒔𝒏'𝒕 𝒍𝒐𝒗𝒆 𝒚𝒐𝒖❞ 📌 Complete || New Version 📌 known as The Stoical Love Tampak gayanya seperti bermain namun tulus hatinya benar menginginkan insan...