38

90 8 0
                                    

KECOH ruang tempat letak kereta di studio pada pagi itu. Yulia, June, Muhaimin, dan beberapa orang lain sedang sibuk mengangkut kotak-kotak bersaiz sederhana dari lobi bangunan ke dalam sebuah van. Berbeza dengan kebiasaan, hari ini mereka memakai pakaian yang lebih santai dan selesa.

Yulia mengibaskan tudungnya kerana berpeluh satu badan. Kotak yang dihulur oleh June diambil dan ditolak ke dalam van. Muhaimin yang menunggu di dalam van mengambil dan menyusunnya pula.

"Banyak lagi ke, Yulia?" tanya Muhaimin. Dia terkernyih menahan panas.

Yulia mengecilkan mata dan merenung bahagian lobi. "Nampak macam tinggal sikit lagi. Sekejap saya pergi tengok." Dia berlari-lari anak ke dalam bangunan.

Di dalamnya, June dan tiga orang lain masing-masing sedang mengangkat kotak. Salah seorang kawan June bernama Maira sedang bergelut dengan beban yang diangkat, sementara ada seorang lelaki sedang membantunya menstabilkan pegangan. Lelaki itu tersenyum apabila ternampak Yulia.

"Gue nyuruh kamu nunggu di van, kan?" katanya. Berbanding orang lain di sini, pakaiannya tampak luar biasa bergaya.

"Aku nak tengok berapa banyak kotak yang tinggal," balas Yulia. "Reza, kau tak panas ke pakai jaket tu? Dahlah jaket jean."

"Entahnya. Bukalah dulu," sahut June yang sedang berjalan keluar dengan kotak.

"Aku bukan tak mahu buka." Reza tersenyum antara segan dan mengusik. Dia berusaha bercakap dalam dialek Kuala Lumpur. "Aku tak mahu kamu ladies kagum melihat aku nanti."

"Hahahahaha." Yulia ketawa tak ingat dunia.

Wajah Reza berubah masam. "Kok lucu ...?"

Yulia masih ketawa. Dia berpura-pura mencari ke sekeliling. "Ladies mana? Ladies mana yang kau maksudkan tu?"

Melihat Yulia yang masih seronok mengejeknya, Reza tidak jadi hendak marah. Dia dan Yulia berlawan merenung.

"Hey ladies ...," kata Yulia dengan nada berirama.

"... jangan mau dibilang lemah," sambung Reza.

Tidak semena-mena, kedua-dua mereka menyanyi dan menari.

"Kita juga bisa menipu dan menduakan. Bila wanita sudah beraksi dunia hancur ...."

June yang muncul di pintu melaung sambil ketawa, "Hoi! Apa bendalah tiba-tiba menyanyi dua orang ni?"

Mereka bertiga ketawa geli hati.

Elok saja suasana kembali tenang, tiba-tiba terpacul seseorang di hadapan bangunan. Adam berdiri berpeluk tubuh di belakang van, sedang berbual dengan Muhaimin. Maira menyiku Yulia supaya menjaga perlakuan. Yulia cepat-cepat mengangkat kotak.

"Siapa itu?" tanya Reza. Dia terjenguk-jenguk ke luar.

"Bos besar," Yulia berbisik.

Mereka kaget apabila tiba-tiba Adam menoleh dan memandang mereka sekilas. Kemudian, kembali ketawa kecil dan usik-mengusik apabila Adam tidak memandang.

"You tak nak ikut sekali ke?" Mereka terdengar June bertanya Adam apabila mendekati van.

"Itu Adam, kan? Adam Adwa si penyanyi itu?" bisik Reza.

"Ya, ya." Yulia berbisik agresif dan terus mengisyaratkan supaya Reza berhenti bercakap, kerana mereka sudah dekat dengan van.

"Lebih handsome tengok depan-depan begini," kata Reza lagi.

"Diam ...." Yulia menyenggol lengan Reza. Ketika itu, Adam mengerling ke arah mereka. Apabila mereka berdua tiba ke belakang van, kotak-kotak dihulur kepada Muhaimin.

"Encik Adam. Encik kerja ke hujung-hujung minggu ni?" tanya Yulia.

"Aa ... ya. Saya ada kerja sikit," jawab Adam.

"Betul kau tak nak ikut ni?" tanya June pula.

"Betul. Aku tak ikut." Adam menekankan jawapannya sepatah-sepatah.

Yulia mengangkat kening apabila melihat Reza asyik membuat isyarat mata kepadanya.

"Ini ...." tanya Adam sambil menunjuk ke arah Reza.

"Oh, ya. Ini Reza. Anak sepupu saya. Dia datang dari Jakarta. Baru semalam sampai," Yulia memperkenalkan.

"Saya Reza." Reza menghulurkan tangan dan dua orang lelaki itu bersalaman. "Mujur Adam tanya. Dari tadi saya minta Yulia ini memperkenalkan saya."

"Mana ada kau suruh?" bisik Yulia.

Adam tersenyum tawar. "Yulia asal dari Indonesia rupa-rupanya?"

"Ah, tidak ...," sampuk Reza. "... leluhur nenek saya yang dari Malaysia. Nenek saya itu kakak kepada mak Yulia. Setelah nikah sama orang Jakarta, nenek saya menetap terus di sana. Terus ibu saya juga lahir di sana."

"Oh macam tu ...."

"Meski pangkatnya 'tante', 'mak cik' buat saya ...." Reza menjeling nakal ke arah Yulia. "Tapi saya masih lebih tua. Yulia ini pernah tinggal di sana beberapa tahun kan, semasa kecil?" sambung Reza, sambil memandang Yulia.

Yulia mengangguk.

"Saya fan Adam. Lagu-lagu Adam saya dengar semuanya," kata Reza lagi.

Ketika itu, Yulia hanya diam dan mengangguk-angguk meskipun dalam hati, dia tertanya-tanya, sejak bila pula Si Reza ini layan lagu Adam.

"Kau tahu tak Adam, nama diorang berdua ni guna templat sama?" tanya June tiba-tiba.

Adam mengangkat kening sambil memandang June, Yulia, dan Reza silih berganti. "Templat?"

"Ya, nama diorang ada bulan kelahiran diorang. Nisrina Yulia ... Yulia tu Julai. Reza Febrianto ... Febrianto tu Februari."

"Seriuslah? Semua adik-beradik korang nama macam tu ke?" sahut Muhaimin dari dalam van.

"Haah," jawab Yulia. "Kakak saya Fariha Meida – Meida itu bulan Mei. Annisa Noviana, bulan November. Nurul Syuhada Febriani, bulan Februari. Adik saya, Zarin Septa, bulan September."

"Family kau pun sama?" Muhaimin bertanya kepada Reza pula.

Reza mengangguk. "Lebih kurang begitu."

"Wah ... unik betul," kata Muhaimin.

Yulia ketawa. "Family saya tiru templat nama family Reza. Sebab mak ayah saya suka nama macam tu."

"Dah macam adik-beradik korang ni," kata June.

"Tak bisa adik-beradik. Bisa nikah. Kan?" gurau Reza.

Yulia mencebik jijik.

Mereka semua tertawa kecuali seseorang yang diam sejak tadi.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now