14 tahun kemudian.
"Aaaaa–ssalamualaikum selamat pagi tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini kita akan makan nasi lemak bersama ayam goreng!"
Mata semua orang yang berada di ruang tamu terus tertumpu pada suara perempuan yang muncul dari salah sebuah bilik di dalam rumah itu. Pemilik suara itu berdiri tegak di muka pintu dengan tangan bercekak pinggang, ala-ala postur Superman. Tuala yang tergantung di kedua-dua bahu dilepas ke belakang seolah-olah sehelai mantel.
"Woi mangkuk, bisinglah," kata Zarin, mematikan suasana. Dia menjeling tajam ke arah kakaknya. "Kau ingat, ni kenduri kahwin kau ke?"
Yulia memejamkan mata sambil tersenyum. Kepalanya mengangguk-angguk.
Zarin menyambung kerja-kerja yang hendak dibuat tadi – mengutip tuala, kain pelekat, dan besen berisi air dari atas lantai lalu membawa ke dapur.
"Subuh-subuh dah memekak," rugutnya apabila melintasi Yulia.
"Chill-lah, talam," balas Yulia, menahan senyum.
Yulia berpaling ke arah dua orang lain di ruang tamu itu. Maknya sedang duduk bersila di bawah lampu kalimantang, menghadap kitab al-Quran dalam keadaan masih bertelekung. Pada waktu-waktu begini sajalah mak dilihat memakai cermin mata walaupun tulisan al-Quran itu cukup besar; saiz kitab itu seperti yang imam guna semasa terawih. Pelapiknya dua buah bantal. Kalau tetamu nampak, mesti mereka ingat Zarin curi dari masjid.
Menyedari dirinya diperhatikan, mak mendongak memandang Yulia. Yulia hanya tersengih. Mak kembali menyambung baca.
Yulia pandang pula ke arah seorang lelaki lain di hadapannya, yang terbaring di atas sebuah katil bujang. Katil itu dirapatkan ke dinding ruang tamu. Lelaki berusia 30-an itu memakai t-shirt dan kain pelekat.
"Abang Fahmi dah solat?" tanya Yulia. Tiba-tiba suara bertukar sopan.
"Belum, Yulia. Baru tadi Zarin mandikan. Ni baru nak solat," jawab lelaki itu.
"Oh, okey. Solatlah, solatlah," bisik Yulia. Dia menggerakkan kedua-dua tangan sebagai isyarat supaya Fahmi meneruskan apa yang mahu dibuat. Selepas itu, dia menapak ke dapur.
"Adik, kau punya pembentangan pukul berapa hari ni?" tanya Yulia. Tangannya menongkat di bingkai pintu bilik air.
Zarin yang sedang membilas besen di singki dapur memandang jam dinding.
"Pukul 10."
"Oh, lambat lagi. Tu aku bancuh Milo tau. Dalam teko tu."
Mata Zarin membulat. Cepat-cepat dia membuka penutup teko. "Lah, kenapa tak cakap awal-awal .... Aku dahlah puasa. Dah masuk subuh pun!"
"Manalah aku tahu kau nak puasa ...," bebel Yulia. "Kira okeylah tu, dah sahur nasi lemak."
Zarin merengus kecewa.
Yulia masuk ke dalam bilik air. Namun, dia keluar semula sebab teringat sesuatu. "Weh, nanti kau guna helmet putih. Aku nak guna yang biru."
"Weh, tak naklah!" kata Zarin.
Mereka berdua terdiam apabila terdengar suara tua mak menegur dari depan supaya mereka memperlahankan suara.
"Helmet putih tu buruk kut," Zarin berbisik agresif.
"Tak baiklah. Itu kan harta pusaka arwah ayah," bisik Yulia. Gigih dia menahan ketawa.
"Aku belajar kat uni swasta kut! Budak-budak situ anak T20 – bawa BMW, duit poket dua tiga ratus ringgit sehari. At least, helmet biru tu make sense untuk imej aku."
"Kau bawa helmet masuk kelas ke?"
"Taklah."
"Habis tu?" Yulia mempersoal.
Belum sempat Zarin membalas, Yulia cepat-cepat menutup pintu bilik air. Zarin memejamkan mata menahan geram.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...