"Kau okay tak Dina?" Sapa Syuhada ketika mereka sedang duduk menunggu makanan. Pelik melihat wajah itu tegang dari pagi tadi.
"Tak okay. Gaduh dengan Hayyan." Memandangkan hanya mereka berdua aje sekarang ni, jujur dia menjawab. Kalau dengan Syuhada, dia memang tidak kisah untuk berkongsi apa apa masalah.
"Aku dah agak. Kali ni, aku rasa kau yang mula dulu. Betul tak?" Teka Syuhada. Wardina pula terus berkerut nipis, tak lama sebelum dia mengeluh. Mungkin sedar dengan kesilapan sendiri.
"Secara teknikalnya, memang aku. Tapi kalau Hayyan tak cakap pasal tu, aku tak ada lah nak terasa macam ni." Bunyi seperti merajuk.
Pagi tadi pun, semasa Hayyan menghantarnya pergi kelas hanya bunyi penghawa dingin kereta yang kedengaran. Wardina tidak bersuara, hanya memalingkan muka pada luar tingkap. Hayyan pula menayang riak muka dingin. Senyap dalam kereta. Agaknya, kalau dia kentut pun boleh dengar.
Semasa dia turun kereta pun, Hayyan tidak berkata apa apa. Bukannya nak tanya kelasnya tamat pukul berapa. Alamatnya, balik dengan Syuhada lah kali ini.
"Kenapa? Cerita kat aku." Arah Syuhada. Bersedia untuk menjadi pakar motivasi rumah tangga untuk perempuan itu. Semenjak Wardina kahwin, dengan siapa lagi gadis itu ingin mengadu selain daripadanya?
Satu keluhan dilepaskan sebelum Wardina ambil keputusan untuk menceritakan hal yang berlaku. Syuhada pula buka telinga besar-besar. Kadang-kadang dia berkerut, kemudian ketawa kecil. Entah apa yang lawak pun Wardina tidak tahu.
"Syu, kau ingat aku tengah buat stand up komedi ke apa? Gelak kenapa?" Rasa nak cepuk aje Syuhada ni. Orang serius, dia main-main!
"Tak adalah, kau dengan Hayyan ni kan, pasal benda kecil macam ni pun boleh gaduh. Tak boleh nak berbaik sekejap. Mesti nak bergaduh. Macam anjing dengan kucing!" Balas Syuhada sebelum kembali ketawa kecil. Membuatkan Wardina bengang sekejap.
"Kau rasa siapa kucing, siapa anjing?"
"Kau lah anjingnya." Selamba Syuhada membalas tanpa berfikir panjang.
"Syu!" Ingatkan bila dia meluah perasaan pada Syuhada boleh lah hatinya berasa lega sedikit. Tapi, lagi berasap telinga dengan gurauan gadis itu. Matanya yang membulat tidak Syuhada hiraukan.
"Aku bukan nak bela siapa-siapa. Tapi, apa yang Hayyan cakapkan tu ada betulnya Dina." Syuhada sudah masuk mood serius. Anak mata memandang wajah Wardina.
"Dia ahli keluarga kau. Ayah kandung kau. Takkan selamanya kau nak hidup macam ni?"
Rasa jemu pula mendengar ayat yang sama. Semalam dari Hayyan. Hari ini dari Syuhada. Kenapa seorang pun tak faham apa yang dia rasa? Nak marah pun tak boleh sebab itu memang kenyataan yang tak boleh diubah. Tapi, hatinya dah tawar.
"Dia buang aku Syu. Kau pun tahu kan? Kau pun ada dekat sebelah aku masa tu..." Perlahan Wardina berkata.
"Percayalah cakap aku. Ikatan keluarga takkan putus. Kau sebagai anak, kena berusaha dapatkan balik kepercayaan ayah kau. Kasih sayang ayah kau."
"Tapi..." Tak sempat dia ingin mencelah, Syuhada pantas memotong.
"Aku faham perasaan kau Dina. Aku tengok dengan mata aku sendiri macam mana bencinya pandangan ayah kau pada kau. In fact, kau dah lalui benda ni dah lama. Tapi, kau kena tahu satu benda. Ayah kau dah tua. Selalu jatuh sakit. Aku tak rasa ego dia masih tinggi melangit."
Wardina diam, tidak tahu ingin membalas apa.
"Kau pernah cerita dekat aku kan tentang pesanan arwah umi kau sebelum dia pergi? Jangan sesekali hilang rasa sayang pada ayah kau. Takkan kau nak lupakan pesanan tu?" Syuhada cuba memujuk.
YOU ARE READING
Perfectly Imperfect
RomanceHidupnya tak seperti orang lain. Memegang status sebagai anak kepada isteri nombor dua ayahnya yang sudah tiada membuatkan banyak dugaan yang harus dia tempuhi. Sehinggalah satu kejadian berlaku. Disebabkan hasad dengki kakak sendiri, dirinya dibuan...