MULUT Zarin menguap besar. Jam hampir pukul 2.00 pagi, dan sudah hampir 30 minit dia dan Yulia menunggu di luar balai polis. Sebuah kereta BMW merah berhenti di hadapan mereka. Kepala Amalina menjenguk ke luar. Dahinya berkerut saat terlihat Yulia dan Zarin berdiri bagai dihukum di pintu masuk balai.
Yulia baru hendak berlari masuk ke kereta itu, namun dibatalkan niat sebab Amalina sudah kelam-kabut keluar dari kereta dulu. Gadis itu hanya memakai tudung sarung biru, baju-T, kardigan dan seluar bercorak bunga. Kasutnya salah pasangan. Yulia mencebik senyum dan mendepa tangan dari jauh.
"Kepala excavator betullah kau ni! Buat aku risau!"
Amalina memukul kepala mereka dengan beg tangan. Zarin berjaya elak sebab dah nampak Yulia kena dulu.
"Gila ke apa? Kau rompak orang?" marah Amalina lagi.
"Syy syy syy." Yulia pantas menarik Amalina menjauhi pintu. "Jangan kuat sangat! Takut nanti abang-abang polis kat dalam terdengar, lepas tu salah faham lagi."
"Abang polis? Handsome?" Amalina menjenguk ke dalam.
"Macam muka bakal boyfriend kau," jawab Yulia bersungguh.
"Ya ke?" Sekali lagi Amalina ingin menjenguk ke dalam, namun tidak jadi. "Eh, kenapa pula aku terpengaruh? Weh, apa cerita tiba-tiba orang tuduh kau rompak orang? Kau pun sama, Zarin. Kenapa pakai hitam semua?"
"Kau tanyalah genius ni," balas Zarin. Jarinya menunjuk ke arah Yulia.
Yulia menggaru-garu leher. "Aku plan tak fikir panjang. Sorry. Aku sebenarnya ...."
Ayat Yulia tergantung kerana perhatian mereka beralih kepada kelibat dua lelaki yang baru keluar dari balai. Adam dan Izhar mengangguk hampir serentak tanda menyapa.
Amalina menekup mulut apabila melihat Adam. Terus dia berundur ke sebelah Zarin.
"Encik Adam, Encik Izhar, saya minta maaf sangat-sangat pasal semua ni. Saya minta maaf juga bagi pihak adik saya. Terima kasih sebab tak laporkan apa-apa pasal kami. Saya boleh bayar ganti rugi untuk telefon Encik Adam, kalau encik tak kisah," kata Yulia dengan lancar.
Dia mengerling ke arah Zarin. Adiknya faham isyarat itu, lalu menghulurkan tangan penuh hormat ke arah Adam.
"Saya betul-betul minta maaf, Encik Adam. Terima kasih sebab tak dakwa kami."
Salam Zarin bersambut.
"Tak ada hal. Tak apa, semua ni salah faham saja," balas Adam.
"Kami gerak dulu ya," kata Izhar pula.
"Eh, sekejap encik! Macam mana dengan ganti rugi telefon? Macam mana saya nak bayar?" Yulia menahan mereka.
Adam dan Izhar saling berpandangan, kemudian mereka seperti berbual dengan isyarat mata. Ketika itulah Amalina beralih ke depan. Dia mengeluarkan sekeping kad perniagaan dari dalam beg tangan, lalu menghulurkan kepada Izhar.
"Encik boleh hubungi saya untuk urusan ganti rugi tu," katanya sambil tersenyum.
Perlahan Izhar mengambil kad itu.
"Nama saya Amalina. Editor buku di Tapir House. Boleh hubungi saya juga – mana tahu – kalau-kalau Encik Adam berminat nak tulis buku?" Amalina mengangkat kening. Jarinya menunjuk ke kad.
Izhar membaca kad perniagaan itu sekilas. Kemudian kad itu dimasukkan ke dalam poket seluar. Lelaki berdua itu mengucapkan terima kasih, sebelum pergi ke arah kereta mereka.
Setelah itu, barulah Yulia mendengar Amalina bernafas normal.
Amalina mengipas-ngipas muka sendiri. "Tak sangkanya boleh jumpa crush! Kusangka abang polis, rupanya Abang Adam."
Zarin menjelir lidah, gaya ingin muntah.
"Bukan main profesional kau depan dia tadi. Hebat betul!" ampu Yulia.
Senyuman Amalina mati. Dia menjeling maut ke arah Yulia. "Diamlah, calon banduan. Dah, jom balik. Menyusahkan aku."
Yulia dan Zarin berlari anak di belakang Amalina, bagai anak itik yang beratur di belakang ibunya.
∞ ∞ ∞
YOU ARE READING
Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)
Romance[TERBIT VERSI BUKU - KITA CUMA KAWAN, KAN? by IMAN PUBLICATION] Adam Adwa seorang bintang terkenal. Nisrina Yulia pula hanyalah ... Yulia. Dunia mereka memang tak pernah bersilang, sehinggalah Adam tercicirkan telefonnya di dalam kereta Yulia. "Lag...