"Lelaki semua sama!"
Kafe yang dipenuhi orang ramai itu senyap tiba-tiba. Semua mata memandang ke arah meja yang berada di satu sudut.
Wardina berdiri. Serentak itu, meja makan dihentak sedikit. Tidak lah terlalu kuat tetapi cukup membuatkan penghuni meja yang berada tidak jauh darinya mengangkat muka terkejut. Mana tak terkejutnya bila tiba-tiba sahaja ada orang menjerit macam kena histeria.
"Shh! Duduk lah Dina! Kau malukan aku tahu tak!" Syuhada menarik kembali tangan Wardina didepannya. Memaksa gadis itu duduk. Sempat dia mengangkat tangan kepada orang ramai tanda minta maaf. Terkebil-kebil dia memandang wajah Wardina yang macam gunung api nak meletup tu.
Wardina diam. Jus tembikai yang berada diatas meja di tarik dan disedut laju. Manalah tahu boleh melegakan hatinya yang panas ni.
"Sekarang ni, aku yang putus cinta ke kau yang putus cinta ni?" Syuhada menggaru kepala yang tidak gatal. Rasanya apa yang dia ceritakan tadi, dia yang kena tinggal dengan lelaki. Bukan Wardina.
"Aku geram lah. Mana lelaki tu? Biar aku belasah dia satu kali." Kata Wardina. Kali ini, nada suaranya dah menurun. Dia mempamerkan riak wajah masam kepada sahabatnya.
"Kau nak serang dia ke? Tak payah!" Laju Syuhada berkata serta kepalanya digeleng laju. Bahaya kalau seorang gadis seperti Wardina ni berjumpa dengan lelaki tak guna macam tu. Ibarat harimau berjumpa dengan mangsanya.
Silap hari bulan, tangan lelaki itu pula yang hilang sebelah. Bukan dia tak tahu betapa antinya Wardina dengan lelaki.
"Lepas apa dia buat dekat kau, kau nak bela dia lagi Syu? Kau gila ke apa?" Marah Wardina. Geram dengan sikap lemah lembut sahabatnya itu. Kalau dia dapat lah Fuad tu. Memang dia ganyang cukup cukup!
"Aku bukan nak bela dia tapi aku nak bela kau. Bukannya aku tak tahu kau kalau jumpa dengan lelaki macam tu, terus bertukar jadi makhluk hijau yang tak boleh dikawal. Silap hari bulan, mahu koma sebulan Fuad tu nanti." Ujar Syuhada. Dah kenal sangat dengan perangai kawannya itu.
Wardina mengeluh kasar. Inilah sebabnya kepercayaan dia pada lelaki lenyap seratus peratus.
"Biarlah dia. Mungkin kita orang tak ada jodoh. Aku dengan dia pun dah berbincang. Kita orang putus dengan cara baik." Jelas Syuhada. Sedih, memang lah sedih. Tapi tak adalah sampai tahap nak menangis menonggeng.
Wardina menghela nafas. Kalau itu dah dikatakan Syuhada, apa yang dia boleh buat?
"Dah lah, lupakan pasal tu. Aku tak nak fikir. Aku nak tanya kau, dah cari rumah sewa ke belum?" Soal Syuhada. Terpinga-pinga Wardina memandangnya seakan tidak faham dengan soalan itu.
"Rumah sewa buat apa?"
Dah agak, mesti dia tak ingat.
"Ya Allah... dia boleh lupa. Kita kan dah nak mula belajar dua minggu lagi. Dah masuk tahun akhir ni, jangan haraplah nak dapat kolej." Jelas Syuhada ringkas. Wardina menepuk dahi, menandakan dia terlupa tentang itu.
YOU ARE READING
Perfectly Imperfect
RomanceHidupnya tak seperti orang lain. Memegang status sebagai anak kepada isteri nombor dua ayahnya yang sudah tiada membuatkan banyak dugaan yang harus dia tempuhi. Sehinggalah satu kejadian berlaku. Disebabkan hasad dengki kakak sendiri, dirinya dibuan...