30

104 6 0
                                    

PAGI ITU, Adam berdiri di atas penimbang berat sebelum keluar berjoging. Sebelum 7:00 pagi, dia akan memastikan dirinya sudah berada di luar pintu rumah dan menekan punat turun pada lif. Sebelum warna jingga mewarnai langit, dia sudah memastikan matanya terlebih dahulu menatap warna biru di atas.

Dia berlari setiap hari, bagai berlumba dengan matahari.

Ketika kaki Adam laju melalui sebuah ruang tempat letak kereta terbuka di kompleks membeli-belah, matanya akan mengerling untuk melihat kelibat-kelibat berbaju T putih yang sedang melakukan senaman taichi. Sekarang mereka sedang bersenam menggunakan sejenis alat senjata prop yang kelihatan seperti pedang. Ada antara 10 ke 12 orang kesemuanya. Adam tersenyum melihat telatah golongan warga emas itu bersenam dengan khusyuk mengikut arahan ketua mereka di hadapan.

Berdekatan dengan golongan warga emas tadi, mata Adam akan mengilas ke arah bahu jalan di ruang parkir sama. Di situ, ada seorang lelaki berbangsa Cina, barangkali berusia 40-an, bersenam seorang diri. Dia lebih muda berbanding golongan warga emas tadi, maka gaya senamannya lebih moden. Setiap hari, lelaki itu akan menegur ramah seorang wanita Melayu kurus berusia 30-an yang berjalan ke arah ruang parkir. Wanita itu selalu memakai baju kurung. Pasti dia ingin pergi ke pejabat.

Adam melihat jam tangan. Jam 7:15 pagi. Wanita itu akan lalu di hadapan lelaki Cina pada waktu ini, setiap hari. Dan Adam akan berpeluang melihat wanita dan lelaki itu bertegur sapa satu dua ayat sebelum membawa haluan masing-masing.

Adam juga seperti mereka. Hanya lalu dan membawa haluan diri.

Semacam suatu kelegaan bagi Adam untuk menyaksikan keadaan ini setiap kali dia lalu pada waktu ini.

Sebelum masuk kembali ke ruang lobi kondominiumnya, Adam akan berhenti dan membuat regangan badan sambil memandang taman kecil di sebelah. Ada pokok bunga raya yang sedang berkembang. Di belakang pokok itu, terdapat rekahan kecil pada dinding kondominium. Hanya rekahan luaran.

Setiap hari, Adam akan berfikir, sudah berapa lama rekahan itu ada? Sudah berapa ramai orang yang melihatnya?

Semacam suatu kelegaan bagi Adam untuk menyaksikan rekahan ini setiap kali dia lalu pada waktu ini.

Cuma hari ini, apabila Adam masuk ke dalam rumah, ada objek asing di ruang tamunya. Izhar sedang tergolek di atas sofa. Tidur dalam keadaan tidak selesa. Adam buat face palm. Dia lupa Izhar ada di situ. Tanpa mengendahkan Izhar, dia terus masuk ke dalam bilik.

"Adam ... wio wio wio ...." Terdengar suara Izhar bercakap dari luar. Entah apa butir ayatnya, mengigau mungkin.

Stoking dicampak ke dalam bakul baju. Adam duduk di atas katil sambil memandang pemandangan bandar di luar tingkap. Tangannya menyeluk poket dan mengeluarkan telefon.

Melina, bila kau nak pungut laki kau?

Seketika kemudian, dia menerima balasan.

Kau ni kan. Dah puas hidup?

Itu saja mesej balas yang diterima. Adam menghembus nafas panjang. Dia menaip mesej balas.

Aku cakap betul ni. Sampai bila kau nak macam ni?

Satu balasan cepat diterima.

Sampai mati.

Limit aku sampai sini je Adam. Please jangan paksa aku lagi.

Aku penat buat semua benda. Dia tak pernah appreciate.

Kalau kau nak tanya sampai bila, jangan tanya aku.

Bukan aku masalahnya.

Kau kena tanya dia.

Adam merenung skrin. Kali ini, lain macam pergaduhan Melina dan Izhar. Kakaknya itu tak pernah semarah ini. Izhar pula tidak pernah sediam ini. Sebelum ini, kalau mereka berdua bergaduh, Melina dan Izhar sama-sama akan banyak membebel di depan Adam (si 'posmen' malang yang menjadi mangsa). Sekarang, dua orang paling rapat dalam hidupnya itu sangat dingin.

Melihat Izhar melutut dan merayu di hadapan pemilik taska semalam bagai menjelaskan segala-galanya kepada Adam. Izhar tidak pernah terdesak seperti itu. Izhar yang dia kenal sering meremehkan semua benda, seolah-olah tidak penting.

"Chill bro. Nanti okeylah tu." Izhar selalu berkata begitu.

Adam keluar ke balkoni untuk mengambil tuala yang disidai. Dia memandang sahabat baik aka abang iparnya yang tertidur di atas sofa sekilas. Izhar asyik tidur di atas sofa itu sejak dia masuk ke dalam rumah ini. Rasa kasihan pun ada. Tapi entah kenapa Adam rasa jengkel juga.

Izhar dan Melina ialah harapan terakhir Adam, untuk membuktikan bahawa cinta itu kekal sampai bila-bila. Seumur hidup Adam, tiada manusia di sekelilingnya yang berjaya mencapai reputasi itu. Bukan mama dan papa; bukan datuk dan nenek; bukan pak cik dan mak cik; bukan juga kebanyakan kenalan Adam. Mereka sama ada berpisah, atau terus bersama tanpa rasa cinta.

Pasangan berdua ini berjaya untuk gagal, seperti yang diagak oleh Adam dahulu. Sepatutnya sekarang dia boleh kata "kan aku dah cakap?" kepada Melina dan Adam, tetapi dia sendiri rasa tak gembira. Berfikir ayat itu dalam hati pun rasa macam jahat.

Bagi Adam, mereka ini sebenarnya hanya mangsa. Jatuh dalam lubang yang sama.

Perkara yang dipanggil cinta itu yang berdosa.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now