58

80 6 0
                                    

WAJAH Zarin muram saat dia berdiri di pintu bilik Yulia. Sudah hampir seminggu kakaknya itu terbaring di atas katil sebab demam. Kebanyakan masa, Yulia hanya tidur.

Selama ini, Yulia sudah banyak kali bertukar kerja. Tidak sekali pun fasa pertukaran itu membuatkan Yulia sampai jatuh sakit. Ini kali pertama Zarin lihat kakaknya sakit dalam tempoh setahun dua ini.

"Orang yang jarang sakit ni, bila sekali sakit, teruk betul sakitnya," kata Zarin kepada Fahmi. Dia duduk di kerusi sebelah katil Fahmi, lalu kedua-dua orang lelaki itu menonton televisyen.

Mak muncul dari bilik air dengan terbatuk-batuk kasar. Sama macam Yulia, mak pun tidak sihat kebelakangan ini.

"Mak, Yulia dah makan ke? Dari Zarin keluar sampailah Zarin balik, dia tidur," kata Zarin kepada

"Dia makan tengah hari tadi, tapi dua tiga suap saja. Tak makan ubat lagi tu," balas mak. Dia menggantung tuala di kerusi rotan dan masuk ke dalam bilik untuk solat maghrib.

Zarin mengeluh.

"Abang Fahmi, sekejap eh. Zarin nak bagi ubat kat kentang tu."

Dia tidak jadi nak bantu Fahmi mengambil wuduk. Langkahnya diatur ke dapur.

Fahmi ketawa perlahan.

Lima minit kemudian, Zarin muncul di bilik Yulia dengan pelbagai jenis ubat. Yulia masih tidur berbungkus di dalam selimut. Hanya nampak rambut.

"Wei, bangun. Makan ubat ni." Zarin menendang perlahan tilam.

Kedengaran Yulia mengerang perlahan kerana terjaga tiba-tiba.

Zarin mengeluh melihat keadaan kakaknya. Dia duduk di tepi katil.

"Teruk sangat demam kau ni. Dahlah tak nak jumpa doktor ... tak nak makan."

"Nanti aku baik sendirilah ni," balas Yulia perlahan dengan suara sengau sebab selesema. Masih berselubung di dalam selimut.

Zarin diam seketika.

"Kau ada masalah ke, sebenarnya?" tanya Zarin dengan kekok. "Baru putus cinta?"

"Orang macam aku ni, nak bercinta macam mana ... rupa tak ada, pelajaran tak ada, kerja tak ada, semua tak ada," Yulia jawab mendatar.

"Tak cerdiklah kau ni," marah Zarin perlahan. "Siapa kata kau tak ada rupa? Aku ni punyalah handsome, mak ayah kita sama, takkan kau anak pungut? Siapa pula kata kau tak ada pelajaran? SPM kau 9A kut dulu? Kau masuk universiti dengan biasiswa, lagi hebat daripada aku. Kurangnya, tak habis belajar saja."

Yulia berpusing menghadap dinding, masih dalam selimut. Zarin mencampakkan sepapan pil Panadol ke atas badannya.

"Aku nak pergi kelas. Kau makan ubat ni. Aku letak air tepi ni. Kau tak makan, siap kau."

"Yalah," Yulia bersuara lemah.

Zarin mengerling sekilas sebelum menutup pintu dari luar. Dia tak puas hati sebab tak dapat bergaduh.

Elok saja pintu tertutup, Yulia menyelak selimut dan memandang pintu. Bawah matanya sembap. Matanya merah. Mujur Zarin tak perasan yang dia sedang menangis.

∞ ∞ ∞

Adam & Yulia (Kita Cuma Kawan, Kan?)Where stories live. Discover now