SEJAM selepas solat asar, Yulia hanya bersantai-santai di bilik. Hari itu hari hujung minggu, maka tak ada apa-apa yang perlu dilakukan, melainkan masak makan malam.
Yulia mengeliat.
Rasa lenguh kerana terlalu lama membaca buku dalam keadaan meniarap. Buku yang dibaca itu pula bukanlah buku santai-santai. Dia baca buku rujukan universiti Zarin, tentang topik Thermodynamics.
Dia tidaklah berminat dengan bidang tersebut. Dia membaca buku kerana ingin membiasakan diri membaca bahan bahasa Inggeris. Bukan buku sahaja, kadang-kadang dia meneliti slaid-slaid pengajaran daripada kuliah Zarin.
'Kitab' subjek kejuruteraan itu ditutupnya. Dia bangkit, menyarung tudung, dan keluar dari bilik. Tertanya-tanya juga di mana Zarin kerana rumah agak senyap.
"Yulia," panggil Fahmi. Pasti dia terdengar bunyi pintu bilik Yulia tadi.
"Ya, Abang Fahmi?" jawab Yulia. Keningnya terangkat. Perlahan dia berjalan mendekati Fahmi, lalu berdiri di tempat yang memudahkan Fahmi nampak dirinya.
"Petang ni Abang Fahmi nak ambil angin kat taman permainan. Zarin keluar. Yulia boleh teman?" tanya Fahmi.
Yulia terdiam beberapa ketika. "Abang nak pergi jalan-jalan?"
"Kalau Yulia cakap macam tu, susahlah. Abang memang tak boleh jalan-jalan," jawab Fahmi dengan wajah serius. Dia memandang kedua-dua kakinya.
Yulia terdiam lagi kerana kaget. Belum pernah Fahmi bercakap begini dengannya selama ini.
"Abang gurau. Gurau, gurau," sambung Fahmi. Lelaki itu tertawa perlahan.
Yulia meledakkan tawa, tidak percaya. Ini bergurau? Ternyata orang di depannya itu memang tak pandai buat lawak.
"Okey, Abang Fahmi. Yulia bawa Abang Fahmi. Mana entah benda alah tu ....?" Matanya melilau mencari kerusi roda.
"Wheelchair ada kat dapur," kata mak yang baru muncul dari dapur. Mulutnya menjuih ke belakang.
"Hah, okey mak ...." Yulia memandang Fahmi. "Sekejap ya, Yulia call Zarin."
Fahmi mengangguk.
Langkah Yulia pantas diatur masuk ke dalam bilik. Telefon di atas katil diambil. Dia menelefon Zarin.
Sambil menunggu Zarin menjawab panggilan, Yulia terfikir, tentang betapa mudah kalau Fahmi berkahwin saja dengannya. Dia boleh mengangkat Fahmi dari tilam ke kerusi roda. Dia boleh suapkan Fahmi makan. Dia boleh mandikan dan tukarkan pakaian Fahmi. Tidak perlu menunggu Zarin atau mak yang buatkan. Zarin tidak sentiasa ada di rumah, mak pula tidak sentiasa kuat.
Yulia rasa macam dia tiada fungsi di dalam rumah ini untuk membantu semua orang.
"Mana pula budak ni tak angkat telefon," rungut Yulia. Nombor Zarin dihubungi sekali lagi.
"Mende ...." Suara melewah Zarin kedengaran di hujung talian.
"Weh, adik. Assalamualaikum. Kau balik jap. Abang Fahmi nak keluar jalan-jalan pergi taman," arah Yulia dalam dua nafas.
Dia menyarung selipar dan berjalan ke arah taman permainan yang terletak beberapa ratus meter dari rumah.
"Ha yalah tu nak menipu. Abang Fahmi nak jalan macam mana? Kau nak apa sebenarnya?" jawab Zarin malas-malas.
Yulia mendengus, kemudian berkata, "Ada nampak pokok cili tak dekat-dekat dengan kau?"
"Cili?" Zarin senyap. Barangkali sedang mencari ke kiri dan kanan. "Tak ada. Kenapa?"
"Oh ... tak ada. Aku baru terfikir nak cili mulut kau ...."
Zarin ketawa.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Любовные романы[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...