41

90 8 2
                                    

SEMASA mereka berbaris di sebuah kawasan lapang untuk sesi mengambil gambar, Yulia berdiri di sebelah June. Dia masih menjeling ke arah Adam yang berdiri di hujung sana dengan berhati-hati.

"Cik June," panggil Yulia.

"Ya?" jawab June tanpa memandang. Dia fokus memandang ke arah jurukamera di hadapan dan berlatih senyum.

"Cik June kenal Encik Adam dah berapa lama?"

"Eh, kenapa tiba-tiba tanya? Dalam ... lima tahun kut."

"Oh ...." Yulia mengangguk-angguk. "Cik June."

"Hmm?"

"Encik Adam tu, kalau dia marah seseorang, dia buat macam mana ya? Maksudnya, dia akan buatkan orang tu susah ke, jatuhkan orang tu ke ...?"

Bersungguh June menggeleng. "Tak mungkinlah dia akan buat macam tu. Adam tu, kalau dia marah, semua orang akan nampak yang dia tengah marah. Dan semua orang akan tahu kenapa dia marah. Sama ada dia marah orang tu sendiri, atau dia minta orang lain tegurkan bagi pihak dia."

"Oh ...." Yulia mengangguk, berpura-pura puas hati.

June merenungnya. "Kenapa tiba-tiba tanya pasal tu?"

Yulia mengeluh panjang. "Cik June, saya rasa Encik Adam marah sayalah. Tapi saya tak tahu kenapa."

"Adam? Marah you?"

Yulia mengangguk. Kemudian, silih berganti June memandang muka Adam dan Yulia. Sekejap toleh kiri, sekejap toleh kanan.

"Isy, taklah. Dia tak marah tu. Tengok pun tahu," bangkang June akhirnya.

"Kenapa Cik June cakap macam tu?" gesa Yulia.

"Kalau dia marah pada you, dia takkan ikut datang ke sini. Dia akan elak jumpa orang yang dia marah."

"Oh, lega saya ...." Yulia mengerling ke arah Adam. Adam di sana sedang berbual santai dengan salah seorang penduduk. Dia nampak gembira. Mungkin betul, yang Yulia salah faham saja.

"Habis tu, yang kenyit mata tu ...?" bisiknya sendirian.

"Siapa kenyit mata?" sampuk June.

"Ah, tak, tak. Saya teringat orang lain."

"Oh okey."

"Encik Adam suka kenyit mata kat orang lain ke?"

Mendengar soalan itu, June ketawa besar. Semua orang di situ memandang. Setelah suasana kembali kepada asal, June mengesat matanya yang berair. Dia masih ketawa kecil. "Nak bayangkan pun I rasa cringe. Adam kenyit mata haha."

Yulia ikut ketawa.

Betullah, bukan dia seorang saja yang rasa benda itu pelik.

∞ ∞ ∞

MALAM itu, saat Yulia mengemas meja makan, dia terfikir sesuatu apabila memandang Zarin. Zarin sedang khusyuk meratah ayam goreng.

"Adik, kau ada kawan perempuan tak?"

Terus Zarin menegakkan badan. Siku ditongkat ke meja.

"Kawan perempuan? Girlfriend ke maksud kau? Kenapa kau tanya?" jawab Zarin dengan serius.

"Sebab boleh tanya."

Zarin menjuih dan bertanya kembali dengan nada riyak, "Kau rasa, dengan muka aku yang above average ni, aku ada girlfriend tak?"

Terus Yulia mencebik. Menyampah pula rasanya sebab kata-kata Zarin itu memang tidak salah. Zarin memang layak masuk kategori tampan. Bahkan, kalau paras seseorang itu ada tahapan macam ekonomi, sebenarnya wajah Zarin itu T20. Cuma penampilannya yang biasa-biasa itu saja membuatkan dia kurang menonjol.

Kalau Yulia membayangkan kehidupan ini ialah sebuah drama, maka Zarin tentu-tentulah watak utama, manakala Yulia pula paling sesuai jadi watak kawan yang kelakar dan hodoh supaya tak overshadow watak utama.

"Ada la tu?" teka Yulia.

"Tak ada," jawab Zarin.

Yulia hanya diam.

"Kenapa? Kau ada boyfriend ke? Nak minta nasihat?" seloroh Zarin. Setelah dia melihat reaksi Yulia, ketawanya pudar. "Kau ADA boyfriend?"

"Isy, perlahanlah sikit!" bisik Yulia. Mereka berdua menoleh ke arah ruang tamu sekilas. "Masa bila pula aku ada boyfriend?"

"Habis tu ...?" tanya Zarin dengan harakat panjang.

"Ada seorang ni ...." Yulia memulakan cerita.

Zarin tiba-tiba ketawa tertahan-tahan dalam keadaan mulut bermuncung 'Ooo' dan berkata 'Seriuslah?'.

Yulia mengabaikan dan menyambung, "... bukan pasal boyfriend, tapi dia tu bos aku. Aku nak tanya pendapat kau. Kalau dia tiba-tiba buat baik pada aku dan tolong aku, padahal sebelum ni dia biasa saja, kenapa ya?"

Zarin sambung menghadap pinggan seperti hilang minat. "Hmm, mungkin sebab dia nak minta kau tolong apa-apa?"

Yulia berfikir seketika sebelum menggeleng yakin. "Tak mungkin kut."

"Dia tak nak kau cari kerja kat tempat lain? Nak jaga hati pekerja?"

"Tak mungkin. Aku ni cleaner saja pun," jawab Yulia. "Tak, masalahnya sekarang, dia kenyit mata kat aku."

Zarin mendongak. Wajahnya berubah ke mod pengawas. "Dia kenyit mata macam mana? Tiba-tiba kenyit mata, atau macam mana?"

"Tak adalah tiba-tiba ...."

"Dia cakap macam mana?"

"Dia cakap ... awak ingat saya tolong sebab fikir awak tak kuat? Macam tu."

"Lepas tu dia kenyit mata?" duga Zarin.

"Lepas tu dia kenyit mata."

Zarin menepuk meja. Dia bangun mendekati kakaknya di singki. Dengan senyum terkulum, dia menggoncangkan telunjuknya berkali-kali ke arah Yulia.

"Dia suka kau! Dia suka kau! Haha."

"Hah?" Yulia terpinga-pinga.

Zarin kelam-kabut cuci tangan dan mengambil telefon di atas meja. "Apa nama tempat kerja kau? Aku nak cari siapa nama bos kau ni."

"Wei, kuali. Apa kau merepek ni?" marah Yulia. Dia merampas telefon Zarin.

Zarin langsung tidak marah, bahkan dia ketawa.

Yulia bungkam. Jarang dia nampak Zarin ketawa seperti ini. Selalunya mereka saling bergaduh dan mengusik. Ketawa mereka kebiasaannya jenis ketawa puas hati kerana berjaya membuli. Namun, kali ini Zarin benar-benar nampak jujur gembira.

"Bos kau tu suka kau, Yulia. Aku yakin ni," katanya.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now