💘BAB - 64

27.4K 787 298
                                    

Jam di dinding dikerling sekilas oleh Safiyah. Waktu sudah menunjuk ke angka sembilan malam namun kelibat Rayden masih belum tiba. Hujan pula sudah semakin lebat di luar. Sudah berpuluh panggilan dan mesej telah dihantar kepada lelaki itu namun satu pun tidak diangkat malah mesejnya hanya dibaca sahaja oleh Rayden.

Hatinya mula dipagut risau. Selalunya Rayden tidak pernah bersikap begini. Jika panggilannya tidak diangkat, lelaki itu akan menghubunginya semula. Namun kali ini berbeza. Adakah suaminya itu baik-baik sahaja?

Makanan yang sudah tersedia dihidang di atas meja makan dipandang sepi. Pelbagai jenis lauk dan pencuci mulut disediakan olehnya pada malam ini semata-mata mahu membuat kejutan kepada suaminya itu. Namun lelaki itu masih belum pulang ke rumah.

Telefon bimbitnya dicapai dan nombor Rayden didail sekali lagi namun panggilan itu masuk ke peti suara.

Baru sahaja dia mahu mendail nombor Rayden sekali lagi, tiba-tiba kedengaran pintu utama mansion mereka dibuka dari arah luar oleh seseorang dan dia pasti itu adalah Rayden. 

Dengan senyuman yang teruja dan hati yang gembira, dia melangkah ke ruang tamu sambil menampung bawah perutnya dan ternyata telahannya benar bahawa Rayden sudah pulang.

Dilihat lelaki itu sedang duduk bersandar di atas sofa sambil mata dipejam erat. Letih barangkali, fikir Safiyah. Dengan perlahan Safiyah melangkah ke suaminya lalu lengan sasa Rayden disentuh lembut.

"Abang..." Panggilnya teruja. Bibir munggilnya juga tidak lekang dari senyuman yang manis.

Namun tanpa disangka, tangannya ditepis kasar oleh Rayden membuatkan wanita itu terkesima dengan tindakan yang tidak diduga itu.

"Abang? Kenapa ni?" Soalnya lembut.

Dan soalannya hanya dibalas dengan tatapan yang tajam dari lelaki itu. Terasa darahnya mengalir laju ke seluruh tubuh saat sepasang mata hazel itu memanah tajam ke arahnya dengan riak wajah yang sangat bengis dan tegang.

Perlahan dia berundur dua tapak ke belakang apabila melihat Rayden sudah mula bangun berdiri.

"Abang? Abang kenapa ni?" Meskipun rasa takut dan hairan menyelubungi diri, tetapi dia masih menegur suaminya itu.

Rahang Rayden bergerak-gerak kasar menandakan bahawa lelaki itu sedang dikawal oleh amarah.

Dan tanpa diduga, Rayden meluru ke arah Safiyah lalu pipi mulus itu ditampar kuat sehingga wanita itu jatuh terduduk di atas sofa yang berada di belakangnya. Sangat kuat sehingga hujung bibir Safiyah pecah dan mula mengalirkan darah yang pekat. 

Terus pecah tangisan wanita itu bersama hati yang dihurung tanda tanya. Pipinya yang perit ditekup dengan telapak tangannya. Berbekas kesan tamparan yang dahsyat itu pada kulit wajahnya. Wajah bengis suaminya ditatap dengan pandangan yang sayu.

"Ab-abang? Kenapa abang tampar Fiya? Apa salah Fiya dekat abang?" Lirihnya sayu. Air matanya yang tidak dapat ditahan mengalir laju menuruni pipinya yang sudah mula memerah itu.

Tidak tahu apa salahnya sehinggakan Rayden bertindak menaikkan tangan terhadapnya. Sebelum ini, jika lelaki itu marah bagaimana sekalipun, tidak pernah Rayden menampar atau memukulnya. Namun kali ini berbeza.

"Aku nak tanya kau, apa yang kau dah buat dekat belakang aku sepanjang aku tak ada?! Apa yang kau buat?! Jawab!!!" Jerkah Rayden kuat.

Safiyah menggeleng tidak faham. "Fiya tak buat apa-apa abang. Fiya duduk rumah Mummy dengan Daddy. Fiya tak buat apa-apa pun, abang." Balas Safiyah perlahan.

Rayden tertawa sinis seraya meraupkan rambutnya ke belakang. Telefon bimbit yang berada di poket seluarnya dibawa keluar dan dia menaip sesuatu pada skrin itu lalu objek nipis itu disua tepat di hadapan wajah basah Safiyah.

❦︎𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐇𝐚𝐭𝐢 𝐌𝐫.𝐑𝐚𝐲𝐝𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐟𝐢𝐪𝐢❦︎ [✔︎]Where stories live. Discover now