33

86 6 0
                                    

"MASUK dulu! Saya park kereta!" arah Adam.

Yulia mengangguk. Serta-merta dia membuka pintu dan berlari ke arah petugas zoo yang berdiri di pintu masuk. Setelah bertukar maklumat berkali-kali melalui walkie talkie, rupa-rupanya para pekerja itu pun tidak sedar tentang kejadian Haikal hilang. Yulia dibenarkan masuk dengan ditemani pekerja tersebut.

Beberapa orang pekerja saling berhubung melalui walkie talkie. Selang beberapa ketika, ramai staf berpecah di dalam kawasan zoo untuk mencari Haikal.

Tanpa mengekori mana-mana staf, Yulia berlari di dalam zoo sendirian. Selipar yang dipakai sudah pun putus. Tapak kakinya sakit. Tekaknya kering. Namun, dia tetap berlari ke sana sini. Semua orang lain mencari terlalu perlahan baginya.

"Baju ungu tangan pendek, seluar hitam, pakai topi," dia menyampaikan juga kepada para pengunjung zoo yang lain, kalau-kalau mereka ternampak Haikal.

Setelah beberapa ketika, Yulia bertembung dengan Adam yang turut mencari Haikal. Mereka sudah cari di semua tempat.

"Betul ke dia hilang di zoo?" tanya Adam. Nafasnya termengah-mengah. "Dah cari kat semua tempat. Pekerja pun tak jumpa apa-apa."

Telefon dikeluarkan lalu Adam menghubungi Izhar. Setelah bercakap beberapa minit dalam telefon, mereka berdua mulai bertelagah. Izhar berkeras mahu Adam terus mencari. Adam meminta Izhar pastikan dahulu situasi kejadian sebenar melalui pihak sekolah. Yulia hanya berdiri di sebelah Adam dengan mata melilau-lilau.

Akhirnya, Adam meletakkan telefon. Tangannya bercekak pinggang. Dahi berkerut menahan terik matahari. Dia mulai penat dan ingin berputus asa.

"Saya tak tahulah, Yulia."

"Tak apa, encik. Saya sambung cari," kata Yulia.

"Awak nak cari apa lagi?" marah Adam. "Dengan pakai selipar putus macam tu?"

Yulia terdiam. Sekarang, dengan selipar dia sekali pun dimarahi Adam.

"Kita tunggu sajalah. Pekerja zoo dah cari dia. Dia orang tahu segala ceruk tempat ni," marah Adam lagi.

Menyedari emosi kecewa Adam, Yulia berkata perlahan. "Encik Adam. Tak apa." Kedua-dua tangan diangkat dan digerakkan sebagai isyarat supaya bertenang. "Biar saya cari."

Mata mereka bertentang. Akhirnya, Adam mengangguk.

Tanpa menunggu lagi, Yulia berlari ke arah salah sebuah jalan daripada simpang-simpang yang banyak di situ. Tidak sampai seminit, dia berpatah balik.

"Kenapa?" Adam mengangkat kening.

"Saya nak cuba cari kat satu tempat. Sekejap ya," kata Yulia.

Berbanding masuk lebih dalam ke dalam zoo, Yulia memilih untuk keluar dari kawasan zoo. Dia memeriksa setiap kawasan yang terbuka dan terlindung; di sebalik pokok hiasan yang tinggi dan rimbun, di sebalik kereta-kereta di petak parkir.

Akhirnya, kira-kira 50 meter dari pintu masuk zoo, Yulia menjumpai orang yang dicari.

Haikal sedang duduk bersendirian di tepi pokok bunga. Wajah Haikal comot dengan air mata yang sudah kering bercampur kotoran. Anak itu hanya menunggu dengan pasrah – memandang ke kiri dan kanan.

Yulia mengeluh kelegaan.

"Haikal," panggilnya perlahan.

"Kak Yulia," jawab Haikal. Mulutnya mencebik.

"Mari sini." Yulia mendekati dan merangkul Haikal. "Nasib baik Haikal tak apa-apa."

Haikal menangis sedu sedan di bahu Yulia sementara Yulia memujuknya.

Sementara Adam sedang memerhati mereka dari jauh.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now